Subuh
5:35
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:25
Maghrib
7:07
Isyak
8:20

Bidang Rendang

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

Bidang Rendang

Jun 02, 2019 | 05:30 AM



DALAM soal makan, orang Minang tidak boleh dipisahkan daripada masakan rendang.



Rendang Minang biasanya lebih kering, tidak ditumis dengan minyak, berwarna lebih kehitaman dan dikatakan mampu bertahan lama berbanding rendang Jawa yang agak manis atau versi berkuah yang ada peminat tersendiri.



Itulah yang dikongsi personaliti veteran berketurunan Minang, Cik Zaharah Salleh, 74 tahun.



Masakan rendang ibu empat anak itu memang dinanti-nantikan tetamu setiap kali Raya menjelma.



Cik Zaharah, atau lebih mesra disapa Cikgu Zaharah, pernah mengajar di Sekolah Sang Nila Utama selama 15 tahun. Beliau kemudian mengajar di Sekolah Rendah Temasek selama 20 tahun.



Selepas bersara, beliau pernah mengendalikan perniagaan nasi padang di Katong selama tujuh tahun.



"Rendang Minang ini tak jauh beza dengan rendang tok. Kering tapi pakai banyak santan. Setiap kilogram daging kena pakai tiga kelapa.



"Ada juga rendang Minang daerah lain yang gunakan bahan tiga serangkai - cengkih, kayu manis, pelaga. Tapi saya tak gunakan. Saya tak tumis bahan kisar pun. Semua dimasukkan dalam santan sekali gus.



"Namun, satu bahan yang mesti ada dalam semua rendang ialah daun kunyit.



"Tanpa daun ini, aromanya tak ada. Sekarang ini, ditambah pula daun limau purut dan daun salam... Semakin harum semerbak," ujarnya.



Mengenai warna rendang Minang yang agak hitam, beliau berkata hal tersebut berlaku apabila rendang kerap dipanaskan.



Katanya, rendang kalau semakin lama, semakin sedap sebab rempahnya meresap.



Bahkan, beliau menggalakkan masak dalam jumlah yang banyak kerana lauk itu boleh dimakan lama setelah dimasak.



"Namun, bagi saya, apa pun resipinya, masakan sedap ialah masakan yang lahir daripada hati. Apabila ada keikhlasan dan kasih sayang, terasa enak pada makanannya," ujarnya.



Tentunya, beliau antara pengaruh awal tukang masak selebriti Cef Bob, atau nama sebenarnya Shahrizal Salleh, 39 tahun, yang juga anak bongsunya.



"Di dapur, saya dengan Bob ada lain sikit. Dia tak suka dapur berminyak... Kena bersih sentiasa. Saya pula, selepas masak, malas mengemas," ujarnya.



Generasi seangkatan pula pasti mengenali Cik Zaharah sebagai antara personaliti awal di kaca televisyen.



Beliau misalnya pernah menjadi pengacara rancangan memasak dan program budaya seperti Rentak Tari.



Beliau juga pernah menjadi penyampai rancangan pendidikan kanak-kanak English For Everyone terbitan Kementerian Pendidikan pada era 1970- dan 1980-an dulu.



Suara lunaknya juga sering kedengaran setiap kali lagu Ilham Pujangga nyanyian Allahyarham Ismail Haron berkumandang. Beliaulah pemilik suara yang mendeklamasikan sajak dalam lagu itu.



Kini, walaupun jarang muncul di kaca televisyen, beliau meluangkan masa melakukan kerja belakang tabir penerbitan televisyen.



Baru-baru ini, beliau membantu menghubungi guru-guru pesara untuk diketengahkan dalam segmen Terimakasih Cikgu dalam rancangan Zaman Sekolah musim ketiga terbitan Mediamorphosis.



Sempena Ramadan, beliau berkongsi resipi rendangnya dengan pembaca (resipi sebelah).




Rendang Cikgu Zaharah



Bahan-Bahan:

1 kilogram daging lembu, dipotong tidak tipis

10 cawan santan daripada 3 biji kelapa parut

2 cawan kelapa parut, disangai hingga jadi kerisik

3 batang serai, dititik

4 sentimeter lengkuas, dihiris

2 helai daun kunyit

4 helai daun limau purut

4 helai daun salam

Garam dan serbuk perasa secukup rasa



Bahan kisar:

30 tangkai lada kering (celur dalam air panas dulu)

8 ulas bawang putih

30 biji bawang kecil

2 sentimeter kunyit hidup

2 batang serai

4 sentimeter lengkuas muda

1 biji buah pala



Cara:

1) Masukkan santan, semua daun, serai, lengkuas dan bahan kisar ke dalam kuali.

2) Masak hingga naik minyak.

3) Masukkan daging.

4) Masak hingga kering.

5) Apabila rendang hampir kering, masukkan kerisik.

6) Kecilkan api.

7) Gaul hingga kering.

8) Hidang.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >