Tidak mengapa jika 'Redha' bukan filem 'pecah panggung' di Malaysia. Ia merupakan filem Melayu pertama yang menyentuh perihal autisme dalam misi murni memupuk kesedaran ramai mengenai kondisi ini. Hasil usaha Persatuan Filem Melayu Singapura (SMFS), 'Redha' dapat dibawa ke pawagam The Projector di Golden Mile Tower, melalui tayangan perdana kelmarin dan tayangan umum mulai esok hingga Ahad ini. Bagaimanakah 'Redha' berkesan di hati mereka yang menjayakannya? HARYANI ISMAIL (haryani@sph.com.sg) melaporkan.
DITEPUK-TEPUKNYA telinga berulang kali. Pelakon cilik, Harith Haziq, kemudian berjalan mundar-mandir, terpekik dan bergolek-golek di lantai dengan luahan kata berulang dalam bahasa Inggeris.