4 lagu ciptaan penuh makna
Lagu duet Salamiah Hassan dan Datuk Ahmad Jais, Berdebar-Debar Rasa Hati, merupakan antara lagu ciptaan Datuk Dr Johari Salleh yang terkenal dan bermain di fikiran ramai pencinta muzik hingga ke hari ini.
Namun, apabila ditanya Berita Harian mengenai empat lagu ciptaannya yang digemari, Johari, 85 tahun, memberikan lagu berikut dengan lagu yang selalu terngiang-ngiang di telinga tidak pula disebutnya.
Apa kata Johari mengenai setiap lagu ini?
‘SELAMAT PERGI PAHLAWANKU’ (FAZIDAH JONED)
“Lagu ini merupakan lagu patriotik dan dicipta untuk anggota pasukan tentera dan perajurit Malaysia semasa berlakunya Konfrontasi Malaysia-Indonesia atau Konfrontasi Borneo, antara 1963 hingga 1966.
“Ia juga bertujuan membakar semangat patriotisme dan menyeru askar agar berjuang demi negara, bersatu tanpa mengira perbezaan, serta menunjukkan rasa kasih demi tanah air tercinta.”
RAYUAN HASRATKU (VERSI DATUK AHMAD JAIS)
“Lagu Rayuan Hasratku sangat dekat di hati saya kerana lagu ini menjadi popular dan telah dirakam oleh tiga artis pada waktu itu. Bermula dengan Adnan Zain, kemudian Fazidah Joned dan terakhir, Ahmad Jais.
“Namun, saya senang dengan versi Ahmad Jais.”
IBU MITHALI (ORKES SENI MURNI)
“Lagu ‘Ibu Mithali’ merupakan dendangan kumpulan nasyid, Orkes Sinar Murni. Saya tujukan lagu ini buat ibu saya, Munirah Shuib.
“Saya adalah anak kedua dalam 11 beradik. Adik bongsu saya, Elmi Salleh, juga seorang penyanyi dan menetap di Malaysia kini.
“Ibu saya menjaga kami bagai menatang minyak yang penuh. Kami diasuh agar menerapkan sikap saling menghormati di antara satu sama lain.
“Ibu juga memberi nasihat berterusan agar kami bersungguh-sungguh melakukan pekerjaan dan tidak mudah mengalah.”
OH PAPAKU (DATUK YASMIN YUSUFF)
“Oh Papaku, yang dimuatkan dalam album pertama Datuk Yasmin Yusuff, seorang Ratu Malaysia 1978 bagi pertandingan Miss Universe, juga antara lagu ciptaan saya, yang bermakna.
“Saya tujukan lagu ini buat ayah saya, Mohd Salleh Mohamed, yang dilahirkan di Melaka.
“Beliau seorang insan yang telah mencetus rasa cinta dalam diri saya terhadap dunia seni, khususnya menggalakkan saya mendalami pengajian ilmu muzik dan bermain trompet.”

