25 Sep penentu nasib mahligai ‘Fattzura’
Nasib rumah tangga pasangan selebriti, Nur Fazura dan Fattah Amin, dilaporkan bakal terjawab di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari, Selangor, pada 25 September.
Keputusan itu akan memberi jawapan terhadap hubungan yang pernah dianggap sebagai simbol kebahagiaan oleh jutaan peminat apabila menyaksikan hampir tujuh tahun pasangan itu membina mahligai.
Adakah mereka akan terus memperjuangkan cinta yang pernah mekar atau ia akan menjadi penutup kisah cinta itu?
Semuanya bakal terjawab kelak, lapor Berita Harian Malaysia (BHM).
Keputusan pasangan itu untuk berpisah bukan sahaja akan mengubah hidup Fazura dan Fattah, malah turut meninggalkan kesan mendalam kepada peminat dan industri hiburan Malaysia.
Pada 13 September, Fazura, atau nama sebenarnya, Nur Fazura Sharifuddin, 40 tahun, memfailkan cerai terhadap Fattah, 33 tahun.
Bagaimanapun, Fattah memaklumkan terkejut apabila menerima berita isterinya memfailkan perceraian dan hanya mengetahui perkara itu menerusi media sosial.
Fattah berkata beliau masih menyayangi Fazura dan menegaskan tiada wanita lain yang menjadi punca keretakan rumah tangga mereka.
Sementara itu, Fazura pula memilih mengunci mulut mengenai tuntutan cerai itu.
Fazura dan Fattah mendirikan rumah tangga pada 27 November 2017.
Hasil perkahwinan, pasangan itu dikurniakan anak perempuan, Nur Fatima Aisya, yang kini berusia empat tahun.
Sama-samalah kita tunggu kisah pasangan yang dipanggil ‘Fattzura’ (gabungan nama mereka).
Kededuanya pernah berlakon bersama dalam drama Hero Seorang Cinderella, Hero Seorang Cinderella 2 dan filem Pendekar Awang: Darah Indera Gajah.
Masih tertanya-tanya peminat apakah yang membuatkan peristiwa ini berlaku sedangkan kededuanya nampak sama cantik, sama padan.

