Afrika Selatan terus perluas tawaran pelancongan halal, tarik pengunjung S’pura
Afrika Selatan terus perluas tawaran pelancongan halal, tarik pengunjung S’pura
Sasar gandakan ketibaan pelancong dari S’pura pada 2026, susulan pertumbuhan 4.7 peratus pada 2025 berbanding 2024
Afrika Selatan berazam memperluas tawaran pelancongan halalnya, dengan Cape Town kini bersedia memimpin menjadi destinasi mesra Muslim terkemuka.
Menteri Pelancongan Afrika Selatan, Cik Patricia De Lille, memberitahu Berita Minggu (BM) sewaktu lawatan rasmi ke Singapura pada 2 Februari bahawa negara tersebut kerap berdialog dengan rakan sejawat di Singapura, Indonesia dan Malaysia. Tujuannya adalah untuk menjamin “perjalanan lancar” bagi pelancong Muslim.
Cik Patricia menjelaskan, ini penting memandangkan Afrika Selatan berkongsi sejarah Islam yang mendalam, contohnya ‘Circle of Kramats’ di Cape Town, tapak suci yang menempatkan makam tokoh-tokoh Islam Afrika Selatan.
Pasaran pelancongan halal di Afrika Selatan amat besar, dengan kemudahan, hotel dan masjid yang mudah ditemui, tambah beliau.
Malah, Afrika Selatan menyasarkan untuk menggandakan ketibaan pelancong dari Singapura tahun ini, menyusuli pertumbuhan 4.7 peratus pada tahun 2025 berbanding 2024.
Dalam taklimat media di Fairmont Singapore, Cik Patricia mendedahkan bahawa tahun lalu, Afrika Selatan mencatat rekod jumlah pelancongan, dengan 10.48 juta ketibaan antarabangsa antara Januari hingga Disember 2025. Lebih 9,827 daripadanya dari Singapura.
Untuk menyokong pertumbuhan ini seiring strategi negara, beliau mengumumkan beberapa pembangunan baru bagi menarik lebih ramai pelancong.
Antaranya ialah Kgodumodumo Dinosaur Interpretation Centre, di mana embrio dinosaur tertua di dunia pernah ditemui.
Pusat itu telah menarik lebih 80,000 pengunjung sejak dibuka Jun tahun lalu.
Menyentuh kebimbangan yang sering timbul dalam kalangan pengunjung, Cik Patricia berkata:
“Kami sedar terdapat persepsi bahawa negara kami tidak selamat. Kami sentiasa perlu memperkukuhkan (keyakinan), tentang apa yang pihak pemerintah, bersama-sama dengan sektor swasta, sedang lakukan bagi memastikan semua pengunjung menikmati pengalaman yang selamat sewaktu dalam negara kami.”
Mengulas lanjut, beliau berkata mereka sedang membangunkan sebuah aplikasi di mana pengunjung akan mendapat akses kepada pihak polis, serta 300 syarikat keselamatan swasta.
Pengunjung akan mendapat akses bagi sebarang kecemasan perubatan dengan pusat kawalan selama 24 jam.
“Jadi jika anda menekan butang, mereka dapat melihat serta-merta lokasi di mana anda berada, dan mereka akan menghantar syarikat bantuan yang terdekat daripada sekian banyak syarikat yang kami ada,” ujarnya sambil menekankan pihak berkuasa bersungguh-sungguh memastikan pengalaman selamat buat semua pengunjung.
Semasa berada di Singapura, Cik Patricia dan delegasinya turut mengadakan beberapa pertemuan dengan pegawai utama dari Kementerian Pembangunan Negara (MND), Lembaga Pelancongan Singapura (STB), dan Changi Airport Group bagi memperkukuh kerjasama perdagangan dan pelancongan antara kedua-dua negara.
Selain itu, mereka turut bertemu dengan kumpulan pelaburan di mana pasukan tersebut telah membentangkan beberapa projek pelaburan pelancongan yang berpotensi.
“Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, kami telah melihat minat yang kukuh bukan sahaja daripada pelancong Singapura, malah daripada syarikat Singapura yang ingin melabur di Afrika Selatan dan mengukuhkan kehadiran mereka dalam ekonomi kami.
“Selain itu, Singapura merupakan hab udara yang penting buat kami, menawarkan ketersambungan bagi pelancong yang datang dari Asia Tenggara,” katanya.
Lima wilayah paling kerap dikunjungi pelancong Singapura:
1. Gauteng
Gauteng merupakan wilayah terkecil di Afrika Selatan dari segi keluasan tanah, namun ia juga wilayah yang paling padat dengan penduduk.
Sangat maju dari segi perbandaran, ibu kota wilayah ini juga merupakan bandar terbesar di negara tersebut, iaitu Johannesburg.
Ia adalah wilayah terkaya dan pusat kewangan Afrika Selatan, di mana aktiviti kewangan tertumpu di Johannesburg.
Ia juga menempatkan ibu kota pentadbiran, Pretoria, serta kawasan besar lain seperti Midrand, Vanderbijlpark, Ekurhuleni, dan kawasan mewah Sandton.
Perkampungan terbesar, Soweto, juga terletak di wilayah ini.
2. Western Cape
Western Cape adalah wilayah yang bersempadan dengan Lautan India dan Atlantik.
Ia terkenal dengan bandar pelabuhan Cape Town, yang terletak di bawah Table Mountain.
Di Table Bay, terdapat Pulau Robben iaitu penjara terkenal yang pernah menempatkan Nelson Mandela dan kini menjadi muzium.
Ladang-ladang anggur yang mengelilingi bandar bersejarah seperti Stellenbosch, Franschhoek, dan Paarl merupakan persinggahan popular bagi pelancong dan penduduk tempatan.
3. Eastern Cape
Eastern Cape adalah salah satu daripada sembilan wilayah di Afrika Selatan.
Ibu kotanya ialah Bhisho, dan bandar terbesarnya ialah Gqeberha.
Disebabkan iklimnya yang sederhana dan bandar-bandar bertema Victorian, ia menjadi lokasi tumpuan pelancong.
Ia juga terkenal sebagai tempat asal ramai aktivis anti-apartheid, termasuk Nelson Mandela, Steve Biko, dan Chris Hani.
4. North West
North West adalah wilayah pedalaman yang bersempadan dengan Botswana.
Landskapnya menonjol dengan pergunungan di bahagian timur laut dan kawasan belukar savana.
Wilayah ini menempatkan Sun City, sebuah resort mewah dengan hotel, kasino, dan taman air dengan kolam ombak besar.
Berdekatan dengannya adalah Taman Nasional Pilanesberg, yang mempunyai gunung berapi yang tidak aktif lagi dan lebih daripada 7,000 ekor haiwan, termasuk singa dan gajah.
5. Mpumalanga
Mpumalanga (nama Zulu yang bermaksud ‘tempat matahari terbit’) adalah sebuah wilayah di timur Afrika Selatan, bersempadan dengan negara Swaziland dan Mozambique.
Ia merangkumi bahagian selatan Taman Nasional Kruger, sebuah hutan simpanan semula jadi yang menempatkan jenis hidupan liar yang luas termasuk mamalia besar.
Blyde River Canyon yang ikonik di wilayah ini merupakan antara lembah terbesar di dunia dan dikenali sebagai lembah hijau kerana dedaunan subtropikanya. - NUR HUMAIRA SAJAT

