Subuh
5:35
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:25
Maghrib
7:07
Isyak
8:20

'Sembang' dengan Farquhar, gali artifak maya di Muzium Negara

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

'Sembang' dengan Farquhar, gali artifak maya di Muzium Negara

Tujuh projek prototaip dipapar hingga esok
Aug 25, 2018 | 06:53 PM



BAYANGKAN diri anda sebagai pakar arkeologi dalam dunia realiti maya yang diserahkan dengan amanah menggali khazanah silam di kala Singapura masih bergelar Temasek.



Artifak-artifak yang ditemui ini kemudian menjadi sebahagian daripada koleksi Muzium Negara dan Muzium Tamadun Asia.



Secebis pengalaman ini dapat anda lalui menerusi paparan pameran DigiMuse Presents di Muzium Negara yang berlangsung hingga esok (26 Ogos). Kurator bagi acara ini adalah Encik Iman Ismail, 37 tahun, yang berpengalaman hampir sedekad dalam penyelarasan bahan pameran muzium.



Projek realiti maya An Excavation Through Time yang dihasilkan syarikat teknologi kreatif baru iMMERSiVELY itu merupakan antara tujuh bahan prototaip yang dipilih pihak muzium bagi pameran sulung DigiMuse Presents ini.



Awal sebelum ini, Muzium Negara menguar-uarkan penyertaan syarikat teknologi, badan budaya, pereka digital dan karyawan kreatif dalam menggembeleng tenaga meneroka perspektif segar menyepadukan sejarah, seni dan teknologi menerusi bahan pameran berteraskan realiti maya dan unsur interaktif.



Sambutan amat menggalakkan diterima khususnya daripada syarikat 'start-up' yang baru berjinak-jinak dalam meneroka idea segar yang boleh mendekati masyarakat umum.



Bahan pameran diletakkan di merata muzium. Antaranya termasuk peta gigapiksel Singapura moden. Pengunjung perlu mencari tokoh bersejarah yang tersembunyi dalam peta ini. Sejurus menemuinya, butiran tentang kehidupan setiap individu akan disenaraikan.



Dengan menggunakan telefon bimbit yang disediakan, anda juga dibawa dalam satu perjalanan interaktif ala mencari Pokemon bersama jurupandu muzium di alam maya. Anda kemudian boleh mencuba permainan si penarik beca dengan mengimbas kod pada papan tanda.



Pakaian tradisional kaum Peranakan dan aksesorinya juga diberi sentuhan bahan cetakan teknologi tiga dimensi (3D). Selain itu, anda juga boleh membayangkan diri anda benar-benar berhubung dengan Residen British pertama di zaman penjajahan British, William Farquhar menerusi pesanan WhatsApp atau Facebook. Setelah merakam foto lukisan dalam koleksi Lukisan Sejarah Alamiah William Farquhar, soalan mengenainya kemudian boleh diajukan.



Kata Pengarah Muzium Negara, Cik Angelita Teo:



"Kami mengalu-alukan penggunaan teknologi yang memperkukuh hubungan kognitif dan emosi pengunjung dengan sejarah dan warisan Singapura. Menerusi perpaduan kreatif budaya dan teknologi bersama dengan kerjasama pihak perindustrian, kami berharap dapat menawarkan lebih banyak pengalaman yang dekat di hati pengunjung dan boleh mencetus inspirasi buat mereka.



"Kami juga terus komited dalam membangun muzium ini sebagai institusi budaya yang progresif serta mampu mencabar segala batasan yang ada, memacu inovasi bagi sektor ini dalam menyumbang kepada landskap budaya Singapura yang bersemarak."



Selaku kurator, Encik Iman melihat projek ini banyak membuka ruang buat pihak muzium bekerjasama dengan lebih banyak syarikat teknologi kreatif dalam memahami landskap budaya dan keperluan pengunjung muzium.



"Secara tradisi, muzium menampung bahan bersejarah seperti artifak lama dan bahan teks yang perlu ditelaah. Bahan sebegini masih diperlukan. Bagaimanapun, kami sentiasa mencari pendekatan baru bagi memberi pengunjung pengalaman bermakna, sesuai dengan konteks masa kini.



"Cabarannya hanyalah apabila masalah teknikal wujud dan tidak boleh dielakkan kerana begitulah lumrah teknologi. Namun, sekurang-kurangnya, dalam era digital ini, kami dapat mengetengahkan idea-idea baru lebih interaktif buat pengunjung cuba dan teroka dengan kerjasama pereka kreatif dan syarikat teknologi baru.



"Ini adalah usaha pertama yang kami harap dapat dikembangkan lagi di masa akan datang. Malah, bahan pameran yang tidak dipilih untuk diketengahkan kali ini mungkin juga boleh dimanfaatkan dalam kesempatan lain," tambahnya.



Muzium Negara dibuka dari 10 pagi hingga 7 malam.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >