Ekonomi
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

UOB, OCBC turunkan kadar faedah bagi akaun simpanan mulai 1 Mei

Apr 8, 2025 | 1:58 PM
Kadar faedah bagi akaun terbaik UOB One dan OCBC 360, akan dikurangkan mulai 1 Mei, namun kadar faedah akaun DBS Multiplier kekal buat masa ini.
Kadar faedah bagi akaun terbaik UOB One dan OCBC 360, akan dikurangkan mulai 1 Mei, namun kadar faedah akaun DBS Multiplier kekal buat masa ini. - Foto ST

Kadar faedah bagi lebih banyak akaun simpanan di Singapura akan diturunkan, dengan dua daripada tiga bank tempatan – UOB dan OCBC Bank – bakal mengurangkan kadar faedah bagi akaun terbaik mereka, iaitu UOB One dan OCBC 360, mulai 1 Mei.

Difahamkan bahawa DBS Bank akan mengekalkan kadar faedah bagi akaun Multiplier mereka buat masa ini, lapor The Straits Times (ST).

Akaun simpanan terbaik merujuk kepada produk simpanan terbaik sesebuah bank, yang menawarkan kadar faedah bonus yang lebih tinggi apabila pelanggan melakukan lebih banyak urus niaga dengan bank tersebut.

Urus niaga yang melayakkan pelanggan mendapat kadar faedah bonus termasuk langkah pemindahan gaji ke dalam akaun, perbelanjaan minimum menggunakan kad kredit, mengambil pinjaman, serta melabur atau membeli polisi insurans daripada bank.

Mulai Mei, OCBC akan menurunkan kadar faedah bonus bagi beberapa kategori – iaitu pemindahan gaji, simpanan dan perbelanjaan – tetapi kadar faedah bagi kategori pelaburan dan insurans dikekalkan.

Akaun 360 akan menawarkan kadar faedah sebenar maksimum sebanyak 6.3 peratus setahun ke atas simpanan $100,000 pertama, berbanding 7.65 peratus sebelum ini. 

Untuk mendapat kadar baru ini, penyimpan perlu memindahkan gaji, berbelanja, menyimpan, mengambil insurans dan melabur bersama bank tersebut.

Ketua Pengurusan Kekayaan Kumpulan OCBC, Cik Tan Siew Lee, berkata bank itu menyesuaikan kadar faedah bagi akaun 360 “selaras dengan keadaan pasaran semasa”.

Sementara itu, pelanggan UOB One akan menerima sehingga 5.3 peratus ke atas simpanan $150,000 pertama dalam akaun mereka, berbanding 6 peratus sebelum ini. 

Untuk memperoleh kadar faedah itu, mereka perlu memindahkan gaji dan berbelanja sekurang-kurangnya $500 menggunakan kad kredit mereka.

Di bawah struktur kadar baru, kadar faedah sebenar tertinggi yang boleh diperoleh ialah 3.3 peratus, lebih rendah daripada 4 peratus pada masa ini.

Ini merupakan kali kedua UOB One membuat semakan dan menurunkan kadar faedahnya dalam tempoh dua tahun.

Pada 1 Mei 2024, UOB telah mengurangkan kadar daripada 3.85 peratus hingga 7.8 peratus setahun kepada antara 3 peratus hingga 4.5 peratus, bagi baki sehingga $100,000.

UOB merupakan satu-satunya bank tempatan yang sebelum ini telah menurunkan kadar simpanan bagi akaun terbaik mereka.

Jurucakap UOB berkata pelarasan kadar ini dibuat berdasarkan “unjuran kadar faedah bagi jangka masa panjang”.

Tiga bank digital yang menawarkan perkhidmatan perbankan bagi pelanggan runcit – Trust Bank, GXS Bank dan MariBank – juga telah menurunkan kadar faedah simpanan mereka.

Secara global, kadar faedah dijangka terus turun. Ketua Pegawai Pelaburan di platform kekayaan digital Endowus, Encik Hugh Chung, berkata penunjuk pasaran menggambarkan pertumbuhan ekonomi yang lebih perlahan.

“Apa yang disampaikan oleh pasaran ialah prospek pertumbuhan kini lebih perlahan, dan dalam keadaan sedemikian, sukar untuk kadar faedah meningkat lebih tinggi,” jelas Encik Chung.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg