Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Adi Putra syukur watak yang dibawa dikecam sekali lagi

Mar 26, 2025 | 10:37 AM
Datuk Adi Putra bersyukur apabila watak Nasir dalam drama ‘Sekam Di Dada’ menerima maklum balas negatif sehingga tular dalam media sosial.
Datuk Adi Putra bersyukur apabila watak Nasir dalam drama ‘Sekam Di Dada’ menerima maklum balas negatif sehingga tular dalam media sosial. - Foto fail

KUALA LUMPUR: Tanyalah mana-mana pelakon, tidak semua suka jika menjadi mangsa kecaman netizen, lebih-lebih lagi jika membabitkan soal hasil kerja.

Ini berbeza dengan pelakon berkaliber, Datuk Adi Putra, yang namanya ketika ini sedang hangat diperdebatkan dalam media sosial.

Semua gara-gara watak lelaki panas baran dalam drama rantaian, Sekam Di Dada, yang disiarkan pada setiap Isnin hingga Jumaat, 10 malam, di TV3.

Adi, atau nama sebenarnya, Mohamed Hadi Putera Halim, berkata beliau tidak kisah, malah bersyukur apabila watak Nasir menerima maklum balas negatif sehingga tular dalam media sosial.

“Kecaman membuktikan emosi disampaikan menerusi karakter Nasir berjaya dirasai penonton. Saya bersyukur bila dikecam sebab sudah lama tak dikecam.

“Jadi, emosi panas baran dan kebencian terhadap watak Nasir, berjaya sampai ke hati penonton.

“Kalau penonton tak dapat rasa, mungkin saya tidak dapat kecaman.

“Setiap kecaman atau komen negatif diberi, saya amat menghargainya.

“Walaupun ada ketika, geram juga bila dilemparkan dengan pelbagai bentuk kemarahan.

“Namun bila jumpa di luar, kemarahan taklah seteruk yang disangka,” katanya.

Pelakon kelahiran Singapura itu menjelaskan demikian ketika ditemui pada acara ‘Meet and Greet Drama Sangat’ TV3 di Setia Alam, Shah Alam, baru-baru ini.

Ramadan lalu, Adi pernah mencetuskan kemarahan penonton menerusi drama Lelaki Itu, dan kali ini, mengulangi situasi sama, lapor Berita Harian Malaysia.

Diaju pertanyaan itu, Adi hanya mampu meluahkan rasa syukur kerana dapat berlakon dalam naskhah yang mampu memberi mesej berguna dan impak besar terhadap penonton.

“Meskipun setiap tahun kena kecam – tahun lalu (2024), drama Lelaki Itu dan tahun ini (2025), Sekam Di Dada.

“Saya hanya mampu panjatkan rasa syukur kerana karya dan mesej yang hendak disampaikan diterima ramai.

“Walaupun sudah 22 tahun berada dalam dunia lakonan, saya terharu sebab tak hampakan peminat. Harap Ramadan tahun depan ada kecaman lagi,” ungkapnya dalam nada berseloroh sambil tersenyum.

Adi menambah, bukan mudah untuknya membawakan watak Nasir yang disifatkan sangat mencabar dan menuntut kemahiran lakonan sangat tinggi.

“Sebagai orang kurang upaya, pergerakan saya agak terbatas.

“Ini kerana hanya duduk atas kerusi roda. Pada masa sama, saya perlu bermain dengan jiwa.

“Karakter panas baran Nasir memerlukan saya menggunakan tenaga yang banyak, selain perlu melontarkan suara dengan nada keras.

“Nak lontarkan suara dengan nada tinggi yang tegang dan perlu meneran bukan mudah, namun saya sahut cabaran sebab tak mahu kecewakan penonton,” ujarnya.

Mengenai babak disumbat nasi oleh Amyra Rosli yang tular dalam media sosial, Adi teruja apabila adegan itu menjadi bahan bualan penonton.

“Alhamdulillah, babak dipaksa makan nasi hanya dilakukan dengan sekali rakam. Gandingan dengan Amyra pun berjalan dengan baik.

“Syukur semuanya dipermudahkan dan apa dilakukan Amyra adalah seperti mewakili perasaan penonton,” ulasnya.

Selain Adi dan Amyra, drama arahan Zamri Zakaria itu turut menampilkan Josiah Hogan, Qistina Khaled, Auni Yusri, Puteri Sarah Liyana dan Arash Mohd.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg