Kumpulan pelaburan privet Whampoa Group, yang beribu pejabat di Singapura, mengumumkan pada 22 Januari bahawa ia telah melantik seorang pegawai bank veteran, Encik Edmund Lee, sebagai pengerusi baru bank digitalnya, Singapore Gulf Bank (SGB), di Bahrain.
Encik Lee juga merupakan pengerusi pengasas Asia Gulf Holdings (AGH), iaitu syarikat pemegangan bagi pelaburan strategik Whampoa di Asia, Timur Tengah dan Afrika Utara, menurut satu kenyataan kumpulan itu.
AGH ialah syarikat induk SGB, yang bakal melancarkan khidmat perbankan digital kepada pelanggan di seluruh dunia, setelah ia menerima kelulusan daripada Bank Pusat Bahrain baru-baru ini.
SGB akan berperanan sebagai jambatan antara khidmat kewangan konvensional dan khidmat digital, di samping memupuk hubungan kewangan antara Asia dan rantau Timur Tengah dan Afrika Utara (Mena) melalui teknologi maju, tambah kenyataan itu.
Bank itu dijangka melancarkan khidmatnya, termasuk pembayaran sepanjang hari, penjagaan dan ketersambungan kepada aset digital, dan pengurusan aset pada awal 2024.
Sebelum ini, Encik Lee berkhidmat selama sedekad sebagai Naib Pengerusi Asia Pasifik dan Pegawai Negara Kanan bagi Singapura di firma kewangan JP Morgan Chase & Co.
Pengalaman beliau merangkumi pelbagai bidang, termasuk perbankan korporat dan pelaburan, pengurusan aset dan perbankan swasta.
Beliau juga terkenal kerana merintis penggunaan teknologi inovatif seperti blockchain dan robotik semasa tempoh perkhidmatannya di JP Morgan.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg