Setiap pagi, dia mengadu sakit perut.
Dia menangis jika kerja rumahnya tidak siap dengan sempurna.
Dia panik apabila disuruh mencuba sesuatu yang baru.
Kepada dunia luar, ia mungkin kelihatan seperti satu drama, menunjukkan sikap degil atau terlalu manja.
Bagi anak itu, ia lebih daripada itu.
Itulah tandanya dia mengalami keresahan atau ‘anxiety’.
Kita sering berbicara tentang keresahan dalam kalangan orang dewasa, mengenai kesan, rawatan seiring perangkaannya.
Namun, keresahan dalam kalangan kanak-kanak?
Ia tersembunyi. Ia perasaan yang sepi. Ia sering disalah tafsir.
Kanak-kanak tidak lahir dengan kemahiran untuk meluahkan emosi mereka.
Anak yang cemas tidak akan berkata: “Saya sedang rasa tertekan.”
Sebaliknya, mereka akan mengadu sakit perut, akan menangis atau mengamuk.
Ramai kanak-kanak yang mengalami keresahan sebenarnya sensitif dan mempunyai empati.
Mereka mudah menangkap perubahan nada suara, ekspresi wajah dan persekitaran di sekelilingnya.
Mereka tidak mahu gagal dan ingin disenangi.
Apabila dunia terasa tidak terkawal, fikiran mereka mula berpusing-pusing, mencipta senario paling buruk.
Mindanya dipenuhi soalan: “Bagaimana kalau…”
Setiap minggu, saya bertemu dengan kanak-kanak yang sering terperangkap dalam soalan:
“Bagaimana kalau saya gagal?”
“Bagaimana kalau cikgu marah?”
“Bagaimana kalau mama jatuh sakit?”
Soalan ini berulang-ulang dalam kepala mereka sehingga ia meletihkan.
Adakalanya ia berpunca daripada pengalaman sebenar.
Namun, kebanyakannya datang daripada rasa gerun yang mereka tidak tahu cara mengurusnya.
Kita sering membalas: “Jangan fikir bukan-bukan.”
Tetapi, bagi si anak yang mengalami keresahan, kata-kata itu seperti menyuruh seseorang dalam rumah yang terbakar untuk tidak mengambil apa-apa tindakan.
Si anak yang mengalami keresahan tidak memerlukan kita menghapuskan semua masalah mereka.
Mereka perlukan kita untuk berada bersama mereka dalam melalui kegelisahan itu.
Berikut adalah beberapa perkara yang boleh kita lakukan:
– Pengesahan emosi, bukan penafian
Daripada berkata, “Tak ada apa nak takut pun”, cuba berkata, “Mama faham kamu rasa risau. Nak cerita lebih lagi?”
– Bahasa emosi
Gunakan carta emosi atau kad perasaan untuk membantu mereka mengenal pasti apa yang sedang mereka rasa.
– Rutin dan struktur
Anak yang senang berasa cemas perlukan dunia yang boleh dijangkanya.
Jadual visual dan pemberitahuan awal boleh membantu mereka berasa lebih selamat.
– Strategi mengawal diri
Latih teknik pernafasan, melakukan kegiatan melukis atau amalkan teknik ‘grounding’.
Teknik ‘grounding’ melibatkan penumpuan pada masa sekarang, menggunakan deria atau badan si anak agar dapat mengalihkan perhatiannya daripada perasaan cemas.
– Jangan memperkecilkan ketakutan mereka. (“Alah, benda kecil saja tu.”)
– Jangan terlalu melindungi.
Ia beri isyarat bahawa mereka tidak mampu hadapi kesusahan.
– Usah tergesa-gesa.
Perasaan cemas yang dialami perlukan masa untuk reda sebelum mereka dapat menerima sebarang bentuk logik.
Ingatlah bahawa kita tidak boleh menuntut kekuatan emosi daripada si anak sebelum kita mengajarnya cara mengendalikan keadaan dengan betul.
Ada ibu bapa bertanya:
“Kenapa anak saya okey di sekolah, tapi mengamuk di rumah?”
Jawapannya: Kerana rumah adalah tempat paling selamat untuk mereka lepaskan emosi yang dibendung sepanjang hari.
Fenomena itu dikenali sebagai ‘after-school restraint collapse’.
Mereka tidak sengaja buat perangai.
Mereka sebenarnya sedang melepaskan tekanan setelah berusaha keras menyesuaikan diri di luar.
Kita selalu sebut kepada anak: “Awak perlu jadi lebih kuat.”
Namun kita perlu ingat bahawa kekuatan emosi tidak tumbuh daripada beban bertambah tetapi tumbuh dalam hubungan yang selamat, stabil dan menyokong.
Apabila anak rasa diterima dan difahami, mereka akan lebih berani menghadapi cabaran.
Kesimpulannya, keresahan bukan musuh.
Keresahan bukanlah sesuatu yang perlu dimusnahkan.
Ia adalah sistem amaran yang memberitahu kita: “Ada sesuatu yang tidak kena.”
Bagi sesetengah anak, sistem itu terlalu sensitif.
Tugas kita bukan untuk “tutup suisnya”, tetapi untuk membantu mereka mengawal dan memahami isyarat itu.
Ini kerana apabila anak belajar memahami dan mengurus keresahan mereka, mereka tidak sekadar bertahan.
Mereka akan membina keyakinan, kepekaan emosi dan kekuatan dalaman.
Penulis ialah pendidik dan pakar campur tangan untuk kanak-kanak ‘neurodiversiti’ dengan pengalaman lebih 20 tahun. Sebagai pengasas, Tink It!, beliau memperjuang pendidikan terangkum, pembangunan fungsi eksekutif dan ketahanan emosi kanak-kanak. Beliau beriltizam membantu ibu bapa, guru dan pelajar melalui program dan bengkel yang meraikan keunikan setiap individu. Ikutinya di Instagram @drsitinspires atau @tinkit.sg.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg