Mereka mengajaknya berbincang. Kemudian merakam gambarnya.
Susulan itu, mereka ghaib tanpa berita dan gambarnya ‘dijual’ untuk menarik pelabur.
Setelah diperdaya sebegitu dalam projek seni atau produk yang mahukan ‘sentuhannya’ Datuk Aaron Aziz kini lebih berhati-hati.
Beliau akan meminta wang pendahuluan terlebih dahulu sebelum berbincang lebih lanjut mengenainya.
Aaron, 48 tahun, anak seni kelahiran Singapura, mendakwa serik dan menganggap diri dipergunakan apabila ada antara pihak yang membuat tawaran berdiam diri selepas sesi perbincangan.
“Saya dan isteri sudah sepakat. Selepas ini, sesiapa yang ingin berbincang mengenai sebarang projek dengan kami, perlu letak wang pendahuluan sekurang-kurangnya RM20,000 ($6,078).
“Selagi tidak ada wang pendahuluan, kami tidak akan berbincang. Saya sudah banyak kali terkena.
“Kononnya hendak buat projek nilai berjuta-juta. Malah, saya buat kertas kerja. Selepas perbincangan, mereka beria-ia rakam gambar. Tetapi, selepas itu, tiada sebarang berita.
“Itu perkara yang paling saya sakit hati. Kemudian mereka ‘jual’ gambar saya kepada pelabur bagi mendapatkan projek.
“Ada kawan yang terkena apabila melaburkan wang mereka kerana menyangka saya terbabit dalam projek itu,” katanya sewaktu ditemui Berita Harian Malaysia (BHM) pada majlis sidang media drama tentang penipu atau scammer berjudul Din Tiger, arahan Datuk Afdlin Shauki, untuk wadah penstriman di Malaysia.
Aaron juga menasihatkan orang ramai agar berhati-hati sebelum menandatangani sebarang kontrak berikutan ada syarat didakwanya menjerat diri.
“Baca betul-betul isi kandungan surat perjanjian. Ada scammer licik meletakkan syarat supaya kita tidak boleh saman mereka jika berlaku sesuatu,” katanya lagi.
Atas apa yang berlaku, Aaron tertarik membintangi drama Din Tiger kerana jalan cerita mengenai scammer belum pernah diketengahkan mana-mana drama.
Aaron mendakwa ada pihak yang tidak bertanggungjawab menghasilkan video kecerdasan buatan (AI) dengan menggunakan imej dan suaranya untuk mempromosikan produk mereka.
“Saya pernah minta pembantu siasat dengan kilang, tetapi rupanya mereka tidak tahu-menahu mengenai penggunaan AI imej saya. Ada ‘ejen atas ejen’ yang buat perkara itu.
“Jadi, kami memang tidak boleh buat apa-apa sebab teknologi sekarang sudah terlalu canggih,” katanya lagi.
Berkongsi lanjut mengenai watak sebagai Din Tiger, Aaron berkata drama itu tidak banyak adegan aksi.
Drama itu mengisahkan tentang Din Tiger, iaitu bekas scammer yang berazam meninggalkan perbuatan jenayah demi kehidupan baru bersama isteri dan anaknya.
Namun, percubaan menjalani kehidupan biasa sebagai pemilik kedai gadjet terganggu apabila terjerat dalam sebuah kes berat.
Malah, beliau berdepan ancaman Boss Mario atau Tan Sri Aliff, yang tidak membenarkan Din pergi begitu sahaja.
Selain Aaron, drama bersiri lapan episod itu turut dibintangi Afdlin, Mia Sara Shauki, Datin Seri Nina Juren, Josiah Hogan, Ako Mustapha, Tony Eusoff, Adam Corrie Lee dan ramai lagi.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg