Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

7 lokasi ‘wajib’ singgah di Jakarta untuk persiapan Aidilfitri

Jan 17, 2026 | 5:30 AM
jakarta, bandung, shopping raya, baju raya, kuih raya, whoosh
Baju kebaya di Thamrin City. - Foto BM oleh NUR HUMAIRA SAJAT

Dari hiruk-pikuk gedung pakaian borong yang menjanjikan harga runtuh, sehinggalah ke pusat beli-belah mewah dengan rekaan eksklusif, Jakarta membentangkan pilihan busana dan keperluan Hari Raya yang memikat jiwa.

Sama ada anda mencari pakaian selesa pada harga tawar-menawar, mahupun memburu helaian bermutu tinggi yang menawan, tujuh lokasi tumpuan berikut ini harus menjadi panduan wajib kunjungan anda ke Jakarta.

Thamrin City

Kedai tudung di Thamrin City, Jakarta.
Kedai tudung di Thamrin City, Jakarta. - Foto BM oleh NUR HUMAIRA SAJAT

Terletak di pusat Jakarta, Thamrin memang wajib dikunjung bagi mereka yang ingin mendapatkan pakaian siap pakai.

Pusat perbelanjaan tersebut memiliki tujuh lantai yang terbahagi kepada beberapa zon seperti Pusat Batik Nusantara, Pusat Busana Muslim, Pusat Tenun, Pusat Perlengkapan Haji dan Umrah.

Di sini, anda pasti akan menemui pakaian yang sesuai dengan cita rasa anda, daripada kebaya, songket, batik, baju les, jubah, abaya sehinggalah tudung dan aksesori perayaan lain.

Menariknya, harga di Thamrin City juga mesra dompet, menjadikannya pilihan tepat untuk pembeli yang mahukan kualiti tanpa perlu membebankan wang.

Holland Bakery

Holland Bakery di Jakarta, Indonesia.
Holland Bakery di Jakarta, Indonesia. - Foto BM oleh NUR HUMAIRA SAJAT
Puteri salju.
Puteri salju. - Foto BM

Di lantai bawah Thamrin City ialah Holland Bakery yang menjual roti, kek lapis dan aneka biskut seperti kuih tradisional nastar (tat nanas) dan puteri salju (rasanya seakan kuih makmur).

Memandangkan ruang kedainya agak kecil, anda juga boleh mengunjungi cawangan yang lebih luas di Jalan Cikini Raya untuk pengalaman membeli-belah yang lebih selesa dan untuk lebih kepelbagaian kuih.

Tanah Abang

Pakaian lelaki yang dijual di Tanah Abang, Jakarta.
Pakaian lelaki yang dijual di Tanah Abang, Jakarta. - Foto BM oleh NUR HUMAIRA SAJAT

Jika anda mempunyai keluarga besar dan ingin berpakaian sedondon, Tanah Abang menawarkan pilihan untuk membeli baju borong atau bundle, dengan harga diskaun.

Harga murah jika dibeli dalam kuantiti banyak, menjadikannya pilihan ideal untuk mereka yang ingin berniaga.

Anda boleh juga berbelanja di kawasan Little Bangkok, pusat perbelanjaan fesyen moden yang terletak di Jembatan Metro Tanah Abang Lantai 1 (JMTA), berfungsi sebagai penghubung antara Metro Tanah Abang dengan Pasar Tanah Abang Blok B.

Kawasan Pasar Mayestik

Antara pilihan kain di D’Fashion Textile & Tailor Jakarta.
Antara pilihan kain di D’Fashion Textile & Tailor Jakarta. - Foto BM oleh NUR HUMAIRA SAJAT
Pilihan batik di salah satu kedai di lorong luar Pasar Mayestik, Jakarta.
Pilihan batik di salah satu kedai di lorong luar Pasar Mayestik, Jakarta. - Foto BM

Pasar Mayestik merupakan salah satu pasar tekstil terbesar di Jakarta.

Di kawasan luar Pasar Mayestik juga terdapat deretan kedai yang menjual bukan sahaja busana siap pakai tetapi juga pelbagai jenis fabrik dan kain yang boleh dibeli bagi mereka yang ingin menempah baju sendiri.

Beberapa kedai di situ turut menawarkan khidmat tempahan, memudahkan pembeli mendapatkan rekaan yang tepat mengikut cita rasa dan keperluan mereka.

By the Sea PIK

Konsep separuh terbuka di By The Sea PIK.
Konsep separuh terbuka di By The Sea PIK. - Foto BM oleh NUR HUMAIRA SAJAT
Koresponden, Cik Nur Humaira Sajat meninjau beg di Nubuk, By The Sea PIK.
Koresponden, Cik Nur Humaira Sajat meninjau beg di Nubuk, By The Sea PIK. - Foto BM

By the Sea PIK merupakan kawasan membeli-belah dan gaya hidup tropika dengan konsep separuh terbuka, terletak di Pantai Indah Kapuk (PIK), Jakarta Utara.

Membeli-belah di sini rasa tenang dan tidak terlalu sesak, sesuai untuk mereka yang ingin menikmati pengalaman santai.

Pusat ini menampilkan pelbagai pilihan beg dan kasut daripada jenama tempatan Indonesia seperti Nubuk, KAMI dan Nakedsol.

Selain itu, kawasan ini juga dipenuhi dengan kafe-kafe menarik, menjadikannya destinasi ideal untuk golongan muda yang ingin membeli-belah dengan santai.

Grand Indonesia

Pusat beli-belah Grand Indonesia.
Pusat beli-belah Grand Indonesia. - Foto BM oleh NUR HUMAIRA SAJAT
Gedung serbaneka Seibu di Grand Indonesia yang menjual pelbagai keperluan seperti beg, tudung dan kasut.
Gedung serbaneka Seibu di Grand Indonesia yang menjual pelbagai keperluan seperti beg, tudung dan kasut. - Foto BM

Pengalaman membeli-belah ibarat tidak lengkap kalau tidak singgah di ‘mall’.

Anda boleh ke Grand Indonesia yang cukup besar untuk diterokai, menampilkan kedua-dua pilihan tempatan mahupun antarabangsa.

Namun, perlu diingat bahawa harga di sini sedikit lebih tinggi berbanding tempat seperti Thamrin dan Tanah Abang.

Lapislapis

Kedai Lapislapis, jenama terkenal yang menawarkan kek lapis premium.
Kedai Lapislapis, jenama terkenal yang menawarkan kek lapis premium. - Foto BM
Kek lapis pelbagai perisa seperti prune, coklat, badam serta keju.di Lapislapis.
Kek lapis pelbagai perisa seperti prune, coklat, badam serta keju.di Lapislapis. - Foto INSTAGRAM LAPISLAPIS

Kunjungan ke Indonesia rasanya tidak lengkap tanpa membawa pulang kek lapis.

Lapislapis merupakan jenama terkenal yang menawarkan kek lapis premium, diperbuat menggunakan mentega Wijsman dan dalam pelbagai perisa menarik seperti prune, coklat, badam serta keju.

Selain kek lapis, kedai ini turut menjual biskut tradisional seperti Nastar (tat nanas), sesuai dijadikan hidangan Raya.

Lapislapis mempunyai beberapa cawangan, termasuk di pusat beli-belah terkenal seperti Grand Indonesia serta di Lapangan Terbang Soekarno-Hatta, memudahkan pembeli mendapatkan manisan kegemaran sebelum pulang.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg