Topik diikuti
Pergi ke BHkuWadah sehenti baru bagi syarikat S’pura dapat nasihat, alat pembiayaan
Wadah sehenti baru bagi syarikat S’pura dapat nasihat, alat pembiayaan
Inisiatif SBF, EnterpriseSG turut perkasa keupayaan kewangan SME menerusi latihan berasas AI bagi pacu pertumbuhan perniagaan
Wadah sehenti baru bagi syarikat S’pura dapat nasihat, alat pembiayaan
Syarikat di Singapura kini mempunyai platform sehenti untuk mendapatkan perkhidmatan nasihat kewangan dan mengakses rakan pembiayaan bagi mengumpul modal untuk pertumbuhan perniagaan, susulan pelancaran Pusat Penasihat Pembiayaan Perusahaan (Cefa) pada 18 Mei.
Pusat itu, yang kali pertama diumumkan pada Julai 2025, merupakan inisiatif bersama oleh Persekutuan Perniagaan Singapura (SBF) dan Enterprise Singapore (EnterpriseSG).
Para penasihat di pusat berkenaan boleh membantu syarikat menilai tahap kesihatan kewangan mereka, serta mengenal pasti jurang utama dalam aspek seperti disiplin aliran tunai, pelaporan kewangan dan pengurusan risiko.
Syarikat kemudian boleh mengambil langkah praktikal untuk memperkukuh asas perniagaan mereka, kata Menteri Negara Kanan (Perdagangan dan Perusahaan merangkap Kebudayaan, Masyarakat dan Belia), Cik Low Yen Ling, semasa majlis pelancaran yang diadakan di The Fullerton Hotel Singapore.
“Syarikat kecil dan sederhana (SME) di Singapura ialah tulang belakang ekonomi kita. Mereka memacu pertumbuhan dan mencipta pekerjaan baik untuk rakyat Singapura,” tambah Cik Low.
Sekitar satu dalam lima syarikat di Singapura sedang mencari pembiayaan tambahan, berdasarkan Tinjauan Perniagaan Nasional SBF 2025.
“Pembiayaan tambahan yang dicari ini adalah untuk tujuan pengembangan ke luar negara, pengenalan produk dan perkhidmatan baharu serta inovasi,” kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SBF, Encik Kok Ping Soon.
Cefa juga akan membantu perusahaan memperluas pilihan pembiayaan mereka.
Selain pinjaman bank tradisional, pilihan lain termasuk pembiayaan berasaskan aset, pembiayaan akaun belum terima (receivables financing), ekuiti persendirian, kredit persendirian, dan instrumen pasaran modal.
Pembiayaan akaun belum terima merujuk pada satu kaedah pembiayaan perniagaan di mana sesebuah syarikat menggunakan invois atau wang yang bakal diterima daripada pelanggan (akaun belum terima) sebagai kolateral (sandaran) untuk mendapatkan wang tunai dengan segera daripada pihak bank atau institusi kewangan.
Setiap pilihan disesuaikan dengan peringkat pertumbuhan serta keperluan perniagaan yang berbeza-beza.
Cefa akan membantu syarikat memahami pelbagai pilihan tersebut serta implikasi yang terlibat.
“Ini termasuk bukan sahaja ketersediaan modal, malah kesannya terhadap kawalan, risiko dan hasil jangka panjang.
“Matlamatnya adalah untuk membantu perusahaan mengakses alat pembayaran yang dapat menyokong keperluan pertumbuhan mereka dengan cara terbaik,” kata Cik Low.
Cefa juga akan bekerjasama dengan rakan kongsi lain seperti firma perkhidmatan profesional, persatuan dan dewan perniagaan, serta pusat SME untuk meningkatkan kemahiran kewangan dan tahap kesediaan perusahaan Singapura.
Ini membolehkan mereka membuat keputusan pembiayaan lebih termaklum yang sejajar dengan strategi perniagaan mereka.
Melalui Cefa, syarikat akan memperoleh pelbagai sumber, alatan dan program latihan, termasuk kit alat pengurusan kewangan yang telah diperbaharui bagi memperkukuh keupayaan pembiayaan mereka.
Menjelang akhir 2026, Cefa akan bekerjasama dengan sekolah perniagaan Institut Akauntan Bertauliah Singapura (ISCA), Akademi ISCA, untuk melancarkan kursus mengenai strategi pengurusan aliran tunai berkesan serta ramalan kewangan praktikal menggunakan kecerdasan buatan (AI), kata EnterpriseSG dan SBF dalam satu kenyataan bersama.
Cefa juga sedang bekerjasama dengan Institut Perniagaan SBF untuk membangunkan program tambahan pembiayaan perusahaan.
Jawatankuasa Semakan Strategi Ekonomi (ESR), pada 13 Mei, telah mengesyorkan agar ekosistem perusahaan di Singapura diperkukuh supaya menjadi lebih dinamik dengan meluaskan akses kepada modal pertumbuhan bagi syarikat pemula.
Syarikat tempatan juga perlu menerima bantuan untuk pengembangan ke peringkat antarabangsa atau bagi menyusun semula mahupun memindahkan sebahagian operasi perniagaan mereka ke luar negara, ujar jawatankuasa ESR.
“Cefa boleh membantu sebahagian daripada syarikat ini meneliti pilihan mereka untuk melihat bagaimana mereka boleh berkembang.
“Disebabkan keadaan semasa di Timur Tengah, syarikat juga sedang berdepan tekanan dalam aliran tunai mereka.
“Oleh itu, kami mahu sentiasa bersedia menyokong pihak syarikat sekiranya mereka memerlukan sebahagian pilihan pembiayaan dan khidmat nasihat ini,” jelas Encik Kok.
