Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Gabungan 4 vokalis legenda gegar pentas konsert

Warna suara Jatt, Nash, Ameng dan Zamani bawa penonton imbau nostalgia irama malar segar
Nov 28, 2024 | 5:30 AM
Empat vokalis band legenda yang bergerak secara solo, (mengikut putaran jam, dari kiri di atas) Ameng Spring, Zamani, Datuk Nash dan Jatt Ali, disatukan dalam konsert mengimbau nostalgia, ‘Konsert Hitster Volume 1: Otai Sangat Menyengat’ di The Star Theatre pada 1 Februari 2025.
Empat vokalis band legenda yang bergerak secara solo, (mengikut putaran jam, dari kiri di atas) Ameng Spring, Zamani, Datuk Nash dan Jatt Ali, disatukan dalam konsert mengimbau nostalgia, ‘Konsert Hitster Volume 1: Otai Sangat Menyengat’ di The Star Theatre pada 1 Februari 2025. - Foto INSTAGRAM MUSE+

Satukan empat legenda bersuara emas, Jatt Ali, Datuk Nash, Ameng Spring dan Zamani, di pentas yang sama untuk menikmati lagu malar segar mereka yang masih terpahat di ingatan ramai.

Anda pastinya terasa ingin bangkit menari dengan lagu Jatt, Khayalan dan terbuai dengan luahan rasa Nash dalam lagu Pada Syurga Di Wajahmu.

Selain itu, anda tentunya terkesima dengan suara mendayu Zamani dalam Gerimis Mengundang mahupun terusik dengan vokal merayu Ameng dalam lagu hit, Sampai Hati.

Di atas ingatan itulah, penganjur konsert MUSE+ yang diwakili ‘rapper’ dan penggubah lagu, Atrez, mengusahakan Konsert Hitster Volume 1: Otai Sangat Menyengat di The Star Theatre pada 1 Februari 2025 mulai 8 malam.

Ketika dihubungi Berita Harian (BH), Atrez yang sebelum ini mengendalikan konsert mega melibatkan nama besar seperti Datuk M. Nasir, Ziana Zain dan kumpulan Search, berkata konsep ‘hitster’ ini merupakan konsep baru yang diperkenalkan pihaknya dengan matlamat membangun platform bagi artis legenda atau artis baru beraksi di pentas besar.

“Dengan menghimpunkan beberapa nama terkemuka, MUSE+ dapat menghasilkan konsert yang memenuhi selera pelbagai lapisan peminat.

“Setiap edisi ‘Konsert Hitster’ akan membawa tema berbeza dan unik lantas memberikan pengalaman istimewa kepada penonton.

“Kami memulakan dengan Volume 1: Otai Sangat Menyengat sebagai permulaan siri Konsert Hitster yang dirancang kerana empat legenda ini, Datuk Nash, Zamani, Ameng Spring dan Jatt Ali, buat kali pertama bergabung di atas satu pentas besar.

“Kami menjanjikan malam penuh nostalgia dan hiburan hebat untuk peminat,” jelas Atrez, atau nama sebenarnya, Muhammad Nuridris Mohamad Samshuddin.

Ditanya mengapa konsert gabungan artis sebegini dianjurkan selepas berjaya dengan konsert artis solo dan band, Atrez berkata:

“MUSE+ menyedari potensi besar untuk mencipta pengalaman lebih unik dan istimewa bagi peminat muzik.

“Dengan menggabungkan Datuk Nash, Zamani, Ameng Spring dan Jatt Ali di atas satu pentas, MUSE+ ingin memberikan sesuatu yang belum pernah dilihat sebelum ini, iaitu gabungan suara emas yang menjadi ikon industri muzik dengan lagu-lagu hit yang malar segar.

“Usaha ini bukan sahaja meraikan sumbangan setiap artis legenda kepada dunia seni, malah mencipta platform lebih besar untuk menyatukan pelbagai generasi peminat di bawah satu bumbung.”

Beliau juga berharap penonton bukan sahaja dapat mengimbau nostalgia tetapi rasakan bagaimana muzik mampu menyatukan hati dan jiwa, melangkaui masa dan generasi.

Atrez juga melihat kekuatan setiap legenda dengan keistimewaan mereka tersendiri. Apabila ciri-ciri ini disatukan, keempat-empatnya mencipta gabungan luar biasa dan mampu menjana persembahan yang meliputi pelbagai genre, emosi dan pengalaman muzik yang tiada tandingan.

“Gabungan ini menjanjikan malam penuh magis, menghidupkan kembali era kegemilangan mereka sambil mencipta kenangan baru untuk peminat.

“Datuk Nash memiliki suara yang ikonik dan tenaga luar biasa. Beliau dikenali dengan vokal yang lantang dan berkarisma.

“Beliau malahan menghidupkan setiap lagu dengan penuh jiwa terutamanya ketika mendendangkan lagu balada rok band yang pernah dianggotainya, Lefthanded,” ujar Atrez yang meminta penonton nantikan lagu menusuk jiwa, Seruan dan Debunga Wangi pada malam itu.

Zamani pula disifatkan sebagai simbol lagu melankolik yang menyentuh perasaan.

“Suaranya unik dan masih mampu membuat ramai terpaku dengan keindahan melodi dari zaman kegemilangan Slam.

“Selain Gerimis Mengundang, ada lagu Kembali Terjalin yang akan membawa hadirin ke dalam zon cinta dan kenangan indah,” katanya.

Menurutnya lagi, penyertaan Ameng dirasakan sesuai kerana beliau Raja Balada Sentimental dan dikenali kerana kekuatan vokal dalam menyampaikan lagu balada penuh emosi seperti, Sampai Hati dan Bourgenvilla.

“Lagipun, kalau anda melihat beliau menyanyi, Ameng menguasai pentas dengan penuh ekspresi, menjadikan peminat rasa begitu dekat dengan kisah yang dilagukan,” katanya.

Vokalis kumpulan legenda asal Singapura, Black Dog Bone, Jatt pula adalah artis serba boleh yang menyampaikan lagu pop, funk, dan balada dengan penuh gaya.

“Jatt memiliki karisma memukau di samping tarian bertenaga dan gaya vokal yang dinamis, menjadikan setiap persembahannya tidak mampu anda lepaskan,” ujar Atrez.

Mungkinkah selepas ini kita dapat menyaksikan empat biduanita hebat pula beraksi di atas satu pentas?

Kata Atrez: “Tentu sekali dengan adanya konsep ‘hitster’, kita mempunyai banyak peluang menganjurkan pelbagai konsert termasuk menggabungkan penyanyi wanita legenda.”

Di sebalik segala cabaran meliputi jadual yang padat, kehendak kreatif setiap artis yang berbeza, menarik pelbagai generasi penonton, memastikan penyelarasan teknikal pencahayaan dan visual memenuhi piawaian tinggi, kos bayaran artis yang tinggi dan persaingan dalam situasi banyak konsert dianjurkan, MUSE+ tidak akan sia-siakan peluang memenuhi jangkaan penonton.

Tiket $98 (Gold); $128 (Platinum); $148 (Diamond) dan $248 (VIP meliputi sesi makan malam dengan artis serta beramah mesra dengan mereka) boleh ditempah di laman StarTix (www.startix.sg).

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg