Berikut saranan tiga lokasi khas pilihan Kaki Jalan bagi yang berminat memburu keperluan Raya yang mesra bajet, dengan pelbagai pilihan – sesuai bagi individu atau seisi keluarga di bandaraya Kuala Lumpur.
Tempat-tempat ini berdekatan bagi memudahkan pembeli dan mereka yang agak kesuntukan masa.
KL East Mall
– Alamat: 823, Jln Lingkaran Tengah 2, 53100 Kuala Lumpur Timur, Malaysia
KL East Mall menawarkan pelbagai jenama tempatan yang merangkumi rangkaian premium mewah hingga pilihan sederhana pada harga mampu milik, bagi golongan berpendapatan tengah.
Dengan pilihan busana tradisional dan jenama tudung yang luas, pusat beli-belah ini menjadi destinasi sehenti bagi pembeli yang mementingkan kualiti serta sanggup berbelanja lebih demi produk terbaik.
Jenama tempatan seperti Onura, Icahfah, Matase Sutera, Poplook, Khatam, Kapten Batik dan Bayu Somerset menyerlah dengan koleksi fesyen musim raya terbaru pada harga sederhana hingga premium.
Kenanga Wholesale City
– Alamat: 2, Jalan Gelugor, Pudu, 55200 Kuala Lumpur, Malaysia
Kenanga Wholesale City (KWC) merupakan pusat beli-belah borong fesyen pertama dan terbesar di Malaysia yang terletak di Kuala Lumpur.
Ia menawarkan pakaian, aksesori dan produk gaya hidup pada harga berpatutan untuk individu mahupun perniagaan.
Beroperasi dengan konsep tunai dan bawa sendiri atau cash-and-carry, pembelian secara pukal di sini memberikan harga yang jauh lebih rendah.
Bagi pembeli yang mengutamakan bajet, terutamanya bagi keperluan seisi keluarga, KWC pasti menepati cita rasa anda meskipun terdapat cabaran untuk mencari barangan idaman di dalam bangunan sembilan tingkat ini.
Jalan TAR
– Alamat: 190, Jalan Tuanku Abdul Rahman, 50100 Kuala Lumpur, Malaysia
Jalan Tuanku Abdul Rahman (dikenali sebagai Jalan TAR oleh penduduk tempatan) di Kuala Lumpur merupakan pusat yang meriah dan sibuk sepanjang musim Hari Raya, terkenal dengan bazar yang luas serta suasana meriah.
Kawasan ini menawarkan pengalaman membeli-belah tradisional dan penuh nostalgia bagi penduduk tempatan mahupun pelancong.
Toko-toko besar seperti Gio Fabrics, Muaz, dan Gulati’s menawarkan busana Melayu dalam pelbagai fesyen dan potongan dengan harga yang mampu milik.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg