Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

5 tarikan wajib dikunjungi di Aceh

Meski dibadai tsunami lebih 2 dekad lalu, Aceh tetap teguh dengan warisan dan keindahan
Mar 23, 2025 | 5:30 PM
Orang ramai berkunjung ke Masjid Raya Baiturrahman di Banda Aceh pada Januari 2025.
Orang ramai berkunjung ke Masjid Raya Baiturrahman di Banda Aceh pada Januari 2025. - Foto AFP

Banda Aceh menjadi tajuk berita apabila ia dibadai teruk tsunami pada 2004.

Sejak tragedi itu, bandar tersebut telah membangunkan semula prasarananya sambil penduduk di sana bangkit semula daripada memori pahit yang meragut nyawa orang tersayang.

Lebih 20 tahun kemudian, Banda Aceh menjadi lambang ketabahan dan juga menempatkan masjid indah selain mercu tanda bersejarah yang menarik.

Pengunjung yang ke sana bukan sahaja dapat selami kehidupan penduduk tempatan dan budaya mereka, malah susuri sejarah yang membentuk tempat dan penduduk di sana.

Namun, pengunjung diingatkan supaya berpakaian sopan.

Antara syarikat penerbangan yang menawarkan penerbangan dari Singapura ke Banda Aceh ialah pesawat kos rendah, Air Asia.

Walaupun penumpang perlu transit di Kuala Lumpur, Malaysia, khidmat ‘Fly-Thru’ syarikat tersebut menyediakan khidmat yang memudahkan ketersembangun penerbangan tanpa penumpang perlu mengambil bagasi di destinasi transit.

Berikut lima perkara yang anda boleh lakukan ketika berada di Aceh.

Lawat Masjid Raya Baiturrahman

Masjid Raya Baiturrahman megah berdiri di Banda Aceh, meski dibadai ombak tsunami pada 2004.
Masjid Raya Baiturrahman megah berdiri di Banda Aceh, meski dibadai ombak tsunami pada 2004. - Foto BM oleh SHAFIQ APANDI

Masjid di Banda Aceh ini merupakan lambang agama, budaya, semangat, kekuatan, ketabahan dan nasionalisme warga Aceh.

Ia menjadi mercu tanda kerana tetap teguh berdiri meski dibadai ombak tsunami pada 2004 yang meragut nyawa ribuan orang.

Masjid ini pada asalnya direka oleh arkitek Belanda dengan bahannya diimport.

Rekaan dalamannya dihiasi lantai dan tangga marmar dari China, tingkap kaca berwarna dari Belgium dan batu binaan dari Belanda.

Kunjungi Muzium Tsunami Aceh

Bilik di Muzium Tsunami Aceh ini dibina khas dengan nama-nama mangsa yang terkorban pada 2004.
Bilik di Muzium Tsunami Aceh ini dibina khas dengan nama-nama mangsa yang terkorban pada 2004. - Foto ST

Susuri sejarah Banda Aceh yang ditimpa tragedi tsunami pada 2004 di Muzium Tsunami di Jalan Iskandar Muda Street.

Tatkala menjejakkan kaki di dalam muzium, pengunjung akan disambut lorong sempit dengan air mengalir dari tepi, diiringi bunyi gemuruh yang menakutkan, mengingatkan pengunjung tentang kemusnahan akibat tsunami yang melanda.

Muzium dua tingkat tersebut turut menampilkan simulasi elektronik gempa bumi Lautan India, gambar-gambar mangsa yang terkorban serta kisah mereka yang terselamat daripada tragedi itu.

Hirup kopi di kafe Morning Mama

Cik Qurrata Ayuni (kanan) membuat kopi di kafe Morning Mama di Banda Aceh.
Cik Qurrata Ayuni (kanan) membuat kopi di kafe Morning Mama di Banda Aceh. - Foto AFP

Antara banyak kedai kopi, anda perlu kunjung ke kafe ini, yang dipercayai satu-satunya kafe yang dikendalikan wanita di Banda Aceh, ibu kota Aceh.

Kafe itu dimiliki Cik Qurrata Ayuni yang membuka Morning Mama pada 2023 untuk mewujudkan ruang yang memenuhi keperluan wanita di Banda Aceh, yang menempatkan lebih 1,000 kedai kopi.

Menurut laporan media, beliau dan para barista mahu menyediakan alternatif daripada tempat tumpuan lelaki yang bising dan dipenuhi asap rokok.

Tarikan utama Aceh kepada pelawat selalunya adalah kopi, dengan kopi sanger tradisional, yang dicampur dengan susu pekat manis, menjadi pilihan kegemaran ramai.

Bergambar di Bot Lampulo

Bot nelayan terdampar di atas bumbung rumah di Banda Aceh, Indonesia.
Bot nelayan terdampar di atas bumbung rumah di Banda Aceh, Indonesia. - Foto BM oleh SHAFIQ APANDI

Salah satu tapak terkenal yang menjadi peninggalan daripada tragedi tsunami pada 2004 ialah Lampulo Boat, atau kapal atas rumah.

Bot nelayan seberat 20 tan itu, yang asalnya berlabuh di jeti di sepanjang Sungai Krueng Aceh, kira-kira satu kilometer jauh, terkandas di atas bumbung rumah gara-gara ombak kuat tsunami.

Dipercayai, bot itu yang dibawa arus jauh ke darat telah menyelamatkan nyawa 59 orang yang memanjat masuk bot tersebut sewaktu tsunami melanda.

Bersiar-siar ke Pulau Weh

Pulau Weh terletak 45 minit jauh jika menaiki feri dari Banda Aceh.
Pulau Weh terletak 45 minit jauh jika menaiki feri dari Banda Aceh. - Foto FACEBOOK IVY PHAN

Pulau kecil ini terletak hanya 45 minit jauh jika menaiki feri dari Banda Aceh dan menawarkan pemandangan yang menakjubkan.

Pulau ini sesuai bagi mereka yang gemar kegiatan menyelam dan selam permukaan atau ‘snorkeling’, memandangkan dunia bawah lautnya menawarkan pemandangan indah dihiasi kehidupan laut berwarna-warni.

Selain menyelam dan bersantai di tepi pantai, pengunjung juga boleh melakukan kegiatan mendaki atau ‘hiking’ di hutan, berendam di kawasan air terjun atau teroka gunung berapi aktif di sana.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg