Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

4 tempat menarik boleh dikunjungi pada hujung minggu

Jan 2, 2024 | 5:30 AM
PENGALAMAN BARU: Kanak-kanak berpeluang mendekati pelbagai binatang peliharaan di ruang haiwan atau ‘petting zoo’ yang disediakan di KidzWorld.
PENGALAMAN BARU: Kanak-kanak berpeluang mendekati pelbagai binatang peliharaan di ruang haiwan atau ‘petting zoo’ yang disediakan di KidzWorld. - Foto ST

Menjelang tahun akedemik baru, kanak-kanak mungkin sibuk dengan rutin sekolah.

Demi mewujudkan keseimbangan yang sihat antara kerja sekolah dengan waktu rehat, ibu bapa boleh mencari pelbagai cara untuk melaburkan masa lapang anak mereka dengan kegiatan menarik lagi berfaedah.

Kami sarankan lima tempat menarik yang boleh dikunjungi keluarga pada hujung minggu:

‘KIDZWORLD’

BERSORAK: Kanak-kanak boleh bermain mesra di kawasan Play Trees, yang menampilkan dua ‘rumah pokok’ atau Treehouse besar di situ.
BERSORAK: Kanak-kanak boleh bermain mesra di kawasan Play Trees, yang menampilkan dua ‘rumah pokok’ atau Treehouse besar di situ. - Foto ST

Terletak di dalam Taman Haiwan Singapura, ruang sebesar 1 hektar menampilkan pelbagai kegiatan menarik untuk anak anda!

Berbeza daripada Rainforest KidzWorld dan Children’s World, kanak-kanak berpeluang mendekati pelbagai binatang peliharaan di ruang haiwan atau ‘petting zoo’ yang disediakan. Pengunjung juga dapat berinteraksi secara fizikal dan juga digital di kawasan permainan basah di situ. Pasti seronok!

DI MANA: Taman Haiwan Singapura, 80 Mandai Lake Road
MASA: 8.30 pagi hingga 6 petang setiap hari (masa terakhir masuk 5 petang)
HARGA MASUK: Bagi warga Singapura – $29.70 untuk kanak-kanak (berusia tiga hingga 12 tahun); $43.20 untuk orang dewasa; dan $20 untuk warga emas (berusia 60 tahun ke atas).

Kunjungi https://www.mandai.com/en/ticketing/admission-and-rides/parks-selection.html?abandonedCart=true untuk maklumat lanjut.

Apa yang menarik: Berkunjung taman haiwan untuk melawat pelbagai binatang yang dipamerkan memanglah seronok, apatah lagi berinteraksi dengan binatang peliharaan secara dekat!

Selain menonton persembahan anjing dan kucing, para pengunjung berpeluang berinteraksi bersama arnab comel di zon dalaman Little Paws. Ini boleh dianggap sebagai salah satu daripada sorotan istimewa yang ditawarkan KidzWorld. Ketibaan pengunjung di zon luaran Animal Land disambut dengan peluang menyentuh kambing.

Kanak-kanak boleh bermain mesra di kawasan Play Trees yang menampilkan dua ‘rumah pokok’ atau Treehouse besar di situ.

PERHATIAN: Beberapa zon tertentu mungkin tutup semasa kunjungan.

Tidak perlu bersusah-payah mencari makanan di KidzWorld sekiranya anak anda lapar selepas tenat bermain sehari suntuk. KFC dan KidzWorld Cafe, kafe yang bertemakan hutan, menjemput keluarga anda ‘bersidang’!

Sekiranya anak anda sudah merancang untuk melaburkan masa di kawasan permainan basah yang disediakan di KidzWorld, jangan lupa membawa pakaian renang dan beberapa tuala.

‘CHAOS LAB SINGAPORE’

BERGAYA DI ‘MAKMAL SAINS’: Di bilik Pneumatic Pressure Pipes di Chaos Lab, si cilik perlu cuba menangkap bola yang keluar dengan pantas dari tiub berpilin pada tembok.
BERGAYA DI ‘MAKMAL SAINS’: Di bilik Pneumatic Pressure Pipes di Chaos Lab, si cilik perlu cuba menangkap bola yang keluar dengan pantas dari tiub berpilin pada tembok. - Foto ST

Dilancarkan di kota Sydney dan Melbourne oleh platform hiburan terkemuka, Fever, Chaos Lab merupakan taman permainan yang bertema menyerupai gaya bilik makmal sains.

DI MANA: Viewing Mall North, 03-03 Lapangan Terbang Changi Terminal 2, 60 Airport Boulevard
MASA: Dibuka hingga suku kedua 2024, 11 pagi hingga 10 malam setiap hari (masa terakhir masuk 9 malam)
HARGA MASUK: $30 untuk kanak-kanak dan $9 untuk yang berusia 13 tahun ke atas. Harga percuma untuk bayi dan kanak-kanak kecil bawah tiga tahun. Kunjungi https://chaos-lab.co/singapore/ atau muat turun aplikasi Fever di App Store atau Google Play.

Apa yang menarik: Sekiranya anak anda seorang yang gemar meneroka warna-warna, Chaos Lab menjemput anda sekeluarga!

Dengan gaya seakan bilik makmal, pengunjung disambut oleh ‘saintis gila’, Dr Splat, dan rakan sekerjanya yang menguruskan 11 stesen lain, termasuk stesen ruang berisi bola-bola atau ‘Ball Pit’ dan stesen kotak pasir dengan realiti terimbuh (AR) atau ‘AR sandbox’.

Pengalaman di Chaos Lab bukanlah sekadar main! Kanak-kanak boleh juga belajar tentang sains melalui pelbagai eksperimen yang dipamerkan.

Di bilik Pneumatic Pressure Pipes, mereka boleh cuba menangkap bola yang keluar dengan pantas dari tiub berpilin pada tembok.

Di dinding Gravity pula, anda boleh mereka konfigurasi tanjakan sendiri. Si cilik dapat mengenal dan mempelajari hukum graviti secara mendalam. Sekali gus, anda boleh melukis di dinding tersebut dengan menggunakan pen marker neon.

Permainan papan ‘Twister’ turut disediakan atas lantai yang menyala pendarfour untuk menghiburkan seisi keluarga anda serentak.

PERHATIAN: Alangkah terujanya berseronok bermula dari pintu masuk! Di sini, si cilik dapat mengembara minda kreatifnya dengan mereka bentuk seni sendiri di panel sekuin interaktif yang terdapat pada dinding situ.

Stesen slime turut menjadi tarikan banyak kanak-kanak di sana. Dengan bantuan kakitangan, mereka dapat membuat slime sendiri dan membawanya pulang sebagai cenderamata.

Namun, sediakan masa 30 hingga 45 minit untuk menghabiskan semua aktiviti yang ditawarkan Chaos Lab.

NYAMAN: Taman KPMG Wellness Garden adalah antara daya usaha NParks untuk lebih menggalakkan orang awam berinteraksi dengan alam semula jadi.
NYAMAN: Taman KPMG Wellness Garden adalah antara daya usaha NParks untuk lebih menggalakkan orang awam berinteraksi dengan alam semula jadi. - Foto ST

Sebuah taman di Pantai East Coast, anjuran Lembaga Taman Negara (NParks) dan sebuah firma perkhidmatan profesional KPMG.

Di mana: Area D, Taman East Coast, East Coast Park Service Road
Masa: 24 jam
Harga masuk: Percuma

Apa yang menarik: Sebesar 1.5 padang bola, ruang ini sesuai untuk berkelah seisi keluarga sambil anak bersorak. Si cilik akan sibuk dengan pelbagai tarikan yang ditampilkan – dari memanjat papan, bermain pasir di kotak pasir atau bagi yang gemar bersama muzik, mengarang lagu sendiri menggunakan instrumen ‘paip tangan’ atau gendang yang disediakan.

Yang dewasa juga boleh berseronok bersenam di beberapa sudut kecergasan yang disertakan.

Di samping itu, taman terapeutik menawarkan suasana yang tenang dan selesa dengan pelbagai jenis pokok dan tumbuh-tumbuhan. Ini antara daya usaha NParks untuk lebih menggalakkan orang awam berinteraksi dengan alam semula jadi.

Sekiranya anda mahu mengambil gambar buat kenangan selepas sehari suntuk bersorak seisi keluarga, naiklah dek tinggi untuk mendapatkan pemandangan laut, tasik dan taman yang terserlah menakjubkan.

Sememangnya, destinasi ini amat sesuai untuk warga emas juga. Direka hias agar lebih inklusif untuk generasi mereka, terdapat banyak ruang duduk, laluan yang bebas daripada sebarang adangan serta laluan landai agar lebih mudah untuk yang berkerusi roda meronda. Bahkan, tarikan trampoline juga boleh diakses di kalangan yang berkerusi roda.

PERHATIAN: Taman ini terletak berdekatan dengan pusat makan East Coast Seafood Centre. Terdapat banyak pilihan hidangan yang boleh anda kongsi seisi keluarga, dari Jumbo Seafood hingga Enak Enak.

‘THE WORLD OF NICKELODEON’

BERINTERAKSI DENGAN KARTUN KEGEMARAN: Anak anda dapat menyelami diri dalam dunia kartun SpongeBob Squarepants, Dora The Explorer dan sebagainya di tarikan The World Of Nickelodean.
BERINTERAKSI DENGAN KARTUN KEGEMARAN: Anak anda dapat menyelami diri dalam dunia kartun SpongeBob Squarepants, Dora The Explorer dan sebagainya di tarikan The World Of Nickelodean. - Foto ST

Ia merupakan versi baru taman permainan yang berdasarkan watak kartun Nickelodeon seperti Paw Patrol yang pertama kali dilancarkan pada 2022.

DI MANA: Let’s Play, 03-208 Marina Square, 6 Raffles Boulevard
MASA: Hingga 14 Januari, 10 pagi hingga 8.30 malam setiap hari
HARGA MASUK: Tiket bermula dari $28. Layari https://www.sistic.com.sg/events/won0124 untuk maklumat lanjut.

Apa yang menarik: Sebagai ibu bapa, anda mungkin kenal dengan watak kartun Paw Patrol yang mendapat sambutan hangat dalam kalangan kanak-kanak serata dunia.

The World Of Nickelodeon menawarkan beberapa ruang bermain yang bertemakan kartun Paw Patrol. Anak anda berpeluang memadam api menggunakan hos air, memandu jengkaut dan berjoget seiring pancaran cahaya pelbagai warna.

Di sudut Teenage Mutant Ninja Turtles pula, si cilik boleh meneroka pengembaraan ‘ninja’ melalui laluan berhalangan – sesuai untuk kanak-kanak dengan gaya hidup aktif.

Walaupun sudut Dora The Explorer tidak lagi mempunyai perjalanan kereta api seperti yang ditampilkan sebelum ini pada 2022, anak anda masih berpeluang melatih kemahiran golf, bola keranjang dan memanah di kelab sukan yang disediakan.

Dalam dunia SpongeBob Squarepants pula, terdapat sudut yang menawarkan basikal senaman yang akan mengeluarkan buih. Anak anda juga boleh menyusun bantal menyerupai bentuk roti, daging burger, dan keju mengumpamakan versi gergasi Krabby Patties yang sering ditayangkan kartun tersebut.

PERHATIAN: Pilihan watak yang terlibat dalam sesi temu ramah datang secara rawak, maka lebih baik mempersiapkan anak anda terlebih dahulu sekiranya mereka sangat mengharapkan bertemu dengan watak kegemaran mereka sahaja.

Terdapat empat sesi yang berlangsung setiap hari – 10 pagi, 1.30 petang, 4 petang dan 6.30 petang. Setiap sesi berlangsung selama dua jam.

Jangan lupa membawa stoking! Beberapa sudut di The World Of Nickelodeon memerlukan anda menanggalkan kasut.

‘MAXI DRIFT BUMPER CARS’

‘DRIFT’:  Trek kereta bumper yang unik ini hanya boleh didapati di cawangan Timezone di Jurong Point sahaja.
‘DRIFT’:  Trek kereta bumper yang unik ini hanya boleh didapati di cawangan Timezone di Jurong Point sahaja. - Foto ST

Rangkaian hiburan dan arked, Timezone, baru melancarkan tarikan kereta bumper yang pertama di Singapura yang boleh melakukan aksi ‘drift’ yang lazim dikendali oleh pelumba jalanan. Trek berukuran 20 meter ini hanya boleh didapati di cawangan Timezone di Jurong Point.

DI MANA: Timezone Jurong Point, 02-45 Jurong Point, 1 Jurong West Central 2
MASA: 11 pagi hingga 10 malam pada hari biasa; 10 pagi hingga 10 malam pada hujung minggu, cuti sekolah dan cuti umum.
HARGA MASUK: $12 setiap giliran, bagi dua orang.

Apa yang menarik: Sekiranya impian anda adalah untuk ‘drift’ seperti pelumba jalanan dalam filem Fast & Furious atau Initial D tetapi secara selamat, kunjungilah Timezone Jurong Point!

Anak anda juga dapat ikut serta di samping kereta bumper yang sama. Kereta laga atau ‘bumper car’ yang boleh memuat dua orang itu direka hias untuk keperluan kanak-kanak juga.

Hanya kanak-kanak dengan ketinggian 105 cm ke atas dibenarkan. Anda juga harus lebih tinggi daripada 130 cm untuk memandu kereta laga tersebut.

Menurut kenyataan Timezone, tarikan itu sudah pun dikaji dan disahkan oleh Penguasa Bangunan dan Binaan (BCA).

Namun, seperti kereta bumper biasa yang lain, bersedialah diri secara mental untuk dilanggar kereta bumper lain semasa bermain.

Cawangan Timezone di Jurong Point merupakan cawangan kedua terbesar di Singapura. Baru-baru ini, cawangan itu telah menambah tiga permainan baru termasuk Break The Plate, Over The Edge dan Hyper Cross. Tambahan ini membawa jumlah penuh permainan di Timezone sebanyak 130.

PERHATIAN: Pemain mungkin akan mengambil masa untuk menyesuaikan diri mengendalikan ‘steering’ dan ‘pedal’ kereta bumper itu untuk ‘drift’. Dalam jangka masa itu, perjalanan yang hanya berlangsung selama tiga minit itu sudah pun tamat.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg