Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Acis dilanda masalah jantung, sukar bernafas

Oct 10, 2023 | 5:03 PM
UJIAN KESIHATAN Datuk Sheila Majid (kiri) mendedahkan tentang masalah jantung dan kesukaran bernafas yang dialami suaminya, Datuk Acis.
UJIAN KESIHATAN Datuk Sheila Majid (kiri) mendedahkan tentang masalah jantung dan kesukaran bernafas yang dialami suaminya, Datuk Acis. - Foto INSTAGRAM DATUK SHEILA MAJID

KUALA LUMPUR: Pengarah muzik Datuk Acis, yang juga suami penyanyi Datuk Sheila Majid, selamat menjalani prosedur angiogram dan angioplasti selepas mengalami kesukaran bernafas dan pedih pada ulu hatinya.

Berita mengenai Acis, atau nama sebenarnya, Hashridz Murshim Hassim, 53 tahun, dimaklumkan Sheila menerusi Instagram (IG) peribadinya baru-baru ini, lapor Berita Harian Malaysia (BHM).

Angiogram adalah proses radiograf saluran darah sejurus setelah suntikan bahan radiolegap ke dalam saluran darah dibuat.

Angioplasti pula adalah pembinaan semula secara pembedahan plastik saluran darah yang berpenyakit ataupun rosak.

Menurut Sheila, prosedur berkaitan jantung itu dijalankan di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur.

“Suami saya, Acis dimasukkan ke IJN kerana mengalami kesukaran bernafas dan pedih ulu hati. Selepas menjalani pemeriksaan, hospital mengenal pasti keadaan jantungnya yang tidak stabil.

“Acis selamat menjalani prosedur angiogram, disusuli prosedur angioplasti. Alhamdulillah, kedua-dua prosedur itu berjaya. Doktor membuat pemasangan ‘stent’ pada arteri utama, selain meletakkan dua belon pada bahagian lain arteri yang tersumbat dalam jantung.

“Acis kini masih dirawat di hospital untuk pemantauan dan akan dibenarkan pulang, tidak lama lagi, insya-Allah,” tulisnya.

Sheila bersyukur apabila semua berjalan dengan baik dan berterima kasih atas doa serta sokongan dari orang ramai.

“Syukur semuanya sudah berakhir, kini Acis perlukan rehat. Saya dan Acis berterima kasih kepada doktor, jururawat dan semua kakitangan IJN atas perkhidmatan memuaskan bagi keselesaan Acis. Juga kepada jururawat yang bersilih ganti menjaga Acis ketika ketiadaan saya.

“Terima kasih atas doa. Kami amat menghargainya. Saya bersyukur kepada Allah kerana masalah ini dikesan awal. Syukur, alhamdulillah,” katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg