Dandanan klasik lelaki yang meliputi penggayaan rambut dan gaya seperti era 1960-an dianggap sesuatu bidang khusus yang jarang diterokai dalam pasaran Singapura.
Namun, bagi pengasas DeepCuts, Encik Nor Muhammad Faiz Ismail yang lebih mesra dipanggil Faz, 33 tahun, jenama itu telah pun mengukir identiti yang kukuh dalam ruang ini sejak 2014.
Pada mulanya, DeepCuts menumpukan perhatian kepada perkhidmatan gaya pengguntingan rambut klasik yang diinspirasikan daripada era 1920-an hingga 1980-an.
Bagi menawarkan pengalaman yang disesuaikan dengan gaya pengguntingan yang ditawarkannya, Encik Faz melebarkan sayap perniagaannya dengan memperkenalkan pula perkhidmatan menjahit sut pada 2017, juga di bawah naungan DeepCuts.
Rata-rata pelanggan utamanya terdiri daripada golongan ekspatriat serta profesional di Singapura.
Kededua perkhidmatan ini dibuka bersebelahan satu sama lain di 47 Kampong Bahru Road bagi memudahkan akses mereka yang ingin mendapatkan perkhidmatan menggunting rambut serta menjahit sut dalam satu lokasi.
Pada September lalu pula, bapa dua anak itu membuka satu lagi cawangan DeepCuts yang memberi tumpuan khusus kepada khidmat menjahit sut di Bangkok, Thailand, yang terletak di All Seasons Place.
Menurut Encik Faz:
“Mentor menjahit saya berpangkalan di Bangkok. Itu memberikan saya asas yang kukuh untuk berkembang di sana terlebih dahulu. Kini, beliau juga merupakan pengurus besar di kedai saya di situ.”
Beliau turut merasakan bahawa masyarakat Thailand lebih terbuka serta mempunyai kesedaran tinggi terhadap nilai artisanal dan budaya.
Katanya juga, lokasi yang dipilih di Bangkok agak strategik dalam mendapatkan perhatian mereka yang gemar bergaya dengan sut dan berpakaian formal.
Walaupun begitu, beliau akur akan cabaran yang dihadapi dalam usaha menembusi pasaran luar negara, antaranya seperti halangan bahasa dan perbezaan budaya.
“Di Singapura, sikap berterus terang adalah sesuatu yang biasa, tetapi di Thailand, kita dijangka untuk lebih bersopan dan berhemah. Perbezaan budaya ini memang menyukarkan keadaan,” kata Encik Faz.
Bersempena dengan pelancaran cawangan terbarunya di Thailand itu, DeepCuts di Singapura dan Bangkok bakal menawarkan perkhidmatan menjahit sut untuk wanita juga.
“Perkhidmatan menjahit sut wanita baru diperkenalkan bagi memenuhi keperluan kaum Hawa juga,” katanya yang dikenali di Singapura kerana kemahiran menggunting rambut.
Selain Singapura, Encik Faz juga dikenali di rantau Asia dan Eropah dengan lawatan yang dilakukan untuk mengajar kemahiran menggunting rambut mengikut gaya klasik.
Di samping memberi perkhidmatan menggunting rambut serta menjahit sut, DeepCuts juga menyediakan akademi tersebut sama ada di luar negara mahupun di Singapura bagi mereka yang ingin mengikuti jejak Encik Faz.
Menurutnya, akademi tersebut menawarkan kursus singkat sepanjang tiga hari dan kursus jangka panjang selama tiga bulan.
Kelas itu termasuk sesi tinjau dan belajar, latihan praktikal serta bimbingan mentor secara intensif yang dibimbing beliau sendiri.
Walaupun berhadapan pelbagai cabaran dalam mengembangkan perniagaan beliau ke luar negara, ia tidak memutuskan semangat Encik Faz untuk terus berusaha mengembangkan jenamanya di peringkat serantau.
Malah, beliau kini dalam perancangan untuk meneroka pasaran di Indonesia dan Brunei dengan harapan dapat mengukuhkan kehadirannya di seluruh Asia sambil kekal berpegang teguh pada visinya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg