PENYEDIA pembayaran berlesen OxPay Financial mengumumkan pada Selasa bahawa Worldpay, sebuah syarikat pemprosesan pembayaran, telah menamatkan perjanjian kemudahan pembayaran dengan OxPay SG.
Ini berlaku apabila Worldpay mendakwa bahawa OxPay SG telah melanggar klausa dalam perjanjian yang menghendaki Oxpay SG dan pelanggannya tidak melakukan apa-apa yang Worldpay percaya boleh mencemarkan nama baik, atau merosakkan reputasi atau muhibahnya.
Klausa itu juga termasuk peruntukan untuk Worldpay menamatkan perjanjian jika terdapat kejadian yang menjejas keupayaan OxPay SG untuk memenuhi liabiliti semasa, masa depan atau potensinya di bawah perjanjian, lapor The Business Times.
Memandangkan perjanjian itu ditamatkan dengan serta-merta, OxPay SG dimaklumkan bahawa penyelesaian urus niaga melalui syarikat itu telah ditangguhkan.
OxPay SG berkata ia akan bekerjasama dengan peniaga untuk memastikan yang mereka akan keluar daripada perjanjian dengan teratur.
OxPay SG merancang untuk merayu terhadap keputusan Worldpay, mengatakan bahawa ia sedang berkomunikasi dengan Worldpay untuk memahami kebimbangannya.
“Penamatan perjanjian itu dijangka memberi kesan penting terhadap prestasi kewangan dan kedudukan kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023, walaupun impaknya hanya pada pasaran Singapura kumpulan itu sahaja,” kata OxPay Financial.
Ia menambah bahawa ia akan menyediakan kemas kini jika terdapat sebarang perkembangan penting mengenai perkara ini.
Saham OxPay Financial yang tersenarai di Singapura didagangkan pada harga tidak berubah pada 7.5 sen pada 9.51 pagi Selasa selepas pengumuman itu.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg