SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

5 panduan pakai sut di S’pura

5 panduan pakai sut di S’pura

Meski cuaca tempatan panas, masih boleh tampil kasual dan bergaya dengan sut
Apr 13, 2026 | 3:22 PM

5 panduan pakai sut di S’pura

tip, sut, Fesyen lelaki S’pura, cara pakai sut cuaca panas, Tatsuya Nakamura Beams, Colony Clothing, fabrik, wool vs linen, tip gaya kasual moden, penjahit tempatan SG.
Koleksi terpilih daripada Colony Clothing, yang diasaskan bersama oleh Encik Kozo Kawamura. - Foto ST

Cuaca tempatan yang panas dan lembap boleh menjadikan pemakaian berlapis kelihatan janggal, malah tidak masuk akal.

Namun, pengarah kreatif Beams, Encik Tatsuya Nakamura, berkata:

“Bagi lelaki, sut adalah pakaian yang paling bergaya. Ia selesa dan mudah dipakai secara kasual.

“Lebih mudah untuk menutup urusan perniagaan dan anda mendapat layanan yang lebih baik di restoran.”

Berikut lima panduan mudah daripada pakar jahit untuk memakai sut di Singapura.

1. Bijak pilih fabrik

Fabrik sut, Beams, yang ditampilkan di Colony Clothing, UE Square.
Fabrik sut, Beams, yang ditampilkan di Colony Clothing, UE Square. - Foto ST

Encik Nakamura mengesyorkan bulu biri-biri (wool) sebagai bahan asas.

Pilihan itu mungkin kelihatan pelik berbanding bahan yang sesuai untuk cuaca panas seperti linen atau kapas yang popular di Jepun.

Tetapi fabrik semula jadi itu mudah berkedut di sini dan menjadikannya pilihan yang kurang sesuai, katanya.

Bulu biri-biri tidak perlu dicuci sekerap kapas atau linen, hanya perlu dibasuh dengan tangan dengan teliti.

2. Berani gabung corak, bukan sembarangan

Pengarah Kreatif Beams, Encik Tatsuya Nakamura (kanan), dan pakar ukuran, Encik Tamao Shirai, di Colony Clothing, UE Square.
Pengarah Kreatif Beams, Encik Tatsuya Nakamura (kanan), dan pakar ukuran, Encik Tamao Shirai, di Colony Clothing, UE Square. - Foto ST

Ketika ditemui, Encik Nakamura mengenakan pakaian dengan gabungan pelbagai corak – blazer kotak-kotak kelabu, baju berjalur dan tali leher bercorak biru. 

Kedengaran seperti terlalu banyak. Namun, apabila digabungkan, keseluruhan gayanya kelihatan kemas dan menarik.

Sopan, dengan sedikit kelainan.

Menurut beliau, kunci utamanya adalah mengimbangi “kekuatan” setiap corak.

Tali lehernya yang paling menonjol juga merupakan aksesori paling kecil.

Baju jalurnya pula merendahkan kesan itu, manakala jaketnya – yang hanya sedikit berkotak-kotak dalam warna kelabu biasa – memberi ketenangan. 

Prinsipnya mudah – mulakan dengan yang menonjol ke yang lembut, atau sebaliknya.

Di Singapura, di mana pelanggan lebih gemar perbezaan yang halus berbanding pilihan yang terlalu menonjol, kaedah gabungan corak yang lebih berhemah itu cara yang baik untuk menunjukkan kelainan pada diri.

3. Pilih gaya selesa

Pengasas Colony Clothing, Encik Kozo Kawamura, di butiknya.
Pengasas Colony Clothing, Encik Kozo Kawamura, di butiknya. - Foto ST

Pengasas kedai pakaian lelaki tempatan Colony Clothing, Encik Kozo Kawamura, berkata sut tidak semestinya dipadankan dengan kemeja formal dan tali leher.

Beliau mengusulkan kemeja-T berkait dan kasut kulit ringan untuk memberi penampilan lebih santai.

Kemeja bergaya, seperti kemeja longgar terlaris Colony Clothing (daripada $340), yang dipadankan dengan jaket atau seluar sepadan juga boleh menghasilkan gaya mewah, namun, tetap sesuai untuk kehidupan harian di sini, tambahnya.

Rekaan yang lebih santai seperti seluar ringan dan jaket tanpa lapisan juga sesuai dari segi keselesaan dan kebolehgunaan.

“Perkara paling penting adalah jangan paksa diri memakai sut, tetapi pakailah dengan cara yang sesuai dengan gaya hidup anda sendiri.”

4. Anginkan selepas dipakai

Selepas digunakan, anginkan sut di tempat yang mempunyai pengudaraan baik sebelum menyimpannya dalam almari.

5. Cara dapatkan potongan sesuai

Pengasas bersama Hertslet & Co, Encik Cai Foong (kiri), sedang melayan pelanggan.
Pengasas bersama Hertslet & Co, Encik Cai Foong (kiri), sedang melayan pelanggan. - Foto HERTSLET & CO

Bagi memastikan sut anda sesuai, penjahit tempatan, Encik Cai Foong, menyarankan panduan berikut:

“Lengan jaket seharusnya suku inci hingga setengah inci lebih pendek daripada kemeja, supaya hujung lengan kemeja sedikit kelihatan.

“Bahu jaket pula seharusnya terletak tepat pada tulang bahu atau sedikit sebelumnya.

“‘Lapel’ (kelepet di bahagian dada kot atau jaket yang bersambung dengan kolarnya) seharusnya terletak rata di dada.

“Bahagian pinggang seharusnya muat genap di badan, tetapi fabrik tidak seharusnya tertarik atau tegang apabila butang atas dikancing.

“Jaket seharusnya mengikut bentuk semula jadi belakang badan dan cukup panjang untuk menutup keseluruhan punggung. Kolar pula seharusnya duduk kemas mengelilingi leher.”

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg