Satu perempat daripada pengarah lembaga 100 syarikat teratas yang tersenarai di Bursa Singapura (SGX) kini adalah wanita, melepasi paras 25 peratus menjelang 2025, menurut data pertengahan tahun daripada Majlis Kepelbagaian Lembaga (CBD).
Sehingga 30 Jun 2024, penyertaan wanita dalam lembaga telah meningkat tiga kali ganda daripada 7.5 peratus pada 2013 kepada 25.3 peratus, kata Timbalan Perdana Menteri, Encik Gan Kim Yong, yang juga Menteri Perdagangan dan Perusahaan, dalam ucaptamanya di forum majlis itu, Kepimpinan dalam Tindakan, pada 28 Oktober.
Sasaran ‘25 peratus menjelang 2025’ telah ditetapkan pada 2019 untuk menggalakkan kepelbagaian jantina dalam lembaga.
Dalam tempoh lima tahun yang lalu, perwakilan lembaga wanita di lembaga berkanun telah meningkat dari 23.3 peratus kepada 34.2 peratus, manakala di 100 institusi teratas menunjukkan peningkatan dari 27.6 peratus kepada 31.5 peratus, lapor The Straits Times.
“Kami bukan sahaja maju ke hadapan tetapi telah melangkah lebih jauh lagi,” kata Cik Mildred Tan, pengerusi bersama CBD dan pengerusi lembaga Tote Board, di forum itu.
Kira-kira 120 pengarah lembaga mewakili lebih 150 organisasi menghadiri acara tersebut.
Cik Tan menyatakan ini merupakan keputusan sementara dan keputusan akhir akan dikeluarkan pada penghujung 2024.
CBD berkata di laman webnya bahawa sasaran seterusnya adalah untuk mencapai 30 peratus perwakilan wanita dalam lembaga menjelang 2030.
Forum itu, yang disokong oleh Persekutuan Perniagaan Singapura (SBF), juga mengumpulkan sekumpulan ahli panel untuk memberi pandangan peribadi, seperti cara majikan boleh mengimbangi tekanan jangka pendek dan pertumbuhan jangka panjang, serta cara memanfaatkan krisis bagi keuntungan mereka.
Sebagai contoh, Cik Caecilia Chu, pengasas bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) syarikat fintech, YouTrip, menceritakan pengalaman “traumatik” semasa tempoh Covid-19 apabila firma itu kehilangan kira-kira 90 peratus perniagaannya semalaman.
Cik Chu juga merupakan ahli lembaga platform pengurusan kekayaan, iFast Corporation.
Menyedari keperluan untuk mencipta semula perniagaan untuk teruskan perniagaan, beliau berkata syarikat itu mula-mula melihat data pengguna pada platform transaksi.
“Kami mendapati terdapat sekumpulan kecil pengguna aktif yang memaksimumkan had kad mereka,” katanya.
Firma itu dengan cepat menyedari bahawa syarikat kecil dan sederhana (SME) menggunakan kad YouTrip untuk menghantar dan menerima wang pada kadar yang lebih murah merentasi sempadan.
Ini merupakan cara segmen perniagaan baru yang dipanggil YouBiz, iaitu kad korporat berbilang mata wang bagi SME, dibangunkan selama lapan bulan, tambah Cik Chu.
Sementara itu, Cik Euleen Goh, pengerusi Institut Pengurusan Singapura dan ahli Suruhanjaya Perkhidmatan Awam, memberikan nasihat tentang ciri-ciri pengerusi lembaga yang baik.
“Pengerusi lembaga haruslah seseorang yang mengalu-alukan semua soalan dan mempunyai cara untuk menghormati serta menghargainya,” katanya.
Beliau juga menasihati agar pengerusi lembaga atau pengarah tidak “mengatasi pengurusan”.
“Saya berpegang kepada andaian bahawa mereka tahu perniagaan mereka.
“Peranan saya sebagai pengerusi lembaga atau ahli lembaga adalah untuk cuba memperluas pandangan, membantu mereka melihat apa yang ada di luar sana yang mungkin mereka tidak tahu,” tambah Cik Goh.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg