Ekonomi
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Urus kewangan tanggungjawab individu, masyarakat

Pemerkasaan kewangan terletak pada pendidikan, penglibatan bersama
Mar 20, 2025 | 3:50 PM
Mantan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Bank of Singapore, Encik Bahren Shaari merupakan tetamu terhormat acara Simposium Rizq. Beliau menekankan bahawa pengurusan kewangan bukan sekadar tanggungjawab peribadi.
Mantan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Bank of Singapore, Encik Bahren Shaari merupakan tetamu terhormat acara Simposium Rizq. Beliau menekankan bahawa pengurusan kewangan bukan sekadar tanggungjawab peribadi. - Foto IFSG

Pemerkasaan kewangan bukan sekadar pilihan atau kewajipan ‘duniawi’ semata-mata.

Bahkan ianya tanggungjawab terhadap diri sendiri dan juga mereka yang berada di bawah jagaan kita.

Inilah yang ditekankan oleh mantan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Bank of Singapore, Encik Bahren Shaari, dan Penasihat Islamic Finance Singapore (IFSG),  Encik Ahmad Khalis Abdul Ghani, di Simposium Rizq yang diadakan pada 25 Januari di Pusat Konvensyen dan Pameran Suntec Singapura. 

Encik Bahren menyeru agar masyarakat lebih proaktif dalam mengurus kewangan mereka, mencari ilmu, mengambil bahagian, dan mengawal masa depan kewangan mereka.

“Pengurusan kewangan dan kekayaan Islam tidak boleh secara pasif. Pergerakannya perlu dipimpin oleh komuniti. Jika kita mahu melihat perubahan sebenar, kita perlu bekerjasama, masing-masing memainkan peranan dalam memperkukuh ekosistem ini,” jelas beliau. 

Bagi Encik Bahren, kunci kepada pemerkasaan kewangan terletak pada pendidikan dan penglibatan – melengkapi diri dengan alat untuk membuat keputusan kewangan yang berpengetahuan dan mencerminkan prinsip etika dan kemakmuran jangka panjang.

Selaras dengan sentimen ini, Encik Ahmad menekankan bahawa seseorang itu harus teliti apabila menguruskan kewangannya.

“Seseorang itu harus serius, teliti dan berkesan apabila menguruskan kewangannya, memenuhi pelbagai kewajipannya, dari segi ruang dan masa, untuk dirinya sendiri dan tanggungan terdekat serta masyarakat atau dunia yang lebih besar yang didiaminya,” jelas beliau.

“Dalam hal ini, pengetahuan tentang prinsip, proses dan alat yang berkaitan dengan pengurusan rezeki adalah penting.”

Seperti yang ditekankan oleh Encik Bahren dan Encik Ahmad, rezeki bukanlah milik mutlak, tetapi amanah yang mesti diurus dengan cara yang memenuhi tanggungjawab terhadap diri sendiri, keluarga dan masyarakat umum.

Encik Bahren juga mengalu-alukan penglibatan komuniti yang lebih besar dalam pengurusan kewangan. 

Celik kewangan, menurut beliau, bukan sekadar usaha individu tetapi tanggungjawab bersama.

Adalah penting untuk semua orang – profesional, keluarga dan perniagaan – merapatkan jurang antara teori kewangan dengan membuat keputusan praktikal. 

Dengan berbuat demikian, seseorang itu boleh memperkasakan dirinya dan orang di sekelilingnya untuk membuat pilihan yang lebih baik dalam mengurus asetnya.

Beliau memuji usaha IFSG , yang dikatakan beliau sedang berada di barisan hadapan dalam mempromosikan inisiatif yang dipimpin oleh komuniti.

Inisiatif ini bertujuan untuk mewujudkan platform penglibatan, pembelajaran dan kerjasama – memupuk persekitaran di mana pengetahuan dikongsi dan penyelesaian kewangan beretika boleh diakses oleh semua. 

Menurut Encik Bahren, Simposium Rizq itu sendiri mencontohi pendekatan ini, kerana ia menghimpunkan pemimpin industri, sarjana dan ahli komuniti untuk meneroka bagaimana masyarakat secara kolektif boleh menyumbang kepada ekosistem kewangan yang lebih berdaya tahan.

Encik Ahmad turut menyokong IFSG, dengan berkata : “Simposium tahun ini bertujuan untuk menggalakkan pertumbuhan ekosistem kewangan, memperkasakan pemilihan keputusan kewangan sendiri dan memudahkan kerjasama di kalangan pemain industri, semuanya mengikut konteks menegakkan kewajipan kami untuk menguruskan rezeki kami dengan sebaik mungkin sebagai pemegang amanah.”

Kededua Encik Bahren dan Encik Ahmad percaya bahawa melalui usaha kolektif dan komitmen terhadap pengurusan kewangan yang lebih beretika, masyarakat boleh membina masa depan yang lebih berdaya tahan, mampan dan makmur untuk diri sendiri dan juga demi generasi yang akan datang.

“Jadi, saya menggalakkan anda semua: Libatkan diri secara aktif— belajar, tanya soalan dan cari ilmu. Perjuang untuk pengurusan kewangan yang lebih baik— kerana institusi bertindak balas terhadap apa yang dituntut oleh komuniti,” ujar Encik Bahren.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg