Pulau Batam mungkin dianggap sebagai kota riadah bagi wanita Singapura yang ingin berlibur sehari dua dengan mengunjungi spa kecantikan dan rias tubuh dari hujung rambut ke hujung kaki. Ia juga pernah disaluti imej negatif pesara Singapura yang ‘melencong’ ke Batam di luar pengetahuan isteri bagi didampingi pacar lebih muda. Bagaimanapun, pertemuan dengan seorang usahawan Melayu Singapura yang membantu mengendalikan Pizza University di Politeknik Pelancongan Batam, memperlihatkan kota ini kian mekar sebagai hab pendidikan kejuruan dan latihan pelayanan tamu di peringkat antarabangsa. BERITA MINGGU melaporkan kisah inspirasi ini dan usaha Batam memperkasa industri pelancongannya.
GELARAN Raja Piza sesuai dinobatkan kepada usahawan Singapura, Encik Mohamad Yusof Kamarudin, kerana kesungguhan dan dedikasinya menyelongkar seribu satu perkara tentang sajian asal Italy ini.