Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

6 tempat saksi ikan paus hijrah di New South Wales

May 18, 2025 | 5:30 AM
paus, tuncurry forster, australia, new south wales
Paus kelasa meloncat keluar dari laut berdekatan pantai Tuncurry-Forster. - Foto DESTINATION NSW

Setiap tahun, dari Mei hingga Oktober, ribuan gergasi lautan akan membuat perjalanan menghala ke utara pantai New South Wales di Australia dan bandar Sydney untuk menjadikan ia tapak terbaik bagi pengunjung untuk menghayati keajaiban alam tersebut.

Dikenali sebagai ‘Humpback Highway’, atau lebuh raya ikan paus kelasa, laluan pantai itu menyaksikan lebih 40,000 ikan paus kelasa (dan kadangkala ikan paus jenis ‘southern right’) berenang dari Antartika ke Queensland.

Sama ada di tanjung yang indah atau bot laju di atas air, anda boleh melihat makhluk itu meluncur dalam perjalanan menuju ke bahagian utara pada awal musim, kemudian kembali, dengan ‘keluarga’ baru, sekitar Oktober hingga November.

Jika anda bernasib baik, anda akan terserempak dengan ikan paus seberat 40 tan dan sebesar trak bomba berdansa di permukaan laut atau sedang memberi makan kepada anaknya.

Masa terbaik untuk melihat penghijrahan itu adalah dari Jun hingga Julai, dengan majoriti mamalia itu akan meluncur lalu.

Berikut beberapa tempat terbaik untuk melihat ikan paus dari daerah utara hingga selatan.

Barrenjoey Headland, Palm Beach

Di pinggir utara Sydney, 45 kilometer dari bandar, Barrenjoey Headland di Palm Beach ialah bahagian akhir penghijrahan ikan paus sebelum ia melahirkan anaknya dan ia terletak antara Gold Coast dengan Great Barrier Reef.

Ia juga antara titik bermulanya anak paus membuat perjalanan berenang pulang.

Untuk pemandangan terbaik, susuri jalan menuju ke Barrenjoey Lighthouse yang terletak kira-kira lebih 90 meter di atas paras air, untuk keindahan luas pantai tanpa halangan.

North Head, Manly

Ambil feri dari Sydney Harbour ke Manly, sebelum berjalan-jalan di sekitar kafe menuju ke belukar North Head di Taman Nasional Sydney Harbour.

Terletak tinggi dari atas paras laut, tempat meninjau pemandangan Burragula (arah selatan) dan Yiningma (arah utara) menyajikan pemandangan tanpa halangan Lautan Pasifik.

Laluan Fairfax Walk, yang menghubungkan dua tapak tersebut menyediakan jalan mudah 1 kilometer dikelilingi kehijauan.

South Head, Watsons Bay

Perjalanan menaiki feri selama 25 minit ke Watsons Bay di bahagian sebelah pelabuhan dan di dasar South Head adalah antara laluan yang kurang diketahui.

Mulakan Jejak Warisan South Head sepanjang 2 kilometer dan hayati pantai indah serta pemandangan pelabuhan sepanjang perjalanan.

Jika masih belum terserempak dengan paus, anda boleh teruskan perjalanan ke Gap Lookout.

Setelah itu, isi perut dengan sajian ikan dan kentang goreng atau ‘fish and chips’ sambil menikmati pemandangan di Watsons Bay Boutique Hotel.

Cape Solander, Kurnell

Singgah di Cronulla, ibu kota pantai Sutherland Shire untuk dapatkan bekalan barangan sebelum anda memulakan pengembaraan ‘memburu’ paus di Kurnell.

Dari Silver Beach, jalan ke arah Cape Solander, salah satu tempat terbaik untuk melihat paus di Sydney.

Jika ingin melakukan kegiatan kembara atau ‘hiking’, tuju ke arah selatan di laluan berjalan Cape Bailey, laluan 8 kilometer yang menawarkan pemandangan panorama dan peluang melihat paus.

The Coast Track, Taman Nasional Royal

Jika anda penggemar kegiatan lasak, mulakan pengembaraan ‘hiking’ di The Coast Track, laluan berbelit sepanjang 26 kilometer, antara Bundeena dengan Otford.

Dengan laluan yang sering membawa anda melalui tebing, kembara ini akan memakan masa sehingga dua hari.

Laluan itu juga menawarkan beberapa titik pemandangan untuk cuba melihat paus kelasa dan paus ‘southern right’ dalam perjalanan mereka menyusuri pantai.

Walaupun Jun dan Julai merupakan waktu terbaik melihat aksi gergasi laut itu, musim bunga (apabila paus pulang bersama anaknya) menawarkan pemandangan berwarna-warni dengan dihiasi bunga yang sedang mekar di sepanjang laluan tersebut.

Belayar di atas air

Usah lepaskan peluang bertemu makhluk menakjubkan itu dalam habitat semula jadi mereka, dengan menaiki kapal pelesiran yang membawa anda untuk melihat ikan paus.

Ia berangkat secara tetap dari Circular Quay, Darling Harbour, Manly dan Cronulla sewaktu musim tersebut.

Perjalanan tersebut membawa pengunjung mengikuti kumpulan paus dari jarak selamat menaiki kapal pelbagai jenis yang disediakan.

Antaranya adalah dengan menggunakan bot laju bersama Ocean Extreme dan Manly Ocean Adventures, atau bot feri yang lebih besar bersama Captain Cook Cruises, Oz Whale Watching, Whale Watching Sydney dan Cronulla Whale Watching.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg