Langkah pertama perniagaan semasa krisis lazimnya adalah mengurangkan kos, namun konflik berterusan di Timur Tengah dapat membuka peluang yang boleh dimanfaatkan perniagaan, kata penaung Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Singapura (DPPMS), Encik Zaqy Mohamad.

Encik Zaqy, yang juga Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Kemampanan dan Sekitaran), menambah perdagangan sejagat adalah lebih rumit dengan pelaksanaan tarif dan langkah perlindungan, sekali gus menjejas logistik rantaian bekalan.

Justeru, beliau menggesa perniagaan di Singapura supaya membentuk semula rantaian bekalan, menyusun semula rangkaian kerjasama dan memanfaatkan langkah yang diperkenalkan oleh pemerintah dalam Belanjawan 2026.

Gesaannya itu dibuat semasa berucap pada majlis pembukaan pejabat kedua DPPMS di Grantral Mall di MacPherson pada 15 April.

Pejabat pertama DPPMS terletak di Jalan Pinang.

“Langkah pertama lazimnya adalah mengurangkan perbelanjaan bagi menjimatkan kos, dan itu memang reaksi yang biasa dilakukan.

“Namun, pada masa yang sama, anda perlu memastikan langkah pengurangan itu tidak dilakukan secara membuta tuli...

“Di peringkat sejagat, perdagangan kini semakin rumit.

“Tahun lalu (2025), apabila kita membincangkan mengenai tarif Amerika Syarikat, ia telah membentuk semula rantaian bekalan.

“Ditambah pula dengan perang perdagangan dan langkah perlindungan di seluruh dunia, kita kini melihat bagaimana logistik rantaian bekalan sedang berubah...

“Namun, pesanan saya kepada masyarakat perniagaan adalah terdapat peluang yang perlu kita rebut dan manfaatkan,” ujar Encik Zaqy.

Mengulas lanjut, beliau berkata sokongan pemerintah seperti Rebat Cukai Pendapatan Korporat, komponen geran tunai bagi syarikat yang layak, Geran Penyesuaian Perniagaan (BizAdapt), Skim Pembiayaan Perusahaan (EFS) dan Geran Bantuan Kesediaan Pasaran (MRA), yang diumum semasa Belanjawan 2026 pada Februari, dapat dimanfaatkan oleh perniagaan.

Di sidang Parlimen pada 7 April, Menteri Negara Kanan (Kewangan), Encik Jeffrey Siow, telah mengumumkan beberapa perubahan kepada sokongan tersebut.

Antara lain, Rebat Cukai Pendapatan Korporat akan dinaikkan daripada 40 peratus kepada 50 peratus, mulai hujung April 2026.

Komponen geran tunai bagi syarikat yang layak pula akan dinaikkan daripada $1,500 kepada $2,000.

Had manfaat keseluruhan bagi setiap syarikat juga akan dinaikkan daripada $30,000 kepada $40,000.

Sementara itu, Encik Zaqy mengesyorkan agar perniagaan memanfaatkan pengetahuan dan kepakaran DPPMS untuk meneroka peluang dalam usaha menyerantau ke peringkat antarabangsa dan penerapan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI), automasi serta pendigitalan.

Perniagaan Singapura, tambah beliau, boleh meneroka peluang di luar negara seperti di Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), Arab Saudi, Dubai dan China.

“Kita tidak perlu takut melangkah keluar.

“Perniagaan Melayu Singapura boleh bersaing di pentas dunia. DPPMS ada di sini untuk membantu membuka pintu itu,” katanya.