Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Abby Abadi ‘tiada kata-kata’, pilu tidak diberitahu anak alami keguguran

Aug 26, 2024 | 4:16 PM
Selebriti Malaysia, Abby Abadi (kiri) bersama anaknya, Marissa Dania Hakim (kanan) pada Julai sewaktu menyambut hari lahir adiknya.
Selebriti Malaysia, Abby Abadi (kiri) bersama anaknya, Marissa Dania Hakim (kanan) pada Julai sewaktu menyambut hari lahir adiknya. - Foto TANGKAP LAYAR INSTAGRAM MARISSADANIA_

“Tak terluah dengan kata-kata…”

Itulah yang ditulis sebagai kapsyen dalam perkongsian di Instagram selebriti, Abby Abadi, yang pernah popular sebagai bekas penyanyi daripada kumpulan Elite, dan bekas isteri pelakon, Norman Hakim.

Abby memuat naik video pendek dirinya yang nampak tersenyum, tetapi seperti menyelitkan mesej samar, apabila lagu yang mengiringi perkongsian itu merupakan, ‘Jiwa Yang Bersedih’, oleh penyanyi Indonesia, Ghea Indrawari.

Rata-rata di ruang komen, warganet sudah dapat mengagak punca kesedihan Abby itu ialah anaknya sendiri, pempengaruh Marissa Dania Hakim, 19 tahun.

Marissa diketahui sudah melahirkan dan kandungannya yang baru berusia enam bulan itu tidak dapat diselamatkan.

Dalam laporan lain, Abby, atau nama sebenarnya Arbaiyah Abdul Manan, 46 tahun, berkata beliau langsung tidak tahu tentang keguguran itu.

Malah, anaknya yang berkahwin dengan jejaka bernama Ahmad Aslam, 25 tahun, pada hujung 2023 di Thailand, juga belum menghubunginya.

Kontroversi sekitar perhubungan Marissa dan Aslam, yang dikatakan sudah mempunyai isteri itu, pernah menjadi isu panas dan menjadi buah mulut warganet.

Abby juga pernah berkata dalam satu temu bual beliau rasa kecewa dan hatinya ‘berkecai’ apabila anak sendiri mengambil keputusan untuk kahwin lari.

Mengungkit kisah lama dalam sebuah video di laman Astro Gempak, Abby yang pernah melalui kemelut rumah tangga bersama Norman apabila ada orang ketiga (isteri Norman sekarang, Memey Suhaiza), berkata beliau tidak boleh terima dijadikan orang kedua.

“Saya jenis tak boleh share (berkongsi), Itu yang saya pelik apabila ia berlaku kepada anak saya. Anak saya buat pilihan untuk berkongsi kehidupan, bermadu,” katanya.

Abby dan Norman telah bercerai dengan talak satu pada 2009 dan mempunyai tiga cahaya mata, Mohamed Danish Hakim, 21 tahun; Marissa Dania Hakim; dan Maria Danisha Hakim, 16 tahun.

Aslam, yang telah mengesahkan berita tentang keguguran isterinya, memohon agar warganet tidak membuat sebarang spekulasi mahupun mengeluarkan hukum sewenang-wenangnya.

“Atas apa yang dikeluarkan pada hari ini, tentang berita kematian atau musibah yang melanda atas keluarga saya, ia adalah betul,” katanya.

Menurut laporan itu, Aslam telah berkongsi mengenainya di Instagram beliau pada malam Sabtu, 24 Ogos, setelah Marissa dikejarkan ke hospital apabila mengalami kesakitan sewaktu menghadiri satu acara pelancaran produk.

Menurut Aslam, isteri pertamanya, Umisya Mazlan, juga maklum tentang kehamilan Marissa dan beliau juga telah memaklumkan perkara itu kepada bapa mentuanya, pelakon Norman Hakim.

Dalam ruangan komen di perkongsian Abby, warganet turut bersimpati dengan nasib Abby yang sering dikecewakan Marissa.

Satu komen dari @mdm_syue berkata:

“Sedihkan Marissa dan Aslam – korang hilang anak yang dah dikandung enam bulan, tapi lagi sedih mak Marissa. Mak dia hidup lagi tapi dah macam meninggal anak menantu dia buat.”

Kisah Abby Abadi dan Norman Hakim menjadi perhatian warganet kerana walaupun sudah lebih 15 tahun berpisah, Abby dan Norman menjalinkan hubungan kekeluargaan yang rapat bersama dengan pasangan baru mereka.

Keluarga itu sering dipuji warganet kerana dapat hidup dalam harmoni.

Norman yang sudah menikahi Memey pada 2011, mempunyai tiga lagi cahaya mata, Muhammad Darwisz Hakim, sembilan tahun; Muhammad Dikhriz Hakim, tujuh tahun; dan Mikayla Delisha Hakim, empat tahun; manakala Abby, yang menikahi Muhammad Faizal Zakaria pada 2015, mempunyai tiga anak angkat.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg