Topik diikuti
Pergi ke BHku5 trend kecantikan popular di Pinterest
Teroka gaya yang cerminkan cita rasa dan identiti
5 trend kecantikan popular di Pinterest
Jika anda sedang mencari inspirasi untuk trend kecantikan seterusnya, apa kata jadikan laporan trend kecantikan pertama Pinterest sebagai rujukan?
Daripada sekadar mengikut trend popular, pengguna Pinterest kini lebih gemar meneroka gaya yang mencerminkan cita rasa dan identiti masing-masing. Berikut ialah lima trend kecantikan utama yang semakin mendapat perhatian di Pinterest, lapor majalah Her World.
Wangian ‘gourmand’ yang menenangkan
Haruman yang manis, berkrim dan diinspirasikan daripada pencuci mulut kini menjadi pilihan ramai sebagai aroma yang memberikan rasa selesa dan menenangkan. Haruman berasaskan aroma pencuci mulut juga dipanggil gourmand.
Bayangkan nota susu yang lembut serta bau manisan seperti marshmallow dan pelbagai hidangan pencuci mulut yang menggoda.
Di seluruh rantau Asia Pasifik (Apac), carian untuk “minyak wangi marshmallow” meningkat sebanyak 125 peratus, menunjukkan pencinta wangian kini lebih tertarik kepada aroma yang memberikan rasa nyaman, dekat di hati dan cukup memuaskan.
Mandi serba lengkap
Mandi yang sebelum ini sekadar rutin harian kini menjadi sebahagian daripada kaedah penjagaan diri yang lebih menyeluruh. Rutin itu bukan lagi sekadar membersihkan tubuh, malah merangkumi penjagaan dari hujung rambut hingga ke hujung kaki.
Antaranya termasuk skrub kulit kepala, gel mandian yang diperkaya dengan bahan seperti retinol atau asid glikolik (glycolic acid), serta losen dan pelembap yang menyuburkan kulit.
Rambut gaya ‘bob’ yang memukau
Rambut ‘bob’ mungkin gaya kegemaran sepanjang zaman, namun musim ini ia tentang pergerakan, tekstur dan isi padu.
Daripada potongan yang licin dan bergaris tajam, pengguna Pinterest mencari tafsiran gaya rambut klasik itu yang lebih santai dan bersahaja.
Trend itu amat ketara di Apac, di mana carian “bob Perancis bertekstur” meningkat 583 peratus dan “potongan bob pendek berlapis” meningkat 227 peratus.
Potongan itu memberikan nafas baharu kepada gaya ‘bob’ klasik dengan lapisan dan tekstur yang menjadikan rambut kelihatan lebih santai.
Solekan lembut
Dunia kecantikan kini memasuki era yang lebih lembut, dengan solekan yang menyerlahkan, bukan menutup ciri semula jadi. Bayangkan pipi dengan sentuhan warna lembut, kontur yang natural dan kemasan segar yang menyerlahkan kecantikan kulit sebenar.
Carian “rupa solekan semula jadi yang lembut” (naik 161 peratus) dan “estetik solekan semula jadi” (naik 91 peratus) mencerminkan minat yang semakin meningkat terhadap kecantikan yang ringkas.
Gaya rambut turut mengikut trend yang sama, dengan potongan ‘butterfly’ yang berlapis dan beralun lembut. Hasilnya, rambut kelihatan lebih ringan, bertekstur dan sedikit keriting secara semula jadi, sekali gus memberikan sentuhan yang santai.
‘Makanan’ untuk kulit
Peminat kecantikan kini semakin tertarik untuk meneroka rutin penjagaan diri yang berasaskan bahan semula jadi, termasuk inspirasi kecantikan daripada bahan makanan, petua kecantikan tradisional dan resipi yang dibuat sendiri (DIY) yang boleh dicuba sendiri di rumah.
Carian untuk “air rosemary untuk rambut” meningkat sebanyak 313 peratus, manakala “minyak zaitun untuk kulit” turut mencatatkan peningkatan sebanyak 86 peratus.