Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

6 beradik di M’sia sehati sejiwa semai cinta muzik tradisional

Feb 5, 2024 | 5:30 AM
The Siblings Band ingin menjadi ikon kepada generasi muda agar menghargai muzik tradisional Melayu.
The Siblings Band ingin menjadi ikon kepada generasi muda agar menghargai muzik tradisional Melayu. - Foto FACEBOOK THE SIBLINGS BAND

Melihat kumpulan ini membuat persembahan di pentas, ramai yang menyangka meraka hanyalah rakan seni yang berkongsi minat serupa.

Walhal, mereka adalah enam beradik berusia antara 21 dengan 28 tahun yang terdedah kepada keindahan pelbagai genre muzik termasuk irama tradisional seperti keroncong.

Kumpulan dari Malaysia yang menggelar diri mereka The Siblings Band terdiri daripada Aimi Zulaikha, 28 tahun; Aimi Najihah, 26 tahun; Aimi Nabihah, 26 tahun; Muhammad Ariff Haikal, 25 tahun; Muhammad Ariff Hazim, 22 tahun; dan Aimi Batrisyia, 21 tahun.

Ketika ditemui agensi berita dari seberang, ibu enam beradik ini yang juga pengurus kumpulan, Cik Intan Noorismazatulaqtar Ismail, 51 tahun, berkata minat dan nyala rasa anak-anaknya terhadap muzik bermula sejak mereka kecil.

Muzik adalah hobi dan kegiatan masa lapang keluarga dan juga ketika cuti sekolah.

“Saya dan suami saya, Suhaimi Ismail, tidak pernah menghantar anak-anak kami ke sekolah muzik untuk mendapatkan pendidikan rasmi tetapi mereka belajar dengan sendiri serta menerapkan pendidikan asas di sekolah untuk terus gigih berlatih di rumah.

“Di rumah, kami memang mempunyai beberapa alat muzik seperti biola dan gitar papan nada. Justeru, dua anak lelaki kami dan yang paling kecil akan main muzik manakala yang lebih dewasa akan menyanyi,” jelas Cik Intan yang ditukil laman Malaysian Reserve.

Menurut Cik Intan lagi, bakat semula jadi anak-anaknya juga diwarisi daripada keluarganya yang cenderung pada muzik dan kesenian lain.

Persembahan awam pertama The Siblings Band pula atas permintaan seorang jiran untuk satu majlis kahwin sekitar 2012 ketika anak sulung Cik Intan berusia 15 tahun manakala yang kecil pula berumur lapan tahun.

“Dari masa ke masa, lebih ramai orang pula meminta mereka membuat persembahan sehinggalah ia menjadi satu komitmen,” jelasnya sambil menambah bahawa anak-anaknya juga pernah diundang ke pentas gah Dewan Filharmonik Petronas (DFP).

Walaupun anak-anaknya giat berseni, beliau menekankan kepentingan pendidikan.

Anak kedua adalah pensyarah maktab swasta manakala seorang anak sudah tamat pengajian ijazah Sarjana Muda dalam Pengurusan Estet dan Hartanah serta seorang lagi lulusan Diploma Muzik. Yang lain masih lagi belajar.

Ditanya tentang rancangan masa depan The Siblings Band, Cik Intan berkata beliau hanya berharap mereka akan berjaya dalam bidang masing-masing.

Menurutnya, anak-anaknya tiada niat menjadi artis rakaman dan lebih suka berkarya secara bebas dan tidak terikat dengan sebarang pengurusan atau pihak lain.

“Saya perlu menerima hakikat dan realiti bahawa anak-anak saya akan mempunyai kehidupan masing-masing suatu hari nanti dan sukar untuk mereka bergabung lagi di satu pentas secara tetap pada masa akan datang.

“Buat masa ini, biarlah mereka menjalani hidup hari demi hari.

“Namun, pada masa yang sama, saya mahu The Siblings Band bertahan bagi tempoh masa yang lama. Justeru, saya harus terus mencari idea baru bagi mereka memperbaiki kemahiran mereka,” ujarnya.

Dalam pada itu, anak ketiga, Aimi Nabihah, berkata jarak usia yang rapat menjadikan mereka akrab dan lebih mudah berkongsi minat serupa.

Aimi yang juga mempunyai kembar, Aimi Najihah, berharap kumpulan itu akan menjadi ikon buat generasi muda menghargai seni, lebih-lebih lagi muzik tradisional.

“Kami juga berharap The Siblings Band akan menjadi inspirasi kepada ibu bapa di luar sana untuk menggalakkan anak-anak mereka bermain muzik secara sihat,” katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg