Subuh
5:53
Syuruk
7:09
Zuhur
1:14
Asar
4:15
Maghrib
7:17
Isyak
8:25

Nur(adee) hampir hilang kaki kiri akibat diserang kuman bangkai ikan

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

Nur(adee) hampir hilang kaki kiri akibat diserang kuman bangkai ikan

May 26, 2019 | 05:30 AM



KETIKA mereka sibuk menguruskan restoran makanan Singapura yang dimiliki di Johor Bahru di samping melayani banyak permintaan membuat persembahan di serata Malaysia, adik-beradik dari kumpulan Nuradee tiba-tiba digugat dengan isu kesihatan.



Ancaman yang menyebabkan salah seorang daripada mereka, Mohd Noor Abdullah, atau mesra dengan panggilan Nur, hampir-hampir kehilangan kaki kirinya.



Ini berlaku apabila Nur, 51 tahun, diserang kuman bangkai ikan yang begitu cepat memamah daging kaki kirinya sehingga membengkak dan membusuk.



Menyingkap semula tempoh mencabar yang mencemaskan yang bermula sekitar Januari tahun ini, Nur berkata ia bermula apabila beliau dan abangnya, Mohamed Rasid, yang mesra dipanggil Adee, 53 tahun, pergi ke sebuah pasar raya di Johor Bahru (JB) untuk mendapatkan bahan-bahan segar bagi perniagaan mereka. Sudah lapan tahun Nuradee bermastautin di JB biarpun masih mempunyai hartanah di Singapura iaitu di Stevens Road.



Restoran itu diberi nama Lunak Rasa dan terletak di Taman Perling dan telah beroperasi lebih dua tahun.



Ia, menurut Nuradee, mendapat sambutan yang baik sehingga mereka terpaksa ke pasar mendapatkan bekalan bahan setiap hari.



KAKI TERMASUK LONGKANG



"Semasa ke pasar, tapak kaki kiri saya memang sudah ada kesan lecet akibat pakai kasut baru. Saya ke pasar raya memakai sandal saja. Nak dijadikan cerita, pada hari itu, hujan lebat sehingga air menutupi longkang pasar... menyebabkan kaki saya termasuk longkang. Memang airnya kotor dan berbau hanyir," cerita bapa dua anak itu.



Kakinya kemudian mula membengkak dan Nur mula diserang demam panas.



Tiga hari kemudian, isterinya mendapati keadaan sebahagian tapak kakinya mula menghitam dan membusuk. Isterinya kemudian menghubungi ambulan privet Singapura dan mengejarkan Nur langsung ke Hospital Universiti Nasional (NUH). Isteri Nur merupakan seorang pengurus di Hospital Wanita dan Kanak-Kanak KK (KKH).



Di wad pengasingan, setelah beberapa ujian dan imbasan dilakukan, kata Nur, seorang doktor pakar muda datang mememuinya untuk memberitakan dua perkara.



Pertama, beliau bernasib baik kerana bakteria bangkai ikan yang menyerangnya belum menular ke bahagian organ. Namun kakinya yang diserang bakteria itu tidak dapat diselamatkan dan harus dipotong segera sehingga ke bahagian atas paha demi mengelakkan jangkitan ke bahagian tubuh lain.



"Mendengar kata doktor... memang mulanya saya kebingungan. Macam-macam saya fikir... banyak berdoa dan kemudian pasrah. Tetapi isteri saya dan Adee mahu mencuba lagi... mereka kemudian dapatkan pandangan kedua daripada doktor pakar lain," kata Nur.



Seorang doktor yang lebih senior kemudian meneliti semula kes Nur. Setelah penilaian dibuat semula secara rapi, doktor tersebut mendapati kaki Nur tidak perlu dibuang sepenuhnya tetapi sebahagian tapak kaki dan jari kecil yang sudah menghitam, harus dibuang dan dibersihkan sepenuhnya.



HINGGA NAMPAK TULANG



Menurut Nur, beliau berada dalam keadaan sedar sepanjang pembedahan tetapi telah dibius sepenuhnya dan melihat bagaimana isi kakinya dikorek sehingga nampak tulang.



Beliau kemudian menghabiskan hampir dua bulan di hospital untuk proses penyembuhan sepenuhnya, termasuk proses menumbuhkan semula daging yang sudah hilang.



Untuk beberapa minggu sehingga April, ke mana-mana Nur pergi, beliau terpaksa membawa sejenis mesin untuk menyedut cecair daripada bahagian luka di kakinya.



Menurut Adee, sepanjang Nur dirawat, restoran mereka ditutup dan banyak undangan menyanyi terpaksa dibatalkan.



Selama ini, kata Adee, biarpun sepi daripada publisiti, mereka sering mendapat undangan majlis korporat dan festival muzik di Malaysia.



Seorang rakan mereka kemudian mengambil alih operasi restoran tersebut.



Menurut Nur, ketika baru keluar hospital, beliau langsung tidak boleh menyanyi dan jari-jemarinya kebas sehingga sukar beliau bermain gitar. Untuk beberapa minggu juga, beliau terpaksa menggunakan kerusi roda.



"Saya sedih dengan keadaan saya masa tu dan menyangka mungkin saya dah tak boleh menyanyi dan bermain muzik lagi. Tetapi saya cuba kuatkan semangat... cari tempat untuk saya perlahan-lahan berlatih di tempat awam. Dalam tempoh beberapa minggu, suara kembali seperti asal dan tangan saya lembut kembali," ujarnya.



Pengalaman yang dilalui, kata Nur, banyak memberi kesedaran kepadanya agar lebih menghargai orang-orang di sekelilingnya.



"Sepanjang saya sakit, terlalu ramai orang cuba hubungi saya dan mendoakan saya. Saya memang tak sangka ramai orang perihatin kerana selama ini merasakan, kami ini bukanlah artis dari arus perdana... entah orang suka ke tidak..



"Tetapi apabila orang tahu saya sakit, ramai yang mahu berikan ubat, beri sedekah dan bermacam hadiah. Kesemua ini memberi kesedaran untuk saya lebih berusaha menjalinkan hubungan baik dengan semua orang dan sentiasa berfikiran positif kerana tenaga yang baik akan menghasilkan aura yang baik juga," ujarnya.



Nur mempunyai dua anak, Muhammad Aliff, 21 tahun, kini mahasiswa Universiti Nasional Singapura (NUS) dan Yanee, 19 tahun, kini pelajar politeknik. Adee pula masih membujang.



KERJAYA SENI



Kini dengan keadaan Nur semakin pulih, Nuradee mahu merancakkan semula penglibatan seni mereka di Singapura.



Mereka baru-baru ini terlibat dalam rakaman rancangan televisyen untuk artis tempatan "Singapura Live" di saluran Suria dan muncul dalam acara penyalaan lampu di Geylang Serai baru-baru ini.



Pada akhir April lalu, kata Adee, sekadar untuk menghangatkan semula keberadaan mereka dalam persada seni Singapura, mereka telah mengadakan showcase kecil di sebuah ruang tingkat atas rumah kedai di Haji Lane. Acara itu mendapat sambutan luar dugaan.



"Tempat persembahan itu sebenarnya hanya boleh menampung 50 orang, tetapi yang datang sampai ratusan. Kami terkejut.



"Kerana tak mahu kecewakan mereka yang datang, kami sampai buat dua slot persembahan," kata Adee.



Selain mahu melancarkan semula album yang pernah mereka hasilkan di Indonesia, Nuradee juga merancang mengadakan konsert akustik di Taman Warisan Melayu pada 6 September.



"Kami bersyukur masih dihargai selepas lebih tiga dekad dalam persada seni muzik di Singapura. Kami lihat anak-anak muda hari ini ramai yang suka membuat kajian tentang lagu-lagu orang lama termasuk dari Nuradee. Mereka menghargai karya-karya yang baik, bukan sekadar ikut trend," kata Adee.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >