Wacana
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pengalaman pertama naik ETS dari JB ke KL: Berbaloi ke?

Jan 18, 2026 | 5:30 AM
ETS, KL, JB
Sebagai seorang yang kerap melawat Kuala Lumpur, tren ETS dari Johor Bahru ke Kuala Lumpur ini ternyata cepat, tepat pada masa dan sangat selesa. - Foto RUBIAH MOHD

Kuala Lumpur sudah lama saya anggap sebagai rumah kedua.

Jadi, apabila perkhidmatan tren elektrik (ETS) dari Johor Bahru ke Kuala Lumpur menjanjikan perjalanan hanya sekitar empat jam, saya tidak melepaskan peluang untuk mencubanya sendiri.

Persediaan dan kos perjalanan

Perkhidmatan ETS Johor Bahru ke Kuala Lumpur yang bermula pada 12 Disember 2025 ini mengambil masa kira-kira 4 jam 30 minit.

Disebabkan tempahan dibuat hanya seminggu awal, tiket kelas Bisnes dengan harga $55 sehala sudah habis dijual.

Namun, saya berjaya mendapatkan tiket dua hala kelas Platinum pada harga $70.90 (termasuk insurans).

Cabaran utama bagi pelancong dari Singapura adalah merentasi Tambak.

Kerana kesuntukan waktu, saya gagal menempah tren Shuttle Tebrau (Woodlands-JB Sentral) yang hanya memakan masa lima minit.

Akibatnya, saya terpaksa menyusun strategi alternatif agar tidak tertinggal tren ke Kuala Lumpur.

Antara pilihan yang ada:

– Kereta sewa privet dari rumah (Pasir Ris) ke MRT Kranji ($41.00).

– Bas CW1 dari MRT Kranji terus ke JB ($2.00).

Tip: Anda hanya perlu bayar sekali untuk perjalanan merentasi kedua-dua pusat pemeriksaan.

Nasib menyebelahi saya kerana trafik pada pagi hari bekerja itu agak lancar.

Setibanya di JB Sentral, sempat juga saya mengisi perut di kedai makan yang sedia beroperasi sebelum mengimbas kod QR e-tiket untuk masuk ke platform.

Perbandingan: Antara tren, bas dan pesawat

Apakah kelebihan dan kekurangan pelbagai pilihan pengangkutan dari Singapura ke Kuala Lumpur?

Berikut perbandingannya:

Jika menaiki bas ekspres dari Singapura ke Kuala Lumpur, anggaran kos sehala sekitar $25 hingga $90, menjadikannya pilihan yang lebih murah berbanding pesawat tambang rendah dan menawarkan banyak lokasi berlepas.

Namun begitu, penumpang perlu bersedia menghadapi kemungkinan kesesakan trafik yang panjang serta risiko tertinggal bas semasa urusan di pusat imigresen.

Sebaliknya, pilihan menaiki pesawat tambang rendah memerlukan perbelanjaan lebih tinggi, iaitu sekitar $60 hingga $100 sehala.

Walaupun perjalanan udara dari Singapura ke Kuala Lumpur hanya mengambil masa lebih kurang 45 minit sahaja dan jauh lebih selesa, penumpang perlu mengambil kira kemungkinan penerbangan ditunda, serta kos dan masa tambahan untuk perjalanan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke pusat bandar.

Bagi mereka yang memilih ETS pula, tambang sehala sekitar $35 hingga $55.

ETS menawarkan perkhidmatan yang tepat waktu dan selesa, ruang solat disediakan di dalam tren dan penumpang wanita juga boleh memilih tempat duduk di sebelah penumpang wanita lain.

Walau bagaimanapun, untuk menaiki ETS, penumpang perlu pergi terlebih dahulu ke JB Sentral.

Perbandingan pengangkutan ke Kuala Lumpur menaiki bas, pesawat atau tren.
Perbandingan pengangkutan ke Kuala Lumpur menaiki bas, pesawat atau tren. - Grafik BM oleh HISYAM ABDUL RAHMAN

Pengalaman dalam tren

Secara keseluruhan, perjalanan ke KL Sentral amat lancar.

Walaupun ruang kaki sedikit sempit bagi sesetengah penumpang, kualiti kemudahannya sangat memuaskan.

Pastinya ruang lebih selesa disediakan di kelas Bisnes untuk perjalanan ini.

Antara kemudahan yang disediakan di dalam tren ialah kafe yang menawarkan minuman, snek dan makanan yang boleh dipanaskan, serta ruang solat yang lengkap dengan sejadah dan kelengkapan lain untuk lelaki dan wanita.

Satu kelebihan unik ETS ialah sistem tempahannya memaparkan jantina penumpang di sebelah tempat duduk melalui ikon yang jelas.

Ini memberikan ketenangan minda buat pelancong wanita solo yang tidak mahu duduk bersebelahan lelaki, ciri yang tiada pada bas atau pesawat.

Rumusan

Menaiki ETS terbukti selesa, pantas dan yang paling penting, tepat pada waktu.

Walaupun cabaran kecilnya adalah menguruskan perjalanan dari Singapura ke JB Sentral, kemudahan ini tetap menjadi pilihan utama saya selepas ini.

Memandangkan ia berhenti di KL Sentral, ia memudahkan pelancong untuk terus meneroka ibu kota itu sebaik sahaja tiba.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg