Topik diikuti
Pergi ke BHkuPanduan kedai fesyen tempatan di New Bahru
Panduan kedai fesyen tempatan di New Bahru
Hab gaya hidup dekat River Valley ini himpun jenama popular Singapura dengan koleksi terkini
Panduan kedai fesyen tempatan di New Bahru
Sejak dibuka dua tahun lalu, New Bahru di 46 Kim Yam Road, melonjak sebagai pusat kreativiti paling diminati di Singapura.
Daripada hidangan kafe dan restoran unik hingga butik konsep, hab dekat River Valley ini menawarkan pengalaman menyeluruh untuk semua, merangkumi gaya hidup sihat, kesenian, atau kulinari.
Khusus buat penggemar fesyen, New Bahru, menaungi pelbagai jenama tempatan menarik, yang kesemuanya baharu melancarkan koleksi Spring 2026 mereka.
Di sini panduan eksklusif jenama fesyen terbaik di New Bahru dan himpunan terbaru mereka.
ANTARA KEDAI FESYEN DI NEW BAHRU
Rye
Apa yang boleh dijangka?: Jenama fesyen Rye harus berada dalam radar anda jika anda menggemari potongan klasik yang tidak lekang dek zaman, diperbuat daripada bahan bermutu tinggi, dan menjanjikan gaya ringkas namun elegan.
Koleksi terkini mereka adalah gabungan menawan antara keanggunan klasik dengan seni rekaan gaya berlapis (layering).
Menampilkan pelbagai helai menarik, daripada linen halus hingga seluar berpotongan unik, setiap satu direka untuk keselesaan unggul dan mudah digayakan.
Alamat: #03-07, 46 Kim Yam Road.
The Sea Apple Create Store
Apa yang boleh dijangka?: Walaupun Sea Apple lebih terkenal sebagai jenama untuk kanak-kanak, butik mereka di New Bahru menyajikan pilihan menarik buat mereka yang berjiwa muda.
Di sini, anda tidak lagi terikat dengan aksesori biasa seperti patung Labubu. Sebaliknya, melalui ‘Sea Apple Create’, anda dapat merekacipta tanda nama peribadi, atau memberikan sentuhan eksklusif pada topi, beg, mahupun patung lembut anda.
Ia adalah destinasi menyeronokkan bagi peminat dekorasi peribadi, atau sebagai bingkisan istimewa yang sarat makna.
Alamat: #02-49, 46 Kim Yam Road.
Beyond The Vines
Apa yang boleh dijangka?: Dengan koleksi warna terang yang berani dan beg berbentuk ladu atau ‘dumpling’ dikenali sebagai ‘Dumpling Bag’ yang popular di TikTok, Beyond The Vines menjadi jenama fesyen kegemaran generasi Z (Gen Z) di Singapura.
Untuk musim bunga 2026, koleksi mereka memberi tumpuan pada pakaian yang boleh dipakai berulang kali. Pakaian harian yang selesa daripada Beyond The Vines kini tampil dalam warna baharu yang ceria untuk musim bunga: Merah jambu pastel, biru langit, dan merah terang.
Alamat: #01-07, 46 Kim Yam Road.
Curious Creatures
Apa yang boleh dijangka?: Curious Creatures adalah jenama perhiasan aksesori peribadi yang diasaskan oleh wanita dan berpangkalan di Singapura.
Koleksi terbaru mereka, ‘Engravables’, adalah tentang menambah nilai sentimen pada perhiasan anda, dalam bentuk ukiran percuma. Tanpa sebarang bayaran tambahan, anda boleh memilih inisial, bunga kelahiran, tarikh bermakna dan lain-lain, seiring setiap pembelian daripada koleksi itu.
Alamat: #02-12, 46 Kim Yam Road.
Make by Ginlee
Apa yang boleh dijangka?: Jika anda menyukai pakaian bertekstur dan mempunyai potongan unik, koleksi terbaru Ginlee Studio adalah untuk anda.
Jenama reka bentuk dari Singapura itu menggabungkan fesyen dan reka bentuk moden untuk menghasilkan pakaian yang cantik dan menonjolkan bentuk badan.
Untuk musim bunga 2026, Ginlee Studio melancarkan koleksi edisi terhad dalam warna-warna musim bunga yang lembut: Merah jambu, hijau daun, dan kuning cerah – semuanya pada berlisu rapi (pleat) khas mereka yang cantik dan selesa dipakai.
Alamat: #02-10, 46 Kim Yam Road.
Good Addition
Apa yang boleh dijangka?: Bagi mereka yang lebih menyukai pakaian asas yang ringkas dan bermutu tinggi, Good Addition, pasti sesuai untuk anda.
Diasaskan oleh pencipta kandungan fesyen, Andrea Chong, dan pengusaha hotel, Joan Chang, etika reka bentuk Good Addition memberi tumpuan pada wanita moden yang bekerja.
Koleksi mereka menampilkan pakaian denim, pakaian kasual bergaya yang sesuai untuk ke tempat kerja mahupun masa lapang, seiring warna-warna cerah.
Untuk musim bunga ini, Good Addition meneruskan gaya yang sama melalui koleksi terbaharu mereka yang diberi nama, ‘Always On’ – menampilkan seluar kulot dan kemeja-T popular yang sesuai untuk individu aktif dan sentiasa sibuk.
Alamat: #02-03, 46 Kim Yam Road.
Penulis ialah editor untuk Fzine, Lucy Lauron dan artikel ini pertama kali diterbitkan di laman web Fzine pada 26 Mac.
