Dalam kesibukan menunaikan ibadah Ramadan, ada yang mungkin mula membuat persiapan menyambut Syawal beberapa minggu lagi – tidak kiralah dari segi pakaian Raya, kuih Raya, perhiasan rumah dan sebagainya.
Walau kelengkapan Raya boleh diperolehi di banyak tempat termasuk bazar di Singapura, ada yang meluaskan pilihan dan meninjau kepelbagaian ke seberang Tambak.
Selain lokasi yang sudah popular dalam kalangan warga Singapura seperti Angsana Mall, Bandar Baru Uda dan AEON Mall Tebrau City, berikut lima destinasi ‘shopping’ lain – termasuk yang baru dibuka – yang boleh dikunjung di Johor Bahru yang ditinjau Berita Minggu (BM) baru-baru ini.
Mereka yang ‘hantu kerepek’ boleh singgah di ‘gudang’ snek Bamboo Food yang menampilkan lebih 200 jenis kuih dan kerepek, difahamkan dibekalkan oleh pelbagai perniagaan rumah yang antaranya berasal dari kawasan kampung.
Terdapat kerepek tradisional seperti ubi masin, pisang tanduk, rempeyek, sukun, batang buruk dan macam-macam lagi.
Antara kerepek unik ialah tempe sira dan kerepek ‘traffic light’ hijau (perisa lada hijau), kuning (perisa limau), dan merah (perisa sambal).
Dodol pula boleh didapati dalam saiz kecil, dibawa jauh dari Melaka.
Selain kerepek, tempat ini juga menawarkan aneka kuih-muih, dari yang tradisional seperti tart sepit, makmur, bangkit hingga yang berperisa moden seperti biskut coklat cadbury bar dan bangkit keju.
Ini selain kek lapis pelbagai perisa seperti cempedak dan durian, serta kek kukus buah lembab.
Kedai ini juga menyediakan kaedah pembayaran menerusi PayNow bagi memudahkan pelanggan Singapura yang tidak membawa wang tunai.
Kedai dibuka dari 7 pagi hingga 1 pagi setiap hari, dan pelanggan dinasihati datang awal.
Alamat: Jalan Ungku Mohsin Ungku Mohsin, Larkin, 80350 Johor Bahru, Johor Darul Ta’zim
Bertemakan Cheriteraya Raya Aidilfitri, ruang ini menampilkan lebih 100 vendor yang menjual makanan, minuman, pakaian dan macam-macam lagi.
Pengunjung boleh bersiar-siar di deretan kedai untuk mencari baju Raya sesuai mengikut cita rasa masing-masing, termasuk baju sedondon keluarga.
Sampul Raya comel, selain songkok dan ‘brooch’ tudung juga boleh didapati pada harga yang sangat berpatutan.
Sebelum meninggalkan tempat itu, anda juga boleh ke kedai Foodbroad yang menjual kek lapis dan kek tapak kuda aneka perisa.
Contohnya, kek lapis blueberry, kek lapis caramel latte, kek tapak kuda chocolate matcha crunchy, kek tapak kuda kinder bueno dan bermacam lagi.
B5 Johor Street Market dibuka dari 12 tengah hari hingga 12 tengah malam, namun menurut tinjauan BM, adalah lebih baik untuk berkunjung ke sana mulai 3 petang dengan lebih banyak kedai sudah dibuka.
Foodbroad pula dibuka dari 11 pagi.
Alamat: Jalan Nenas, Pusat Bandar Tampoi, 81200 Johor Bahru, Johor Darul Ta’zim
Larkin Junction baru dibuka dan ketika wartawan BM bersiar-siar di pusat beli-belah itu, memang tidak ramai orang dan tidak sesak langsung.
Ini satu bonus bagi mereka yang ingin berbelanja dalam suasana tenang dan berhawa dingin.
Mereka yang memerlukan kelengkapan Raya dan perhiasan rumah boleh singgah di kedai PISB di tingkat tiga.
Selain balang kuih, perhiasan Raya, pinggan mangkuk, terdapat juga pokok, dedaun dan bunga palsu bersama pasunya dijual di kedai tersebut.
Di tingkat satu pula ada pasar raya Hwa Thai, sesuai bagi mereka yang mahu beli barang mentah untuk masak juadah Raya ataupun minuman sedap untuk dihidangkan kepada tetamu.
Alamat: Jalan Dewata, Taman Larkin Perdana, 80350 Johor Bahru, Johor Darul Ta’zim
Alang-alang berada di daerah Larkin, anda boleh singgah di kedai Cakecited bagi pilihan kuih moden.
Walaupun pilihannya tidak begitu luas dan ruang kedainya agak kecil, saya ke sana khusus untuk membeli biskut jenis ‘shortbread’ mereka.
Biskut jenis rapuh dan cair di dalam mulut ini boleh didapati dalam bermacam perisa, termasuk strawberi matcha, tiramisu, pistachio crumbs, raspberi white dan biscoff marble.
Mereka yang inginkan kuih ‘lain daripada yang lain’, boleh cuba biskut ini.
Alamat: 6, Gerai Wakaf, Masjid Ungku Tun Aminah, Kampung Pasir, 81200 Johor Bahru, Johor Darul Ta’zim.
Pusat beli-belah Toppen sedang mengadakan jualan mega Raya di tingkat satu hingga akhir Mac.
Anda boleh dapatkan songket dari Terengganu, baju batik, perhiasan rumah, ‘brooch’ tudung, kuih-muih dan bermacam lagi.
Di luar pusat beli-belah itu juga terdapat deretan kedai menjual pelbagai busana Raya selain makanan dan minuman berbuka puasa.
Alamat: Toppen Shopping Centre, 33, Jln Harmonium, Taman Desa Tebrau, 81100 Johor Bahru
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg