Subuh
5:37
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19

Mat salih tidak kekok laung azan di masjid

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

Mat salih tidak kekok laung azan di masjid

Encik Saleh asal Australia gemar berdamping dengan 'wak haji' di Masjid Ahmad Ibrahim
Nov 25, 2019 | 05:30 AM



SETIAP Selasa, Encik Saleh akan memetik mikrofon di Masjid Ahmad Ibrahim, di Ulu Sembawang, untuk melaungkan azan maghrib dan membacakan iqamat mengajak jemaah lain mendirikan solat secara berjemaah.



Loghat suaranya agak unik, tidak seperti orang Melayu, Jawa, Bawean atau India yang biasa kedengaran melaungkan azan.



Pelatnya ketara sekali kerana Encik Saleh atau nama penuhnya Saleh O'Dempsey bukan orang asal tempatan. Beliau berasal dari kawasan pedalaman di barat Brisbane, Australia, tetapi telah bermastautin di sini sejak 1994.



Namun, Encik Saleh, yang lebih dikenali dengan panggilan mesra 'Brader Saleh', 58 tahun, tidak pernah menjadikan pelat lidahnya penghalang untuk beribadat dan berbakti kepada agama dan masyarakat.



"Semua orang mempunyai pelat atau loghat mereka sendiri baik orang Melayu, Jawa mahupun Bawean. Begitu juga orang putih macam saya, terutama dari Australia, yang mempunyai lidah yang pekat.



"Namun, saya sentiasa cuba memperbaiki bacaan saya dengan belajar dengan beberapa ustaz di masjid ini dan di tempat lain," kata Encik Saleh, yang bertugas sebagai seorang konsultan sekitaran dengan sebuah syarikat setempat.



Beliau, yang datang ke Singapura sekitar 25 tahun lalu sebagai konsultan sistem maklumat geografi tetapi bertukar kerjaya ke bidang sekitaran, memeluk Islam pada 1999 dan sudah pun mendirikan rumah tangga dengan seorang wanita Melayu empat anak yang kini mempunyai 10 cucu.



"Kali pertama saya disuruh melaungkan azan beberapa tahun lalu, maaf saya tidak ingat bila, saya berasa gementar. Saya masih dapat bayangkan suara saya ketika itu.



"Tak sedap," akui Encik Saleh, yang mula berjinak-jinak dengan Masjid Ahmad Ibrahim sekitar enam atau tujuh tahun lalu.



Namun, daripada duduk di saf belakang setiap kali beliau singgah di masjid itu, beliau kini sering kelihatan duduk di saf depan selepas mengikuti kelas akidah dan tauhid dengan Allahyarham Ustaz Zhulkeflee Ismail dan beberapa ustaz lain.



Malah, Encik Saleh kini bukan hanya menjaga sebutan makhraj setiap huruf dengan teliti dan berhati-hati, malah turut menjaga adab dan akhlak, terutama apabila berkhidmat sebagai bilal masjid.



"Saya perlu memerhatikan pakaian saya sesuai dan bersedia membantu imam apabila diperlukan pada setiap waktu solat.



"Saya juga perlu memastikan segala keperluan ustaz yang datang memberi ceramah terjaga," kata beliau, yang kelihatan membetulkan mikrofon, kerusi dan mengisi gelas air Ustaz Idham Halid Romli, Pembantu Naib Pengetua (AVP), Madrasah Irsyad Zuhri Al-Islamiah, yang menyampaikan kuliah maghrib pada Selasa lalu.



Pada hari interviu, Encik Saleh mengenakan kurta dan seluar berwarna putih. Selepas membaca iqamat dan bersolat di belakang imam, beliau mengakhiri solat dengan membacakan doa penutup.



"Saya lakukan semua ini kerana Allah dan saya sentiasa berusaha memperbaiki diri dengan mengikuti kelas agama, termasuk mengikuti kursus imam/bilal, dan belajar dengan memerhatikan wak haji-wak haji yang datang bersolat jemaah dan beriktikaf di masjid ini," kata beliau.



Menurut Encik Saleh, yang memegang jawatan sebagai naib presiden pendidikan di Darul Arqam, adalah penting bagi mualaf sepertinya menjaga adab dan akhlak serta mempunyai sikap sentiasa mahu belajar dengan memerhatikan orang Islam lain.



Mengulas keterlibatannya dengan kegiatan di Masjid Ahmad Ibrahim, Encik Saleh, yang menyertai program dan kegiatan seperti syarahan, majlis maulud dan ibadat korban, berkata beliau suka menghabiskan masa di masjid itu kerana sebilangan jemaahnya seusia dengannya.



"Saya lihat di sesetengah masjid baru, jemaahnya tidak mengenali antara satu sama lain. Tetapi di sini, kami belajar dan berkawan seolah-olah kami meniti hari tua kami bersama," kata Encik Saleh, yang mendapat julukan 'Raja Kandang' Masjid Ahmad Ibrahim, kerana diberi tugas khas menjaga haiwan korban kerana kemahirannya menjaga lembu dan kambing.



Selain bertugas menjadi bilal setiap Selasa dan solat Jumaat pada setiap minggu ketiga setiap bulan, beliau akan menemani isterinya ke Masjid Ahmad Ibrahim untuk menghadiri majlis bacaan Yasin setiap malam Jumaat apabila ada kelapangan.



"Isteri saya, Cik Mutiah Omar (beliau tidak mahu orang lain tahu usianya) memang pandai menjaga keperluan saya. Beliau juga pandai memasak.



"Antara masakannya yang saya gemari adalah ayam masak hijau tetapi saya tidak suka sambal belacan dan sebarang makanan laut.



"Satu lagi yang saya gemari apabila kesemua 10 cucu isteri saya datang berkunjung, jadi riuhlah rumah kami," kata Encik Saleh, yang tinggal di kawasan Bukit Timah.



Namun, di sebalik keramahan itu, terselit satu kelucuan, katanya.



"Memang hubungan kami, malah persahabatan saya dengan sebilangan besar jemaah di Masjid Ahmad Ibrahim ini, tersangat rapat. Ini walaupun agak sukar bagi kami berhubungan antara satu sama lain.



"Ia ibarat perbualan antara ayam dengan itik," kata Encik Saleh sambil tersenyum lebar.



"Saya faham sedikit-sedikit apa yang mereka cakapkan. Apabila menghadiri ceramah, saya angguk-angguk juga, tetapi saya akan bertemu ustaz yang menyampaikan ceramah itu kemudian untuk mendapatkan penjelasan dalam bahasa Inggeris."




HUBUNGAN TERJALIN RAPAT WALAU BERCAKAP IBARAT PERBUALAN ANTARA AYAM ITIK



"Memang hubungan kami (dengan isteri saya), malah persahabatan saya dengan sebilangan besar jemaah di Masjid Ahmad Ibrahim ini, tersangat rapat. Ini walaupun agak sukar bagi kami berhubungan antara satu sama lain. Ia ibarat perbualan antara ayam dengan itik."
- Encik Saleh O'Dempsey.





 




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >