Subuh
5:35
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:24
Maghrib
7:07
Isyak
8:19

'Tepi Sikit' bawa rezeki royalti tinggi

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

'Tepi Sikit' bawa rezeki royalti tinggi

Sep 17, 2019 | 05:30 AM



Persatuan Penggubah dan Penulis Lirik Singapura (Compass) meraikan usaha dan perjalanan seni bakat tempatan di satu majlis penyampaian Anugerah Compass kelmarin. Berlangsung di Pusat Persidangan Resorts World, ia menjulang komposer, penggubah lagu, penyusun muzik dan karyawan seni yang tidak mengenal erti putus asa. Wartawan HARYANI ISMAIL (haryani@sph.com.sg) melaporkan.



SETIAP kali mencipta lagu buat dirinya sendiri mahupun artis di Singapura dan seberang Tambak, Muhammad Alif Abdullah tidak pernah menyimpan hasrat melihatnya 'meletup' sebagai lagu 'hit' tular.



Beliau lebih suka bereksperimen dan mengambil risiko di luar zon keselesaannya malah ingin meneroka lebih banyak genre muzik dan bukan setakat hip hop.



Inilah resipi jaya penggubah muda berusia 29 tahun itu sepanjang bergelar penggiat muzik selama hampir 15 tahun.



Kelmarin, Alif yang awalnya dikenali sebagai anggota duo rap Sleeq, mencipta kejayaan sebagai penerima Anugerah Lagu Pop Melayu Terbaik ( berdasarkan kutipan royalti tertinggi) menerusi karya Tepi Sikit di Anugerah Persatuan Penggubah dan Penulis Lirik Singapura (Compass) ke-24.



Majlis penyampaian anugerah gilang-gemilang yang memberi pengiktirafan kepada bakat seni tempatan daripada pelbagai kaum dan latar belakang itu berlangsung di Pusat Persidangan Resorts World.



Tahun lalu, Alif juga memenangi anugerah dalam kategori serupa bagi lagu Bukan Hal Aku.



Ketika ditemui selepas menerima anugerah tersebut, lulusan Politeknik Temasek (TP) itu berkata:



"Saya sebenarnya tidak menduga Tepi Sikit, sebuah lagu lama yang berusia lima tahun, diberi pengiktirafan malam ini.



"Segalanya berpucuk pangkal daripada usaha gigih dan ketulusan menghasilkan karya tulen tanpa menyimpan sebarang hasrat menjadikannya tular.



"Secara semula jadi, wujud keserasian antara saya, Syarif (seorang lagi anggota Sleeq) dan Joe Flizzow dalam menyampaikan lagu Tepi Sikit dengan berkesan.



"Ini bukan lagu asal sedap dan setakat nak 'syiok sendiri'. Ia datang daripada keinginan kami bertiga mengetengahkan lagu yang boleh 'sampai' ke hati pendengar."



Beliau enggan mendedahkan jumlah royalti yang diterima tetapi menganggapnya sebagai rezeki yang disyukuri.



"Apabila saya mula berkecimpung dalam bidang seni, saya tidak pernah menetapkan matlamat inginkan lagu ciptaan saya popular atau membawa pulangan rezeki yang banyak.



"Alhamdulillah, lagu yang dihasilkan 'menjadi' dan dapat dijual. Saya hanya mahu mencatat kemajuan dan menyumbang pada industri muzik di Nusantara.



"Kita tambahkan rencah, ubahkan kebiasaan dalam industri dan berani mengambil risiko. Selebihnya, saya reda dengan apa yang Allah beri dalam perjalanan seni saya," dedahnya.



Selepas tamat menghasilkan lagu kumpulan wanita De Fam, beliau kini sedang mengusahakan 'single' hasil kerjasama dua bakat muda berpotensi, Andi Bernadee dan Elizabeth Tan.



"Saya sudah mencorak Andi sebagai penghibur muda dengan imej penyanyi 'reggaeton', sejenis stail muzik yang berasal dari Puerto Rico. Ada campuran unsur hip hop, Amerika Latin dan muzik Caribbean dalam lagu-lagunya."



Dengan konsep muzik Andi, Alif tidak pasti respons orang ramai. Beliau mula menyangsikan sejauh mana industri dan orang ramai boleh menerima lagu sebegini. Banyak risiko dari aspek perniagaan muzik.



"Namun, orang kreatif seperti saya mahu mencuba suatu kelainan. Alhamdulillah, ia menjadi. Sama macam Elizabeth, kita cuba sesuatu genre muzik agak gelap dan suram buatnya.



"Kolaborasi Andi dan Elizabeth adalah satu eksperimen. Saya lihat keserasian mereka dalam membawakan lagu seksi dan matang ini. Ini 'single' ketiga Andi. Saya menetapkan secara maksimum tiga 'single' yang saya usahakan buat beliau. Selepas ini, saya sarankan beliau bekerjasama dengan komposer lain sebagai proses menimba ilmu dan pembaharuan," jelas Alif.



Dalam beliau sibuk menjana lagu yang ternyata 'hit' buat artis lain, Alif berharap akan ada lebih ramai komposer yang mengorak perubahan bagi industri muzik di samping berani mengambil risiko.



"Saya hanya inginkan mutu muzik Melayu kita berkembang dengan ramai yang gigih berjuang. Sekarang adalah era penstriman di mana pendengar boleh memilih apa yang mereka ingin dengar dan tidak setakat mendengar apa yang diberikan kepada mereka.



"Saya seronok mengenalkan perubahan dalam setiap fasa perjalanan seni. Lihat Amerika dan Korea, misalnya. Ada ruang buat semua genre muzik berkembang walaupun sesuatu genre seperti hip hop popular.



"Tidak adil memaksa seseorang yang cenderung dengan muzik tradisional bagi mendengar hip hop sahaja. Justeru, saya sendiri ingin menebarkan sayap dengan percubaan mencipta lagu dalam genre lain selain hip hop," katanya yang turut mendengar irama dangdut.



Ditanya tentang ciptaan lagu buat dendangannya sendiri, Alif berkata:



"Saya memang sibuk mencipta lagu buat orang lain tetapi mengabaikan muzik saya sendiri.



"Saya bakal ambil risiko mencipta lagu ala 1980-an bagi lagu saya kelak. Bayangkan era Datuk Sheila Majid dengan fesyen baju berpelapik bahu. Muzik dulu macam itu yang saya mahu. Sama ada ia menjadi atau tidak, kita tunggu."



Dalam pada itu, penyanyi muzik dansa elektronik dan lagu rakyat, Linying, 25 tahun, pula memenangi Anugerah Lagu Pop Inggeris Terbaik (royalti tertinggi) bagi lagu Eagle Eyes.



"Saya masih ingat tempoh saya dan teman-teman masih lagi belia dengan komputer riba kami dan berusaha menjadi pemuzik berjaya. Kami tidak duga lagu ini pergi jauh," ujarnya.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >