Tahun 2025 dijangka menjadi tahun sesuai bagi golongan kaki jalan yang suka meneroka dunia pada waktu malam, sedang trend ‘noctourism’ (pelancongan waktu gelap) semakin popular.
Ahli astronomi, ahli meteorologi dan saintis dari Pentadbiran Penerbangan dan Angkasa Lepas Kebangsaan (Nasa) sudah mencatat kemuncak kegiatan suria yang akan membawa kepada paparan cahaya utara atau ‘northern lights’ yang lebih kerap dan jelas kelihatan di seluruh dunia tahun ini.
Berdasarkan ramalan perjalanan wadah tempahan Booking.com, sekitar satu dalam tiga pengunjung Asia Pasifik termasuk Singapura akan mempertimbangkan destinasi yang menawarkan pengalaman memerhati langit yang gelap untuk percutian mereka seterusnya.
Berikut lima destinasi yang sesuai dikunjungi bagi pengalaman memerhati keajaiban berkaitan astronomi.
Terletak lebih dekat dengan Singapura, di Asia Pasifik, Tasmania menonjol sebagai destinasi yang menawarkan pengalaman baik memerhati bintang dengan langit malamnya yang tidak tercemar.
Terkenal dengan hutan belantara yang asli dan keindahan menakjubkan, Tasmania ialah destinasi utama untuk menyaksikan peristiwa angkasa yang mengagumkan seperti Eta Aquariids, yang boleh dilihat dari kira-kira 19 April hingga 28 Mei setiap tahun dengan kemuncak aktiviti berlaku sekitar 5 Mei.
Hujan meteor itu boleh diperhatikan dari bahagian terpencil di Hemisfera Selatan.
Svalbard di Norway, Longyearbyen, dipuji sebagai salah satu kawasan paling menawan untuk mengalami keindahan Cahaya Utara atau ‘Northern Light’, pengalaman yang terasa bak anda sebahagian fiksyen sains.
Petempatan paling utara di dunia itu dikelilingi ‘fjord’ yang dilitupi ais, glasier, gua ais, anjing ‘husky’ dan hidupan liar yang jarang ditemui.
Pada lewat Oktober hingga akhir Februari, ‘malam kutub’ bermula, maka suasana menjadi gelap gelita, sesuai untuk 76 peratus pengembara Asia Pasifik dan 73 peratus pengembara Singapura yang mencari tempat memerhati bintang sebagai sebahagian jadual perjalanan mereka.
Terletak di Hudson Bay di hujung utara Manitoba, Churchill terkenal dengan iklimnya yang sejuk, malah lebih dikenali dengan penghijrahan beruang kutub setiap musim gugur, apabila suhu turun dan air jernih membeku.
Disebabkan lokasi sub-artiknya, Cahaya Utara boleh dilihat di Churchill hampir sepanjang tahun, dengan tempoh Januari hingga Mac yang paling sesuai kerana malamnya lebih lama dan cuacanya yang lebih sejuk. Banyak boleh diteroka, dari mengejar aurora, memerhatikan bintang hingga mencari komet.
Jökulsárlón, yang diterjemahkan kepada ‘lagun sungai glasier’, ialah tasik glasier besar di bahagian selatan Taman Nasional Vatnajökull di Iceland.
Salah satu kawasan paling menakjubkan dan mercu tanda negara di Iceland, Jökulsárlón dipenuhi perairan berais, gunung ais yang mengagumkan dan didiami oleh pelbagai hidupan liar yang luar biasa dan unik seperti anjing laut dan ikan paus.
Pada musim sejuk, aktiviti pada waktu malam digemari oleh penduduk dan penduduk tempatan. Sama ada mengembara alam semula jadi di bawah langit yang diterangi cahaya aurora, atau meredah lagun untuk melihat hidupan liar dan sekitaran alam pada jarak dekat, bahagian Iceland ini menawarkan pengalaman yang sukar ditanding.
Sedona, merupakan tarikan padang pasir sesuai buat penggemar aktiviti luar, terletak di wilayah utara Arizona.
Pada bulan-bulan lebih sejuk, bandar ini, yang terkenal sebagai sebuah oasis warna kemerah-merahan, berubah sepenuhnya menjadi tempat percutian musim sejuk yang menakjubkan, menawarkan pengembara suasana tenang diiringi puncak gunung bersalji.
Memandangkan tempoh gelap semakin lama, pengunjung boleh melibatkan diri dalam kegiatan bermula dari waktu petang untuk benar-benar menyelami kehidupan warga tempatan. Antaranya, mereka boleh mengikuti kunjungan untuk mendalami sejarah konsep astrologi Sedona dan membongkar aspek tersembunyi budaya moden.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg