Bank UOB akan memindahkan sebilangan peranan meja belakang dan tengah pejabatnya ke Malaysia, terutama di ibu kota Kuala Lumpur, dalam usaha mengurangkan kos perniagaan.
Menurut Ketua Pegawai Kewangan (CFO) UOB, Encik Lee Wai Fai, langkah tersebut akan mengekalkan nisbah kos kepada pendapatan bank itu pada kadar 40 peratus menjelang 2026.
Pejabat meja belakang biasanya menyediakan khidmat pentadbiran, sokongan dan bayaran, manakala meja tengah menguruskan aspek risiko dan sumber teknologi maklumat (IT).
Langkah tersebut akan turut membantu bank itu terus mengekalkan pulangan ke atas ekuiti (ROE) sekitar 14 peratus menjelang 2026, selain meraih sumbangan pendapatan meningkat dari negara Asean, dan gabungan pendapatan bukan faedah yang lebih tinggi.
“Fasa pertama (perniagaan) luar pesisir kami akan terus berada di Kuala Lumpur, kerana ia mempunyai ramai penduduk di kawasan pedalaman yang boleh menyediakan kakitangan berkualiti yang kami inginkan,” kata Encik Lee dalam satu acara hari korporat UOB di Kuala Lumpur pada 14 Ogos.
Hari korporat UOB itu, yang diadakan di Malaysia buat kali pertama sejak 2014, dihadiri pelabur, penganalisis dan media serantau.
Usaha luar pesisir UOB, iaitu menempatkan sebahagian kegiatan perniagaan bank itu di luar negara, sentiasa menjadi pilihan kerana kos niaga tinggi di Singapura.
Ini walaupun bank itu masih mementingkan aspek kualiti kakitangannya, jelas Encik Lee.
Menurut beliau, bank tersebut sudah pun memulakan operasi luar pesisir sejak beberapa tahun lalu, dan akan mempercepat langkah tersebut, termasuk bagi perniagaan pusat kad bank itu, lapor The Business Times (BT).
UOB akan turut meneliti bidang lain, contohnya pematuhan, yang membolehkan bank itu mencipta model di Singapura, namun perniagaannya dikendalikan di Kuala Lumpur untuk mencapai kecekapan operasi.
Encik Lee menyatakan bahawa usaha menyusun semula bank itu adalah sama penting dengan usaha meningkatkan kecekapan proses perniagaannya.
Ini bermakna bank itu perlu melabur dalam sumber manusia dan teknologi, sedang kos utama perniagaan beralih daripada kakitangan kepada teknologi, katanya.
Sambil menjelaskan matlamat jangka sederhana bank itu menjelang 2026, Encik Lee menjangka bank itu bakal meraih lebih banyak sumbangan daripada negara Asean.
Beliau menjangka pendapatan daripada perniagaan UOB di empat pasaran utama Asean, iaitu Indonesia, Malaysia, Thailand dan Vietnam, akan membentuk 30 peratus daripada pendapatan keseluruhan bank itu, berbanding 26 peratus pada 2023.
Dalam pada itu, bank itu masih meraih sekitar 50 peratus pendapatannya dari Singapura.
Beliau turut menjangka pendapatan bukan faedah akan membentuk 37 peratus pendapatan UOB menjelang 2026, berbanding 31 peratus pada 2023, disebabkan pertumbuhan dalam perniagaan pengurusan harta kekayaan, perdagangan dan perbendaharaan pelanggan.
“
“Fasa pertama (perniagaan) luar pesisir kami akan terus berada di Kuala Lumpur, kerana ia mempunyai ramai penduduk di kawasan pedalaman yang boleh menyediakan kakitangan berkualiti yang kami inginkan.”

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg