Ekonomi
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kesan tarif AS: Pasaran saham S’pura, bank junam

STI merosot 7.5%; catat kerugian terbesar sejak krisis kewangan global 2008
Apr 7, 2025 | 5:54 PM
Saham bank antara yang paling merosot dalam penanda aras ekuiti utama di seluruh Asia.
Saham bank antara yang paling merosot dalam penanda aras ekuiti utama di seluruh Asia. - Foto ST

Saham-saham Asia meneruskan kejatuhan dalam pasaran global pada 7 April, seiring saham Eropah dan niaga hadapan Wall Street apabila Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, enggan menarik balik tarif global yang boleh mengakibatkan ekonomi dunia mengalami kemelesetan.

Indeks Straits Times (STI) Singapura merosot 8.57 peratus, atau 328.20 mata, kepada 3,497.66 apabila dagangan dibuka.

Penurunan itu mencatatkan kerugian terbesar bagi indeks saham mewah sejak kejatuhan 8.3 peratus semasa krisis kewangan global pada 24 Oktober 2008, dan melebihi penurunan 8.4 peratus yang dilihat semasa Covid-19 pada 23 Mac 2020, lapor The Straits Times (ST).

Setelah berusaha memulihkan kerugian, STI ditutup pada 7.5 peratus.

“STI pernah menjunam dalam satu hari pada tempoh ketidakpastian global sebelum ini, termasuk penurunan 7.4 peratus pada Mac 2020 semasa pandemik Covid-19 dan 8.3 peratus pada Oktober 2008 semasa krisis kewangan global,” kata Encik David Gerald, pengasas dan presiden Persatuan Pelabur Sekuriti Singapura (Sias).

“Jika tarif diteruskan, ia boleh menyebabkan inflasi lebih tinggi dan pertumbuhan global lebih perlahan. Ini boleh mencetuskan ketidaktentuan global.”

Saham bank merupakan antara yang paling banyak terkesan di Asia disebabkan jangkaan pemotongan kadar oleh bank pusat, termasuk Lembaga Simpanan Federal Amerika Syarikat, yang memberi tekanan terhadap pendapatan bank.

Pada 3.12 petang di Singapura, saham DBS Bank merosot 9.3 peratus kepada $39.28, selepas jatuh 15.5 peratus kepada $36.57 sejurus selepas pembukaan.

UOB merosot 6.3 peratus kepada $33.23, manakala OCBC Bank jatuh 6.9 peratus kepada $15.47.

Saham HSBC di Hong Kong merosot 14.8 peratus, dan Standard Chartered Bank menjunam 17.5 peratus.

Indeks Hang Seng di Hong Kong jatuh 13.2 peratus, mencatatkan hari terburuk sejak krisis kewangan 2008.

China menyaksikan Indeks Shanghai Composite merosot 7.8 peratus, penurunan terbesar sejak Februari 2020.

Indeks Nikkei Jepun merosot 7.83 peratus, dan Kospi Korea Selatan jatuh 5.6 peratus, manakala di Australia, S&P/ASX 200 menjunam 4.28 peratus.

Di Eropah, Indeks DAX Jerman jatuh 10 peratus, CEC Perancis jatuh 6.2 peratus, dan FTSE Britain merosot 4.6 peratus.

Encik Trump berkata beliau tidak sengaja menyebabkan kemerosotan pasaran, “tetapi kadang-kadang anda perlu mengambil ubat untuk membetulkan sesuatu”.

Sementara itu, niaga hadapan saham Amerika jatuh, meneruskan penurunan dalam dua hari yang telah melenyapkan AS$6.5 trilion ($8.8 trilion) dari pasaran Amerika.

Setiausaha Perdagangan Amerika, Encik Howard Lutnick, berkata pada 6 April bahawa tarif tidak akan ditangguhkan dan akan kekal untuk beberapa minggu.

Ahli ekonomi JPMorgan, Encik Bruce Kasman, menyatakan ada 60 peratus kemungkinan tarif Amerika akan menyebabkan kemelesetan global pada 2025. 

Penganalisis bank pelaburan Nomura, Encik Chetan Seth, mencadangkan pelabur mengambil langkah bertahan terhadap saham Asia (selain Jepun) kecuali dasar Amerika berubah.

 “Kesan tarif dan kelembapan ekonomi Amerika akan mulai dirasai dalam beberapa minggu dan bulan akan datang, dengan pasaran memantau data seperti inflasi dan pendapatan syarikat,” katanya.

Dolar Singapura jatuh 0.2 peratus kepada AS$1.3488, tetapi masih 0.8 peratus lebih tinggi berbanding dolar Amerika tahun ini.

Ringgit Malaysia turun 0.7 peratus, dan won Korea Selatan jatuh 0.6 peratus.

Encik Taimur Baig daripada DBS menjangkakan Penguasa Kewangan Singapura (MAS) melambatkan pengukuhan dolar Singapura pada mesyuarat 14 April untuk menyokong pertumbuhan ekonomi.

Mata wang yang lebih lemah boleh membantu eksport Singapura dengan mengurangkan kesan tarif.

Encik Baig menganggarkan ekonomi Singapura mungkin terjejas sebanyak 0.50 hingga 0.75 mata peratusan pada 2025 jika tarif Amerika terus meningkat.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg