Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pemain biola ghairah sebar muzik tradisional Melayu di pentas S’pura dan antarabangsa

Jun 25, 2023 | 5:30 AM
MINAT MUZIK TRADISIONAL: Setelah lebih 10 tahun dilatih dalam muzik klasikal, pemain biola, Cik Noryn Sazali, mula jatuh cinta dengan keindahan muzik tradisional Melayu selepas menyertai Orkestra Sri Temasek pada 2019.
MINAT MUZIK TRADISIONAL: Setelah lebih 10 tahun dilatih dalam muzik klasikal, pemain biola, Cik Noryn Sazali, mula jatuh cinta dengan keindahan muzik tradisional Melayu selepas menyertai Orkestra Sri Temasek pada 2019. - Foto BM oleh NUR DIYANA TAHA

Beliau jatuh cinta dengan alat muzik biola tatkala menyaksikan satu persembahan di sekolah ketika berusia tujuh tahun.

Sejak itu, Cik Noryn Sazali bertekad ingin menjadi seorang ahli muzik profesional.

Dengan sokongan padu ibunya, beliau bukan hanya belajar bermain biola di sekolah, malah menyertai kelas privet untuk terus mengasah bakatnya.

Sepanjang lebih sedekad, Cik Noryn dilatih dalam muzik klasikal, memainkan irama gubahan lagu ahli muzik seperti Ludwig van Beethoven.

Namun, semuanya berubah ketika beliau menyertai Orkestra Sri Temasek pada 2019 dan diperkenalkan kepada alunan dan rentak muzik tradisional Melayu.

Persembahan pertamanya bersama orkestra itu berlangsung di Esplanade Outdoor Theatre. Uniknya, mereka mempersembahkan lagu-lagu yang menggabungkan muzik klasik dan muzik tradisional Melayu, seperti campuran lagu Symphony No. 5 oleh Beethoven dan Joget Hitam Manis.

“Lenggoknya, alunan muziknya berbeza. Kedua-dua muzik klasikal dan muzik tradisional Melayu mempunyai struktur tetapi bagi muzik tradisional Melayu, lebih banyak tafsiran boleh diberi dan ada lebih banyak ruang untuk bereksperimen.

“Saya rasa emosi dan saya juga dapat rasakan keindahan dan nuansa muzik tradisional Melayu. Ini yang terus membuka minda saya dan membuat saya jatuh cinta dengan muzik tradisional,” kata lulusan diploma dalam jurusan muzik dari Akademi Seni Halus Nanyang (Nafa) itu.

Kini, Cik Noryn, 23 tahun, berasa ia menjadi tanggungjawabnya untuk menyebarkan keindahan dan membantu memupuk minat dan rasa cinta masyarakat, terutamanya anak-anak muda Melayu, terhadap muzik tradisional Melayu.

Bahkan, ini dilakukan beliau dengan mendedahkan anak muridnya, kedua-dua Melayu dan bukan Melayu, kepada muzik tradisional dan budaya Melayu dengan mengundang mereka menyaksikan persembahannya.

Cik Noryn adalah seorang guru bebas yang mengajar kelas biola privet dan juga mengajar di beberapa sekolah rendah.

Bersama Orkestra Sri Temasek, dengan beliau merupakan pemain biola utama, Cik Noryn telah membuat persembahan muzik tradisional Melayu bukan hanya di dalam negara, malah di peringkat antarabangsa juga.

Misalnya, tahun lalu, orkestra itu bersama sekumpulan penari mewakili Singapura dalam Pesta Muzik Budaya Rakyat Lefkada di Greece. Sekitar sebulan lalu, mereka membuat persembahan dalam satu acara seni dan budaya nusantara di Karawang, Indonesia.

Untuk mengembangkan lagi pengetahuannya dalam muzik tradisional, Cik Noryn baru-baru ini telah menyertai satu lawatan pembelajaran ke Jogjakarta, Indonesia, untuk belajar alat muzik suku kaum Sulawesi, Kalimantan dan Batak.

Cik Noryn berharap beliau dapat terus menyebarkan dan memperkenalkan muzik tradisional Melayu di persada antarabangsa, namun yang lebih penting adalah usaha untuk menyemai minat dan rasa cinta terhadap muzik tradisional itu dalam kalangan generasi Melayu muda.

“Tahun demi tahun, dengan saya membawakan lebih banyak lagu tradisional Melayu di atas pentas, saya rasa begitu dekat dengan asal usul saya sebagai orang Melayu. Saya rasa amat bangga.

“Kita harus lebih mempamerkan dan meningkatkan kesedaran tentang muzik tradisional kita, lebih-lebih lagi dalam kalangan anak-anak Melayu yang mana ramai tidak begitu tahu tentang muzik tradisional.

“Saya rasa ia adalah tanggungjawab saya untuk berkongsi dengan orang ramai,” kata beliau.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg