Sudah seminggu umat Islam berpuasa sempena bulan mulia Ramadan.
Dengan tibanya Ramadan, maka tumbuhlah bak cendawan selepas hujan banyak bazar di serata tempat sama ada di Malaysia mahupun Singapura.
Bazar semasa Ramadan menjadi tumpuan ramai memandangkan ia menjual pelbagai makanan dan minuman menarik demi memenuhi keperluan berbuka puasa. Selain itu, terdapat juga kedai yang menjual pakaian dan barangan yang diperlukan sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri kelak.
Di seluruh Malaysia, dianggarkan terdapat lebih 50,000 tapak gerai bazar Ramadan, menawarkan pelbagai juadah berbuka puasa yang menarik bagi orang ramai mencari makanan kegemaran masing-masing untuk berbuka.
Di Johor sahaja dilaporkan sekitar 12,757 petak jualan bagi Bazar Ramadan dan Bazar Aidilfitri diluluskan kerajaan negeri pada 2025 di 228 lokasi di seluruh kawasan 16 pihak berkuasa tempatan (PBT).
Angka itu merupakan kenaikan sebanyak kira-kira 3 peratus berbanding jumlah pada 2024.
Saban tahun, sempena Ramadan, ramai warga Singapura akan berkunjung ke Johor untuk ke bazar-bazar utama di sana, sama ada untuk membeli makanan buat keperluan berbuka puasa mahupun membeli pakaian dan barangan buat keperluan Aidilfitri.
Antara tarikan utama bazar di Johor adalah banyaknya jenis makanan dan minuman yang ditawarkan. Memang sesiapa yang ke bazar utama di Johor, pasti akan rambang mata untuk memilih pelbagai jenis makanan dan minuman untuk dinikmati semasa berbuka puasa.
Begitu juga dengan banyaknya pelbagai pakaian dan barangan bagi menyambut perayaan Aidilfitri yang disediakan di bazar Johor.
Namun faktor penting adalah harga makanan dan pakaian Raya di situ yang lebih rendah daripada di Singapura.
Cuma dicongak, kos sebenar membeli barangan di Johor adalah lebih tinggi kerana selalunya ini belum termasuk kos pengangkutan dari Singapura ke Johor seperti kos minyak dan bayaran tol di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) di Johor.
Selain itu, ada juga ‘kos masa’ yang perlu diluangkan untuk sampai ke destinasi, yang jika berlaku kesesakan, boleh mengambil selama berjam-jam lamanya.
Seorang kenalan memberitahu saya perjalanannya ke Johor Bahru (JB) baru-baru ini memakan masa lebih tiga jam melalui Koswe, selepas tersangkut dalam kesesakan. Sejurus melepasi imigresen di Johor, katanya, beliau sudah pun berasa penat.
Memang tiada salahnya berbelanja di bazar di JB untuk mendapatkan makan minum untuk berbuka puasa, mahupun pakaian dan keperluan lain bagi menyambut Aidilfitri.
Lagipun, dengan kadar tukaran dolar Singapura berbanding ringgit Malaysia sekarang ini, memang harga di seberang Tambak umumnya lebih rendah dan menarik. Oleh itu, ia boleh dianggap sebagai menjimatkan belanja, apatah lagi bagi keluarga besar.
Namun, usahlah sampai kita terlupa pula untuk berbelanja di kedai atau bazar di Singapura dalam keperluan berbuka puasa mahupun menyambut Aidilfitri. Di sini, banyak bazar dianjurkan di serata negara – timur, selatan, barat dan barat – dengan tawaran pelbagai makanan dan pakaian.
Perbelanjaan di kedai dan bazar tempatan akan memberi pendapatan tambahan kepada peniaga kecil dan besar, yang membolehkan mereka terus berniaga demi kemaslahatan penduduk Singapura.
Ini juga akan memberi suntikan kepada ekonomi tempatan, dengan peniaga dapat meraih lebih pendapatan daripada biasa sempena Ramadan, selain mewujudkan peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan.
Oleh itu, dalam keghairahan kita berbelanja di bazar Johor, wajar juga kita berbelanja sama di bazar di Singapura.
Sama-samalah kita menjaga kemaslahatan peniaga tempatan, sedang kita membeli-belah di Johor khususnya, dan di Malaysia umumnya.
Ini agar semua pihak saling meraih keuntungan dalam kegiatan ekonomi yang melimpah ruah sempena Ramadan ini.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg