Di tengah-tengah persaingan semakin sengit dalam pasaran logam berharga di Singapura, rangkaian pajak gadai, ValueMax, berhasrat memperkukuh kedudukannya dalam rantaian bekalan emas – daripada perniagaan kitar semula barangan kemas sehingga perdagangan emas digital.

Syarikat yang tersenarai di papan utama bursa itu telah mempelbagaikan sumber pendapatannya dengan mengembangkan perniagaan melangkaui perniagaan pajak gadai tradisional.

Sepanjang beberapa dekad lalu, ValueMax telah menceburi sektor peruncitan, perdagangan barangan kemas dan emas, serta pemberian pinjaman wang.

Seiring dengan perkembangan perniagaan, syarikat berkenaan giat menyesuaikan diri dengan perubahan minat pengguna, kata Pengarah Urusan Peruncitan Dan Perdagangan ValueMax, Cik Yeah Lee Ching, kepada The Business Times (BT).

“Lain orang, lain minat dan kecenderungannya,” kata Cik Yeah, ketika membandingkan antara jongkong emas dengan emas digital, yang didagangkan oleh ValueMax, namun belum ditawarkan sebagai produk runcit buat masa ini.

Emas digital merujuk kepada instrumen kewangan elektronik atau bertoken yang menjejak nilai logam berharga berkenaan.

Ini membolehkan perniagaan dan pelabur berdagang, memiliki pegangan secara pecahan, serta melindungi pelaburan mereka daripada risiko turun naik pasaran. 

“Sebahagian orang lebih suka memegang dan melihat sendiri produk tersebut, manakala (yang lain) tiada masalah dengan emas digital,” kata Cik Yeah.

“Untuk memiliki emas digital, ia memerlukan tahap celik kewangan tertentu, justeru itu ia tidak diminati semua orang. Saya rasa pasaran ini masih di peringkat awal – tetapi lama-kelamaan, (permintaan) akan berkembang.”

Sebagai persediaan memanfaatkan peluang masa depan, ValueMax telah melabur dalam sistem digital dan operasi, selain meraih pembiayaan menerusi penyelesaian alternatif seperti kertas komersial digital.

Sedang Singapura berusaha memperkukuh prasarana perdagangan emasnya dengan kehadiran pesaing baharu dalam pasaran, Cik Yeah menyatakan ValueMax berada pada kedudukan yang baik untuk mempertahankan penguasaan pasarannya.

Ini kerana syarikat tersebut telah lama dikenali merentasi generasi dan memiliki kepakaran dalam pasaran tempatan.

“Persaingan yang sihat adalah baik kerana apabila ada persaingan, ia seumpama besi semberani yang menarik pengguna.

“Singapura akan dilihat sebagai hab untuk membeli emas, dan (ini boleh) menarik pelanggan dari seluruh rantau ini. 

“Persaingan menjana pertumbuhan... dan akan membangunkan industri ini untuk menjadi lebih maju,” jelasnya.

Cik Yeah, bagaimanapun, enggan memberi unjuran pendapatan menjelang keputusan kewangan separuh pertama bagi tahun kewangan (FY) 2026 kumpulan itu, yang dijangka diumumkan pada Ogos.

Namun, beliau berkata tiga segmen perniagaan utama syarikat berkenaan dirancang untuk saling mengimbangi mengikut keadaan ekonomi. 

Semasa tempoh ketidaktentuan ekonomi, perniagaan perdagangan, pajak gadai, dan pemberi pinjaman wang biasanya menyaksikan permintaan lebih kukuh, kata Cik Yeah.

Sementara itu, segmen peruncitan pula mencatat prestasi lebih kukuh apabila keyakinan pengguna berada pada tahap yang tinggi.

Sejak ValueMax mula disenaraikan di pasaran saham pada 2013, perniagaan pajak gadai menjadi penyumbang keuntungan terbesar syarikat sehingga FY2021, sebelum kedudukan itu diambil alih oleh segmen pemberi pinjaman.

Namun, menjelang FY2025, segmen peruncitan dan perdagangan telah mengambil alih sebagai penyumbang utama.

Bagi tempoh enam bulan berakhir 31 Disember 2025, ValueMax mencatat peningkatan keuntungan bersih sebanyak 14 peratus kepada $54.1 juta, berbanding $47.4 juta dalam tempoh yang sama pada 2024.

Segmen pajak gadai ValueMax menyumbang 11.5 peratus atau $32.8 juta kepada hasil keseluruhan, manakala segmen pemberi pinjaman menyumbang 11.2 peratus atau $31.8 juta.

Sementara itu, sektor peruncitan serta perdagangan barangan kemas dan emas membentuk bahagian terbesar, iaitu 77.3 peratus atau $220.2 juta daripada jumlah keseluruhan perolehan.

Pertumbuhan pesat dalam segmen peruncitan dan perdagangan kumpulan ini dipacu oleh permintaan pelaburan yang kukuh terhadap emas di Singapura dan rantau sekitarnya.