Ekonomi
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

URA lancar 3 tapak perumahan di Bayshore Rd, Media Circle

Tapak di Bayshore boleh tawar 515 unit kediaman privet, dijangka tarik minat kukuh pemaju
Nov 26, 2024 | 3:22 PM
Tapak tanah di Bayshore Road merupakan tapak kediaman privet pertama di kawasan Bayshore yang akan datang.
Tapak tanah di Bayshore Road merupakan tapak kediaman privet pertama di kawasan Bayshore yang akan datang. - Foto URA

Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA) pada 26 November melancarkan tiga bidang tanah kediaman di bawah program Penjualan Tanah Pemerintah (GLS) separuh kedua 2024.

Ini termasuk plot kediaman di Bayshore Road, serta dua tapak di Media Circle dekat One-North Avenue, yang dizonkan sebagai kediaman dengan kegunaan komersial di tingkat pertama.

Ketiga-tiga tapak itu telah dilancarkan di bawah senarai yang disahkan, lapor The Business Times.

Plot seluas 7,629.7 meter persegi di Media Circle (Plot Tanah A) dijangka menghasilkan 325 rumah kediaman.

Ia mempunyai keluasan lantai kasar (GFA) maksimum 28,230 meter persegi.

Tapak Media Circle (Plot Tanah B) berkeluasan 10,027.6 meter persegi dan boleh menyediakan sekitar 500 unit kediaman.

Ia mempunyai GFA maksimum 43,119 meter persegi.

Dengan keluasan 10,497.3 meter persegi dan GFA maksimum 44,089 meter persegi, tapak di Bayshore Road boleh menyediakan 515 unit kediaman.

Ketiga-tiga tapak tersebut mempunyai tempoh pajakan selama 99 tahun.

Ia adalah sebahagian daripada sejumlah 5,050 unit kediaman yang dijangka dilancarkan melalui senarai yang disahkan dalam program GLS separuh kedua 2024.

Encik Mark Yip, ketua pegawai eksekutif di Huttons Asia, menjangkakan minat yang lebih kukuh untuk tapak Bayshore Road, memandangkan lokasinya yang menarik berhampiran kawasan East Coast.

Ini adalah tapak kediaman privet pertama di kawasan Bayshore yang akan datang, katanya.

Tapak GLS terakhir yang dijual di sepanjang East Coast ialah Seaside Residences pada harga $858 setiap kaki persegi setiap nisbah plot (psf ppr).

Ketua Eksekutif ERA Singapura, Encik Marcus Chu, berkata bahawa kawasan Bayshore masih “sebahagian besarnya belum dibangunkan”.

“Penduduk semasa projek-projek lama yang berdekatan mungkin biasa dengan kawasan itu dan berkemungkinan akan menaik taraf ke unit di tapak Bayshore Road,” tambahnya.

Tapak itu juga berpotensi menarik pemilik rumah yang ingin menaik taraf daripada flat Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) mereka, memandangkan kira-kira 2,012 flat akan memenuhi tempoh penginapan minimum (MOP) dalam tempoh dua tahun akan datang, kata Encik Chu.

Beliau juga berkata bahawa “saiz yang sesuai” pembangunan itu boleh menarik pemaju lebih kecil, yang boleh “mengambil peluang untuk meletakkan bidaan kompetitif dengan risiko lebih rendah”.

Oleh itu, pemerhati pasaran menjangkakan tapak Bayshore Road akan menerima sekitar empat hingga enam bidaan, dengan bidaan tertinggi antara $500 juta dengan $570 juta, berdasarkan kos seunit tanah $1,050 hingga $1,200 psf ppr.

Tender untuk tapak Media Circle (Plot Tanah A) ditutup pada tengah hari 4 Mac 2025, manakala untuk tapak Media Circle (Plot Tanah B) pada tengah hari 29 April 2025.

Tender untuk plot Bayshore Road ditutup pada tengah hari 18 Mac 2025.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg