Subuh
5:53
Syuruk
7:09
Zuhur
1:14
Asar
4:15
Maghrib
7:17
Isyak
8:25

Gagahi cabaran, ujian jaga anak istimewa

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

Gagahi cabaran, ujian jaga anak istimewa

Aug 14, 2018 | 05:30 AM



BERAT mata memandang, berat lagi bahu memikul.



Walaupun pernah menanggung kesakitan yang membahayakan kesihatan, pasangan suami isteri, Encik Mohd Jazlan Hamzah dan Cik Siti Zubaidah Mohd Daud, rela berkorban apa sahaja demi rawatan anak istimewa mereka, Armel Nadia.



Armel, si cilik dengan Sindrom Down yang hampir mencecah dua tahun itu, meninggal dunia sekitar tengah hari Sabtu lalu.



Selama seminggu dia yang lahir tidak cukup bulan dan mempunyai penyakit paru-paru kronik dirawat di wad rawatan separa rapi, Hospital Wanita dan Kanak-Kanak KK.



Seminggu selepas itu, dia dipindahkan ke Unit Jagaan Rapi (ICU) hospital itu dengan keadaannya semakin lemah, tidak sedarkan diri, mengalami kerosakan ginjal dan pendarahan di bahagian otak.



Punca keadaannya semakin kronik adalah serangan dua virus yang mengganas, 'adenovirus' dan 'rhinovirus'.



Pesakit yang dijangkiti 'adenovirus' mempunyai tanda-tanda selesema, sakit tekak, bronkitis, sesak nafas, demam, radang pundi kencing, sakit mata, cirit-birit atau radang paru-paru. 'Rhinovirus' pula membawa kesan persis selesema.



Namun, dalam keadaan si pesakit mempunyai sistem daya tahan tubuh yang lemah, sudah berusia mahupun mengalami penyakit pernafasan atau jantung, situasi mereka akan menjadi bertambah kronik sehingga meragut nyawa.



Ketika ditemui Gah! di ruang menunggu ICU Jumaat lalu sehari sebelum pemergian Armel, Cik Siti Zubaidah, 35 tahun, berkata:



"Saya akur perjalanan hidup kami bersama Armel memang penuh jerih payah dan onak duri tetapi nikmatnya tetap terasa membesarkan anak istimewa yang ceria dan pengubat duka lara.



"Awalnya, saya hamil dengan anak kembar dan mengalami pendarahan. Ia merupakan pengalaman yang tidak pernah dialami semasa saya mengandungkan anak pertama dan kedua.



"Doktor memberitahu saya salah seorang anak saya tidak akan hidup. Yang seorang lagi akan susut badannya malah akan dilahirkan dengan Sindrom Down. Beliau menyarankan agar saya menggugurkan kandungan saya.



"Namun, dalam keadaan tertekan dan berlinangan air mata, saya tergerak hati ingin menyimpan kandungan saya kerana merasakan ia amanah saya. Tak apalah, walau sesusah mana atau bagaimana keadaannya."



Armel lahir hanya selepas 28 minggu dalam kandungan. Doktor yang khuatirkan keselamatannya menyarankan agar dia dilahirkan lebih awal daripada sepatutnya.



"Bayangkan dia sebesar tapak tangan saya sahaja dengan berat badan 700 gram. Apabila dia semakin membesar mencecah satu kilogram, dia menampakkan kesan-kesan payah bernafas.



"Keadaan ini lebih disulitkan dengan Sindrom Down. Leher Armel pendek manakala lidahnya tebal, menyukarkan pernafasannya. Lantaran itu beliau memerlukan tiub bantuan pernafasan yang dihubungkan ke batang tenggoroknya," kongsi Cik Siti Zubaidah lagi.



Bergegas ke hospital sudah menjadi perkara biasa buat pasangan ini yang mempunyai dua lagi anak perempuan berusia 13 tahun dan lapan tahun.



Bagi menangani keadaan darurat yang tidak menentu masa datangnya, Encik Mohd Jazlan, 33 tahun, meninggalkan tugas sebagai jurutera kemudahan dan beralih memandu kereta Grab sekitar Jun tahun lalu.



"Kalau nak difikirkan, saya terpaksa korbankan kerjaya yang saya usahakan selama ini demi meluangkan masa bersama Armel.



"Sepanjang 10 tahun bertugas, saya membina kerjaya perlahan-lahan dari teknisyen menjadi jurutera. Cuma saya tidak selesa apabila kerap mengambil cuti dan dipotong gaji. Saya berunding dengan majikan dan mengambil keputusan berat untuk berhenti kerja," katanya lagi.



Namun, keputusan itu juga membawa pada kesulitan lain apabila beliau bekerja bermati-matian selama 15 jam bagi meraih pendapatan serupa dengan tugas sebagai jurutera.



"Saya risaukan kos rawatan Armel dan biaya sekolah anak-anak. Enam bulan selepas memandu Grab, saya pula masuk ICU di Hospital Ng Teng Fong kerana dah naik pitam dan nyaris-nyaris pengsan di masjid.



"Inilah gara-gara hanya makan biskut dan tidak minum air. Saya tidak pedulikan keadaan saya yang menghidap penyakit kencing manis lantas mengalami penyahidratan.



"Doktor pula mengesan pendarahan jantung. Peristiwa itu sangat saya kesali. Bayangkan kalau saya sakit, bagaimana dengan keperluan isteri dan anak-anak khususnya Armel?" tambah Encik Mohd Jazlan.



Apabila Armel dirawat di ICU sebelum menghembuskan nafas terakhirnya, pasangan suami isteri ini juga bertunggu tangga di ruang menanti. Mereka hanya pulang untuk mandi.



Menyusuli pemergian Armel, Cik Siti Zubaidah yang dihubungi menjelaskan:



"Saya terpaksa gagahkan diri walaupun saya sendiri mengalami sakit mata yang bernanah kerana dijangkiti 'adenovirus' sewaktu merawat Armel.



"Doktor pesan agar kami suami isteri pulang ke rumah dan berehat pada waktu malam. Namun, hati ibu bapa mana yang senang kalau anaknya sakit dan tidak sedarkan diri.



"Pernah juga kami pulang, tidur-tidur ayam dan tiba-tiba terjaga bagaikan termimpi ada perkara mencemaskan berlaku padanya.



"Selepas Armel melalui proses imbasan otak pada Jumaat lalu dan pendarahannya semakin kronik, kami serahkan sahaja kepada Tuhan. Kami reda dengan pemergiannya walau sempat menjaganya buat sementara waktu sahaja.



"Dia anak yang ceria dan seorang pejuang walau dalam keadaan sakit dan tak mampu menyuarakan kesakitannya. Jari-jemarinya bergerak bila dibacakan ayat-ayat suci di katil hospital. Masih segar di ingatan kami.



"Sememangnya 'anak syurga' ini sudah menyinari hidup kami sepanjang hampir dua tahun dan kami ingin yang terbaik buatnya."




Info tentang virus 'adenovirus' dan 'rhinovirus'



Tanda serangan virus 'adenovirus' termasuk:



* Selesema



* Sakit tekak



* Bronkitis



* Radang paru-paru



* Cirit-birit



* Sakit mata



* Demam



* Radang atau jangkitan pundi kencing



* Radang perut dan usus



* Penyakit neurologi yang menjejas otak dan saraf tunjang



Meskipun kesan kesakitan dek serangan virus ini mungkin tidak begitu serius bagi kebanyakan pesakit, mereka yang mempunyai sistem daya tahan penyakit yang lemah, mengalami penyakit pernafasan atau jantung, berisiko tinggi dilanda penyakit lebih kronik.



Tanda-tanda virus 'rhinovirus' yang boleh berlarutan sehingga dua minggu termasuk:



* Selesema



* Sakit tekak



* Batuk



* Mata berair



* Sakit kepala



* Lenguh badan



Jangkitan lebih mengganas pada pesakit warga emas.



Sumber: Laman Pusat Kawalan dan Perlindungan Penyakit (CDC)




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >