Di Gardens by the Bay, program, Quiet Morning, membolehkan individu yang mengalami autisme menikmati Flower Dome dan Cloud Forest sejam sebelum pembukaan kededua tarikan itu kepada orang ramai.

Program itu antara perubahan praktikal yang dilakukan di taman tersebut bagi menjadikan lawatan ke sana lebih mudah diurus bagi individu yang mengalami autisme dan penjaga mereka.

Selain Gardens by the Bay, lapan lagi pertubuhan merentas ruang masyarakat, tempat menjamu selera serta kedai runcit turut mengambil bahagian dalam daya usaha yang dinamakan, Time for Acceptance in Singapore (Masa untuk Penerimaan di Singapura) itu.

Perubahan yang dibuat termasuk menyediakan maklumat lebih jelas, isyarat perkhidmatan yang lebih tekal, kakitangan barisan hadapan yang lebih terlatih, sesi khas lebih senyap dan menu mesra deria.

Inisiatif oleh Mastercard itu, yang dilancarkan pada 28 April itu, dibangunkan bersama Pusat Autisme St. Andrew’s (SAAC).

“Keluarga boleh merancang hari mereka, tetapi tidak semestinya persekitarannya,” kata Naib Presiden Eksekutif, Pemasaran dan Komunikasi Asia Pasifik, Mastercard, Cik Julie Nestor.

Time for Acceptance mengubah keadaan itu dengan memperkenalkan perubahan amali yang boleh dilaksanakan oleh perniagaan, daripada maklumat yang lebih jelas, kepada kakitangan barisan hadapan yang lebih bersedia.

“Mastercard berharap inisiatif ini akan menggalak lebih banyak pertubuhan di serata Singapura agar turut serta dan membantu menjadikan pengalaman harian lebih bersifat terangkum,” tambahnya.

Inisiatif itu dilancarkan di 47 lokasi, dengan kerjasama sembilan pertubuhan iaitu Amped Trampoline Park, Commonwealth Concepts, Frasers Property Singapore, Gardens by the Bay, i’mable by SG Enable, King Living, Mandai Wildlife Group, Persatuan Askar Kerahan Angkatan Bersenjata Singapura (Safra), dan Starbucks Singapore, dengan lebih banyak pertubuhan dijangka akan turut mengambil bahagian.

Lebih 220 kakitangan barisan hadapan juga telah dilatih bagi memberi sokongan lebih baik kepada individu yang mengalami autisme dan penjaga mereka.

Setiap pertubuhan akan memperkenalkan perubahan yang disesuaikan dengan persekitaran dan pengalaman pengunjung masing-masing.

Antara perubahan tersebut termasuk sokongan panduan arah, sesi yang lebih tenang, latihan kakitangan dan alat makan yang lebih inklusif.

Ini bagi membantu individu yang mengalami autisme dan penjaga mereka mengetahui apakah yang boleh dijangkakan sebelum dan semasa lawatan.

Selain itu, Mastercard dan SAAC juga telah membangunkan panduan yang menyenaraikan ruang mesra autisme bagi membantu individu yang mengalami autisme dan penjaga mereka mencari lokasi yang mengambil bahagian serta merancang kegiatan luar dengan lebih baik dan lebih awal.

Mastercard dan SAAC turut membangunkan satu siri modul latihan dalam talian untuk kakitangan barisan hadapan dan pertubuhan yang mengambil bahagian.

Modul itu merangkumi topik seperti pemahaman tentang autisme, komunikasi, perbezaan deria, rutin dan interaksi sosial.