Jangan kata penyanyi veteran yang sudah masuk usia ‘5 Series’ atau ‘6 Series’ tidak lagi bermaya menarik minat pencinta muzik Nusantara untuk terus terpaku dan melayan perasaan.
Sesiapa yang berkesempatan menonton Konsert Hitster Volume 1: Otai Sangat Menyengat, di Teater The Star, yang dipersembahkan Muse+ pada 1 Februari, akan kagum dengan tenaga Jatt Ali, 69 tahun; Datuk Nash, 65 tahun; Ameng Spring, 55 tahun; dan Zamani, 53 tahun.
Jarang-jarang dibuat penganjur konsert, si artis tiba-tiba muncul dalam kalangan penonton, di sudut-sudut tertentu teater yang boleh menampung 5,000 orang itu.
Konsert ini merupakan antara sajian persembahan yang dinanti-nanti pengamat hiburan muzik Melayu Nusantara.
Maklumlah, setiap artis mempunyai daya tarikan tersendiri dan lagu hit yang mengembalikan nostalgia di bangku sekolah ataupun tatkala dibuai cinta monyet dahulu.
Ameng atau nama sebenarnya, Wan Aminuddin Wan Ismail, berjaya mengubati rindu peminat genre ‘rok leleh’ dengan lagu seperti Sejiwa, Butakah Cinta dan Bourgenvilla.
Apabila anda sudah lama tidak mendengarkan suara Ameng secara ‘live’, malam itu ramai yang kata, penyanyi yang suka bergurau itu, telah mengubati segala rindu terhadap lagu-lagu kumpulan Spring.
Vokalnya masih seperti dahulu, bak ‘telan kaset’.
Kemudian muncul giliran Zamani Ibrahim, vokalis kumpulan Slam, yang membuat peminat ‘cair’ dengan tutur katanya yang sopan santun dan beradab.
Kembali Merindu, lagu yang didendangkan Zamani, mempunyai daya tarikan semberani buat penonton sehingga ramai yang bangkit menari dek irama rancaknya.
Apabila Zamani mula menyanyikan lagu Nur Kasih dan Gerimis Mengundang, ramai yang sudah hafal lirik dua lagu ini dan mampu berkaraoke beramai-ramai.
Namun, yang menarik ialah apabila Zamani ‘belanja’ lagu yang tiada dalam senarai awal lagu yang dimuatnaikkan ke media sosial Muse+.
Ramai yang nampaknya gembira apabila beliau nyanyikan lagu Rindiani, yang menjadi siulan ramai, suatu ketika dahulu.
Bintang paling senior tetapi mempunyai semangat penghibur luar biasa, Jatt atau nama sebenarnya, Tahir Ali, pula muncul dengan lagu-lagu Black Dog Bone yang malar segar, dari Si Gadis Ayu hinggalah Khayalan.
Apabila beliau bertukar ‘mode’ ke lagu Bawean yang ramai gemari dan disuntik dengan irama ‘metal’, La Obe (versi XPDC), seisi Teater The Star bergegar dengan suara penonton yang teruja menari bersama Jatt.
Giliran Nash atau Nashrudin Haji Elias pula menghiburkan peminatnya. Boleh dikatakan, bintang rok ini serba boleh. Lontarkan saja genre apa kepadanya, baik lagu ‘metal’ seperti Keadilan atau jiwa-jiwa seperti Kenangan Bersamamu.
Apabila dipandang sekeliling, ramai yang ‘head banging’ atau hantuk kepala, menandakan betapa seronoknya mereka mendengar suara serak-serak basah Nash.
Namun, hati ‘tisu’ siapa yang tidak merintih apabila berkumandang lagu hit, Pada Syurga Di Wajahmu, yang melahirkan rasa sayang sang suami dan kesyukurannya terhadap jasa sang isteri.
Sebelum konsert melabuhkan tirainya, empat legenda ini kembali sepentas dengan lagu Lefthanded yang tidak asing lagi, Tiada Lagi Kidungmu.
Konsert ini cukup bermaya kerana diiringi pemuzik handal yang sudah lama berkecimpung dalam bidang muzik seperti Rozario Rasul, Addy Cradle, Ritz Dan Fly, Sotong dan Afiq.
Susunan muzik menepati halwa telinga, dengan diri ini kadangkala risau dikecewakan oleh sistem bunyian yang terlalu kuat hingga menenggelamkan suara penyanyi. Baik-baik sedap, jadi tak best.
Jurufoto Berita Harian, Nur Diyana Taha, yang ikut hantuk kepala adakalanya, memberitahu:
“Semua ‘otai’ ini masih berbisa. Lagu mereka banyak bawa kenangan manis semasa saya meniti usia remaja.
“Saya kembali jadi remaja nampaknya setelah mendengar lagu abang-abang ini.
“Kadangkala macam teringat zaman saya berangan di katil sambil dengar lagu kegemaran daripada alat pemain kaset, Walkman.”
Pemuzik, Mohammad Khairizal Aziz, yang datang bersama isterinya, Renemarlina Osman, kededuanya 40-an tahun, berkata persembahan Jatt, Zamani, Ameng dan Nash, membawa kenangan manis buat mereka.
“Setiap intepretasi lagu menyentuh sanubari. Cuma ada sesetengah bahagian, saya kira keseimbangan suara penyanyi dengan muzik harus diperhatikan agar suara penyanyi lebih ditonjolkan.
“Jangan sampai tenggelam suara mereka yang ingin didengar penonton.
“Saya harap kalau ada Konsert Hitster Volume 2, lebih ramai artis ‘otai’ Malaysia dan Singapura boleh berkongsi pentas,” katanya.
Saya pula mengharapkan jika ada Volume 2, boleh ditampilkan pula barisan penyanyi ‘otai’ wanita daripada bermacam genre muzik. Gerenti tidak mengecewakan!
“
Konsert ini merupakan antara sajian persembahan yang dinanti-nanti pengamat hiburan muzik Melayu Nusantara. Maklumlah, setiap artis mempunyai daya tarikan tersendiri dan lagu hit yang mengembalikan nostalgia di bangku sekolah ataupun tatkala dibuai cinta monyet dahulu.Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg