Subuh
5:38
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18

Usaha pamer perjalanan jemaah haji silam dari Dunia Melayu

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

Usaha pamer perjalanan jemaah haji silam dari Dunia Melayu

Pameran anjuran Taman Warisan Melayu mulai 13 Oktober sempena Pesta Budaya Melayu
Aug 23, 2018 | 05:30 AM



SATU pameran istimewa berjudul Undangan ke Baitullah: Kisah-Kisah Jemaah Haji dari Dunia Melayu ke Makkah anjuran Taman Warisan Melayu bakal diadakan mulai 13 Oktober ini sempena Pesta Budaya Melayu atau Malay CultureFest 2018.



Pameran tersebut akan memaparkan kisah-kisah perjalanan jemaah haji di Singapura dan negeri-negeri Melayu ke Tanah Suci.



Taman Warisan bekerjasama dengan institusi di seluruh dunia untuk mempersembahkan pameran yang memberi gambaran lebih luas pelbagai kisah jemaah haji itu kepada pengunjung.



Antara institusi itu termasuk Muzium Negara, Nationaal Museum van Wereldculturen dan Perpustakaan Universiti Leiden dari Belanda; Muzium Kesenian Islam Malaysia dan galeri Penang Hajj Gallery di Malaysia; dan Bayt Al Quran dan Muzium Istiqlal di Jakarta, Indonesia.



Kurator Taman Warisan, Cik Suhaili Osman, berkata:`



"Pameran ini memberi kami peluang berkongsi pandangan lebih mendalam berkenaan ibadah haji seperti yang dialami jemaah haji di wilayah ini menerusi cerita-cerita peribadi orang Islam yang telah menunaikan ibadah haji pada waktu berbeza dalam sejarah dan membolehkan pengunjung mempelajari aspek penting dalam budaya dan identiti masyarakat Melayu-Islam."



Ternyata, pameran di Taman Warisan itu bakal memberi kenangan manis kepada bekas penduduk Kampong Khaji atau lebih dikenali sebagai Bussorah Street kini.



Bekas penduduk Kampong Khaji, Encik Rosman Sahlan, 59 tahun; Cik Haajir Hamdi, 58 tahun; dan Cik Moslimah Abdul Karim, 68 tahun, masih ingat bagaimana kawasan tersebut pernah menjadi tempat jemaah haji berhimpun.



"Ramai sheikh haji yang menawarkan khidmat pengurusan haji tinggal di kawasan Kampong Khaji," ujar Encik Rosman, seorang penolong kejuruteraan yang dahulunya tinggal di rumah nombor 37, Bussorah Street.



Salah seorang sheikh haji tersebut merupakan datuk Cik Haajir bernama Haji Ali Haji Mohd Said Salleh, juga salah seorang imam Masjid Sultan.



"Walaupun saya masih kecil waktu itu, saya ingat, orang dari Kelantan dan Mindanao datang ke rumah untuk berjumpa datuk saya.



"Mereka bawa sama tikar, tilam tipis, bantal dan perkakas untuk masak dan beras yang sudah dikeringkan.



"Ini kerana mereka berangkat ke Tanah Suci dengan menaiki kapal dan perjalanan ke Makkah mungkin mengambil masa sekitar tiga bulan.



"Mereka juga akan tidur di rumah saya dengan tilam tipis mereka dan masak beras kering menggunakan dapur minyak tanah yang mereka bawa. Kadangkala ibu saya kasihan tengok mereka makan nasi kering dan akan masakkan untuk mereka," kata Cik Haajir, seorang suri rumah.



Ibu tiga anak ini pernah tinggal di rumah nombor 59, Bussorah Street.



Cik Moslimah, suri rumah dan tinggal di rumah nombor 35, Bussorah Street, pula berkata bahawa bapanya juga terlibat dalam pengurusan jemaah haji.



Bapanya ialah Haji Abdul Karim Idris, juga salah seorang imam dan bilal Masjid Sultan. Beliau turut mengajar agama, memandikan jenazah dan membuat songkok.



"Orang datang macam rombongan dan tidur di rumah-rumah sheikh haji. Ada jemaah haji juga tidur di rumah saya. Kalau tak silap saya, setiap orang bayar $1 untuk tumpang tidur dan mandi di rumah kami," kata Cik Moslimah.



Encik Rosman menambah bahawa ada lagi sheikh haji lain yang tinggal di kawasan Bussorah Street. Antara mereka ialah Haji Ismail, yang tinggal di rumah nombor 67.



Menurut laman Roots.sg kelolaan Lembaga Warisan Negara (NHB), sehingga pertengahan tahun 1970-an, Singapura merupakan hab jemaah haji di Asia Tenggara.



Jemaah haji dari negara-negara berdekatan, terutama Indonesia, akibat sekatan Belanda, akan datang ke Singapura dan tinggal di Bussorah Street untuk menunggu ketibaan kapal haji mereka.



Apabila tiba masa mereka berangkat ke Tanah Suci mereka akan mengerjakan solat di Masjid Sultan.



Justeru, bagaimanakah suasana di kawasan Kampong Khaji menjelang Hari Raya Aidiladha?



"Kami tunggu bunyi beduk di masjid. Apabila dengar bunyi beduk, kami tahu esoknya Hari Raya, tidak kira Hari Raya Aidilfitri atau Aidiladha. Apa lagi, kami budak-budak sukalah," kata Encik Rosman.



Cik Haajir dan Cik Moslimah menambah bahawa suasana pada malam Hari Raya Aidiladha meriah kerana kaum ibu akan sibuk memasak.



"Bapa saya tukang sembelih ayam dan kadangkala, saya akan tolong pegang kepala ayam sebelum bapa sembelih," kata Cik Moslimah.



Mereka turut berkata bahawa jiran-jiran akan membuka pintu rumah mereka sampai pagi. Kemudian, kaum lelaki akan bersiap sedia hendak ke masjid untuk solat subuh dan Hari Raya pada 5 pagi.




"Walaupun saya masih kecil waktu itu, saya ingat, orang dari Kelantan dan Mindanao datang ke rumah untuk berjumpa datuk saya. Mereka bawa sama tikar, tilam tipis, bantal, perkakas untuk masak dan beras yang sudah dikeringkan. Ini kerana mereka berangkat ke Tanah Suci dengan menaiki kapal dan perjalanan ke Makkah mungkin mengambil masa sekitar tiga bulan."
- Cik Haajir Hamdi, cucu Haji Mohd Said Salleh, salah seorang syeikh haji yang menawarkan khidmat pengurusan haji di Kampong Khaji.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >