Ia bermula dengan sekadar mencaci nama atau ‘name calling’ si pembuli kepada mangsa, Azman (bukan nama sebenar).
Si mangsa digelar ‘chopstick’ dan ‘muka tahi’ oleh si pembuli kerana mangsa bertubuh kurus dan mempunyai tahi lalat di mukanya.
Pembulian tidak berhenti di situ.
Selang beberapa minggu, si pembuli mula bertindak fizikal dengan menarik rambut, melakukan aksi mencekik dan menolak Azman sehingga lebam di dadanya.
Dalam satu kejadian, si pembuli memeras duit daripada Azman di dalam tandas.
“Saya berasa takut jika kejadian lebih buruk akan terjadi kalau saya tidak turuti permintaannya, jadi saya berikan wang saya kepadanya,” kata Azman.
Si pembuli mempunyai tubuh badan yang lebih besar dan tinggi berbanding Azman dan setiap kali mereka bertentangan mata, membuatkan Azman berasa gerun.
“Anak saya sangat terjejas apabila dicaci dengan nama-nama yang tidak sepatutnya berdasarkan rupa fizikalnya.
“Ini terutama pada usia sedang meningkat remaja di mana dia sudah mula mementingkan tentang penampilan,” ujar ibu Azman, 33 tahun, dengan nada pilu apabila memikirkan tentang anaknya dalam satu sesi temu bual Zoom dengan Berita Harian (BH).
Azman berusia 12 tahun manakala si pembuli, murid yang perlu mengulangi Darjah 6, berusia setahun lebih tua daripada Azman.
Mereka merupakan rakan kelas bagi mata pelajaran Bahasa Melayu.
“Anak saya seorang yang lemah lembut dan penyabar, tetapi sejak dibuli pada awal April, dia menjadi cepat melenting dan banyak termenung,” kata ibu Azman.
Pengetua Kanan Pakar Psikologi Klinikal yang juga Ketua Jabatan Psikologi di Institut Kesihatan Mental (IMH), Cik Mavis Seow Yee Ling, menjelaskan mangsa buli kerap kali akan mengalami perubahan ketara dalam emosi dan tingkah laku.
“Mangsa boleh berubah menjadi pendiam atau bersikap cemas, mengelak untuk ke sekolah, menunjukkan perubahan tingkah laku secara tiba-tiba, atau hilang minat melakukan kegiatan yang mereka gemari.
“Perubahan dalam pola makan atau tidur dan mengadu tentang kesakitan fizikal yang tidak dapat dijelaskan juga boleh menandakan masalah,” terang Cik Seow dalam jawapan e-melnya kepada BH.
Apabila ibu Azman, suri rumah tangga, mendapat tahu anaknya dibuli di sekolah, beliau cuba mengabaikannya dan tidak mengambil sebarang tindakan disebabkan latar belakang murid itu yang datang daripada keluarga bermasalah.
“Saya rasa mungkin si pembuli itu dahagakan perhatian.
“Saya kasihankan dia dan tidak mahu menjejas masa depannya,” luah ibu Azman.
Apabila ditanya sebab seseorang itu menjadi pembuli, Cik Seow, berkata:
“Kanak-kanak dan remaja yang menjadi pembuli sebenarnya mengalami keperluan emosi yang tidak dipenuhi misalnya, daripada anggota keluarga mereka.
“Mereka menjadi agresif kerana berhadapan dengan perasaan kecewa dan kesunyian dalam hidup mereka.
“Tingkah laku ini berfungsi sebagai mekanisme tindak balas atau ‘coping mechanism’ untuk menguruskan emosi negatif mereka.
“Mereka yang pernah dibuli juga berisiko menjadi pembuli, sebagai cara untuk mendapatkan semula kawalan diri atau menonjolkan imej yang lebih keras.
“Faktor persekitaran turut memainkan peranan penting, terutama apabila kanak-kanak terdedah kepada persekitaran keluarga yang menunjukkan tingkah laku agresif atau suka jerit-menjerit jika berlakunya perbalahan.
“Mereka akan mencontohi dan menganggapnya sebagai cara normal untuk berinteraksi dengan orang lain.”
Ibu Azman menambah: “Meskipun saya kasihankan si pembuli itu, pada masa yang sama, saya perlu bersikap tegas dan mementingkan kesejahteraan anak saya apabila saya nampak dia mula berubah sikap.”
Susulan daripada kes murid Darjah 3 di Sekolah Rendah Sengkang Green menghantar mesej ancaman bunuh kepada ibu mangsa, ibu Azman terus mengambil tindakan.
“Saya pujuk Azman untuk mengadu insiden buli kepada guru sebab saya takut kalau kejadian yang lebih buruk akan berlaku, lagi-lagi selepas apa yang terjadi di Sekolah Rendah Sengkang Green.
“Azman bersetuju dan dia pun memberitahu sekolah mengenai kejadian buli yang dia lalui,” kata ibunya sambil menghela nafas lega.
Ibu Azman bersyukur pihak sekolah bertindak segera dan telah mengambil langkah sewajarnya dalam menangani kes buli anaknya.
Difahamkan daripada ibu Azman, si pembuli telah digantung sekolah.
“Alhamdullilah, sekolah sangat responsif.
“Selepas sahaja pengaduan dibuat ke sekolah, guru disiplin dan guru kelas anak saya bersemuka dengan pembuli dan dia kemudiannya digantung sekolah.
“Sekolah juga sangat prihatin dengan keadaan anak saya.
“Mereka mengambil berat dan memastikan anak saya benar-benar berada dalam keadaan baik,” kongsi ibu Azman.
Menurut laman web Kementerian Pendidikan (MOE), sekolah di Singapura mempunyai peraturan dan rangka kerja disiplin berkaitan pembulian.
Ia sering dimaklumkan dengan jelas kepada pelajar, termasuk saluran selamat untuk melaporkan buli dan tingkah laku yang menyakitkan hati, kepada pihak sekolah.
Sekolah juga telah mewujudkan budaya sokongan rakan sebaya untuk membantu pelajar yang menjadi mangsa buli.
Di samping itu, guru turut dilatih mengenal pasti pelajar yang bermasalah dan cara menangani buli secara proaktif.
“Saya doakan yang terbaik untuk si pembuli anak saya itu.
“Dia masih budak lagi dan saya pasti dia pun tidak tahu kesan atas kelakuannya itu.
“Jika dia hendak berbaik dengan anak saya selepas ini, saya tidak keberatan malah, mengalu-alukannya,” ujar ibu mangsa.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg