SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

Pemerintah akan kumpul maklum balas, dekati pekerja teknologi bagi hasilkan dasar AI lebih menyeluruh

Pemerintah akan kumpul maklum balas, dekati pekerja teknologi bagi hasilkan dasar AI lebih menyeluruh

Josephine: S’pura perlu pelan lebih baik transformasi AI; tangani kebimbangan pekerja, pertubuhan
Apr 1, 2026 | 9:45 PM

Pemerintah akan kumpul maklum balas, dekati pekerja teknologi bagi hasilkan dasar AI lebih menyeluruh

Menteri Penerangan dan Pembangunan Digital merangkap Menteri Bertanggungjawab bagi Keselamatan Siber dan Negara Bijak, Cik Josephine Teo, mengumumkan pemerintah antara lain akan mendapatkan maklum balas daripada tenaga kerja dalam sektor teknologi sebagai sebahagian usaha menyokong karyawan teknologi.
Menteri Penerangan dan Pembangunan Digital merangkap Menteri Bertanggungjawab bagi Keselamatan Siber dan Negara Bijak, Cik Josephine Teo, mengumumkan pemerintah antara lain akan mendapatkan maklum balas daripada tenaga kerja dalam sektor teknologi sebagai sebahagian usaha menyokong karyawan teknologi. - Foto SGTECH

Pemerintah akan mendekati dan mendapatkan maklum balas daripada tenaga kerja dalam sektor teknologi untuk lebih memahami industri itu dalam penggubalan dasar kecerdasan buatan (AI).

Ia di samping menyokong golongan karyawan dalam sektor teknologi dan memastikan ekosistem AI di sini kekal bertenaga, kata Menteri Penerangan dan Pembangunan Digital, Cik Josephine Teo.

Menteri Negara Kanan (Penerangan dan Pembangunan Digital merangkap Kesihatan), Encik Tan Kiat How, akan mengetuai sesi perbincangan dengan golongan itu sepanjang 2026 untuk “mendengar, menguji andaian dan berusaha melakar respons lebih menyeluruh bagaimana sepatutnya AI boleh digunakan”, tambah Cik Teo.

Ini di samping perbincangan yang telah dijalankan oleh persatuan seperti SGTech serta persatuan dan dewan perdagangan lain bersama industri tersebut, ujar Cik Teo ketika berucap di majlis makan malam gala anjuran SGTech di Pusat Konvensyen dan Ekspo Marina Bay Sands pada 1 April.

Menurut beliau, usaha mendapatkan maklum balas itu dijangka selesai pada hujung 2026 agar pemerintah dapat menghasilkan langkah membina secepat mungkin.

“Kita memerlukan pelan yang lebih baik untuk transformasi AI bagi industri teknologi sendiri – tindakan menyeluruh bagi menangani kebimbangan semua pekerja dan pertubuhan dalam sektor teknologi.

“Sama ada kita rasai (kesannya) atau tidak, pada dasarnya, AI mengubah erti apakah maknya sebagai pekerja teknologi atau pembangun perisian.

“Ia membentuk semula peranan, laluan kerjaya dan kerja harian, dan perubahan ini berlaku lebih pantas setiap hari,” ujar Cik Teo yang juga Menteri Bertanggungjawab bagi Keselamatan Siber dan Negara Bijak.

Sehubungan itu, beliau melancarkan Inisiatif Perusahaan Sedia AI di bawah SGTech semasa acara tersebut, yang turut dihadiri Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Kemampanan dan Sekitaran), Encik Zaqy Mohamad, dan Encik Tan.

SGTech merupakan persatuan teknologi terbesar di Singapura dengan lebih 1,400 anggota syarikat berteraskan teknologi.

Inisiatif itu dijangka membantu syarikat kecil dan sederhana (SME) mendapatkan lebih banyak bantuan bagi menerapkan AI dalam operasi masing-masing, kata SGTech dalam satu kenyataan pada 1 April.

Menurut persatuan itu, inisiatif tersebut akan memberi bantuan berstruktur kepada SME melalui tiga peringkat – kesedaran terhadap AI, penggunaan AI dalam aliran kerja serta penerapan AI dalam operasi keseluruhan.

Kaedah penyampaian program itu adalah antara lain melalui bengkel dan klinik yang dikendali oleh pakar AI, tambah SG Tech, dengan setiap sesi dalam program itu disesuaikan mengikut keperluan dan tuntutan berbeza syarikat.

Ia sekali gus membolehkan ujian secara langsung terhadap penggunaan AI yang sejajar dengan matlamat perniagaan, kata SG Tech.

Pengerusi SGTech, Encik Nicholas Lee, berkata AI adalah sesuatu yang nyata dan bukan lagi sesuatu yang harus dielakkan.

“Cabaran hari ini bukanlah sama ada AI itu nyata atau tidak, tetapi bagaimana perusahaan, lebih-lebih lagi SME, dapat menerapkannya secara bermakna dan bertanggungjawab.

“Inisiatif Perusahaan Sedia AI tertumpu pada perkara yang perniagaan benar-benar perlukan iaitu panduan yang boleh dipercayai, kes pelaksanaan yang praktikal dan sokongan langsung,” ujarnya.

Jurucakap SGTech berkata syarikat yang berminat boleh mendaftarkan minat di laman rasmi SGTech dan pertubuhan itu akan mengaturkan langkah selanjutnya.

Syarikat bukan anggota SGTech masih boleh melahirkan minat mereka untuk mendapatkan bantuan itu, tambah jurucakap tersebut.

Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Singapura (DPPMS) merupakan antara rakan kongsi strategik utama inisiatif tersebut.

Presiden DPPMS, Encik Abdul Malik Hassan, berkata penglibatan pihaknya sebagai rakan kongsi strategik mencerminkan usahanya untuk membantu SME Melayu/Islam mengorak langkah ke arah penerapan AI.

“Dengan pembelajaran berstruktur, penyediaan wadah praktikal dan penyaluran rakan industri yang dipercayai secara langsung kepada masyarakat, kami berhasrat untuk memastikan anggota peniaga kami tidak ketinggalan dalam melakar perjalanan AI Singapura,” ujarnya.

Selain pelancaran inisiatif, majlis itu turut menyaksikan penyampaian anugerah kepada lapan syarikat bagi usaha transformasi tenaga kerja dan kesan perubahan yang diusahakan syarikat tersebut.

Penerima anugerah adalah ST Engineering; Acronis Asia Research and Development; Amazon Web Service; Alibaba Cloud; Singtel Stack-EZ; WRISE Group; FizzDragon dan Teck Wei Credit.

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg