Singapura telah mendahului senarai, mengatasi lima negara lain untuk menduduki tempat pertama dalam ranking pasport dunia, dengan rakyatnya kini menikmati perjalanan tanpa visa ke 195 daripada 227 destinasi pelancongan.
Menurut data terkini Indeks Pasport Henley pada 23 Julai, lima negara itu – Perancis, Jerman, Italy, Jepun dan Sepanyol – jatuh ke tempat kedua, dengan pemegang pasportnya boleh mengembara tanpa visa ke 192 destinasi.
Sebelum ini, lima negara itu dan Singapura berkongsi tempat pertama, yang membolehkan pemegang pasport berkunjung ke 194 daripada 227 destinasi pelancongan tanpa visa.
Indeks tersebut menyenaraikan 199 pasport dunia dan 227 destinasi pelancongan.
Dengan ‘kuasa’ pasport Singapura, penduduk berpeluang meneroka ‘permata’ tersembunyi di serata dunia dan menimba pengalaman percutian baru.
Berikut lima destinasi eksotik dan jarang disebut, saranan Skyscanner, yang boleh dikunjung menggunakan pasport Singapura.
Terletak di daerah selatan Finland, Estonia merupakan antara ‘permata’ tersembunyi Kesatuan Eropah.
Daripada istana indahnya yang berdiri megah di atas bukit hingga festival meriah seperti Festival Lagu dan Tarian terkenal, negara yang selalu terlepas pandang ini menawarkan pengalaman percutian yang lain daripada lain.
Antara tarikannya ialah Old Town atau Bandar Lama yang termasuk dalam Senarai Warisan Dunia Unesco.
Estonia boleh dikunjungi dengan mengambil penerbangan ke Lapangan Terbang Tallinn di Estonia menerusi transit di Lapangan Terbang Helsinki Vantaa di Finland.
Penerbangan sehala ke Estonia bermula dari $619.*
Cape Verde merupakan negara kepulauan Afrika Barat di tengah Lautan Atlantik, terdiri daripada 10 pulau gunung berapi.
Ia menjadi idaman pengunjung yang dambakan ‘syurga’ pantai tropika dengan pasirnya yang putih serta air pirusnya yang jernih.
Selain keindahan semula jadinya yang menakjubkan, negara itu juga mempunyai arena muzik yang bertenaga dengan budaya tradisional yang kaya.
Cape Verde boleh dikunjungi dengan menaiki penerbangan ke Lapangan Terbang Praia di Cape Verde menerusi dua perhentian sementara di Lapangan Terbang Dubai dan Lapangan Terbang Lisbon di Portugal.
Harga penerbangan sehala ke Cape Verde bermula dari $891.*
Terkenal sebagai Ratu Kepulauan, Tahiti ialah destinasi tropika sesuai untuk anda mendapatkan dos Vitamin D.
Gunung-ganang yang megah berdiri di sekitarannya menjadikan ia destinasi yang sangat menakjubkan dan santai.
Tahiti juga salah satu lokasi tuan rumah bagi sukan luncur air Sukan Olimpik 2024.
Polynesia Perancis boleh dikunjungi dengan menaiki penerbangan ke Lapangan Terbang Papeete di Polynesia Perancis menerusi dua perhentian sementara di Lapangan Terbang Brisbane di Australia dan Lapangan Terbang Auckland di New Zealand.
Penerbangan sehala ke Polynesia Perancis bermula dari $1,032.*
Berlainan dengan negara jirannya Croatia yang dibanjiri dengan pelancong, Montenegro menawarkan landskap semula jadi menakjubkan, bandar lama serta budaya sejarah yang kaya.
Montenegro menyediakan suasana yang tenang dan menawan alternatif untuk pelancong yang mendambakan pengalaman perjalanan yang aman.
Montenegro boleh dikunjungi dengan menaiki penerbangan ke Lapangan Terbang Tvat di Montenegro dengan dua perhentian sementara di Lapangan Terbang Suvarnabhumi di Bangkok, Thailand, dan Lapangan Terbang Istanbul di Turkey.
Harga penerbangan sehala ke Montenegro bermula dari $792*.
New Caledonia adalah pulau tropika di Pasifik Selatan dan juga menempatkan terumbu karang kedua terpanjang.
Destinasi ini menawarkan pengalaman bawah air yang tiada tandingannya apabila anda menyelam meneroka lagun karang yang jernih dan berenang sambil ditemani kehidupan marin yang sangat indah.
New Caledonia boleh dikunjungi dengan menaiki penerbangan langsung ke Lapangan Terbang Noumea Tontouta di New Caledonia.
Penerbangan sehala ke New Caledonia bermula dari $674.*
*Carian adalah berdasarkan tarikh keberangkatan 27 Ogos 2024, dan carian dilakukan di Skyscanner pada 6 Ogos.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg