Perkongsian mengenai rancangan untuk bercuti ke Namibia, Afrika, dibalas kerisauan yang diluahkan rakan dan keluarganya.
Manakan tidak, Afrika sering dikaitkan dengan keadaan bahaya atau tidak selamat.
Namun, salah tanggapan tersebutlah yang beliau harap dapat ubah.
Ternyata, pengalaman percutiannya menjadi antara yang paling membuka mata buat Cik Suhaila Hashim, 46 tahun, seorang pelajar sepenuh masa dan suaminya, Encik Mohamad Mansor, 51 tahun, seorang pekerja perkhidmatan awam.
Menggunakan kenderaan pacuan empat roda, pasangan itu merentas Namibia pada Mei 2025, meneroka bahagian utara hingga selatan sepanjang jarak 4,400 kilometer selama tiga minggu.
“Kami rasa sangat selamat sepanjang perjalanan. Pelancongan di Namibia diurus dan dijaga baik. Jalan raya ditanda dengan jelas, penginapannya dikawal selia, dan taman nasional menetapkan peraturan keselamatan ketat.
“Terdapat penekanan tentang pelancongan bertanggungjawab, pengunjung diberi taklimat tentang peraturan memandu, langkah berjaga-jaga berkaitan hidupan liar, dan kepentingan mematuhi laluan yang ditetapkan,” ujarnya.
Malah beliau menukil contoh bagaimana kawasan terpencil seperti Skeleton Coast juga tersusun dan adanya struktur – pengunjung tahu mana mereka boleh inap, di mana mereka tidak boleh berkhemah dan mengapa peraturan tertentu wujud.
Dalam pada itu, mereka tidak tidak boleh memandu pada waktu gelap atau berkhemah merata kerana wujudnya haiwan liar yang berkeliaran seperti singa.
Perbelanjaan pasangan itu menelan kira-kira $8,000, termasuk tiket penerbangan, sewa kereta, minyak, penginapan, makanan, bayaran masuk bagi taman serta muzium, dan insurans.
Ditanya mengapa Namibia, Cik Suhaila berkata:
“Keputusan (untuk ke Namibia) dibuat pada 2023 apabila dunia dibuka semula setelah penutupan sempadan akibat Covid-19. Setelah dua tahun rasa klaustrofobik (fobia pada ruang terkurung) di Singapura, kami teringin untuk melarikan diri ke suatu tempat yang benar-benar terpencil.
“Apabila mendapat tahu bahawa Namibia negara kedua paling sedikit penduduk di dunia, ia serta merta menjadi destinasi sempurna buat kami. Ia menyajikan kawasan terbuka yang luas, ufuk yang tiada penghujungnya, landskap semula jadi yang tidak terusik, serta hidupan liar yang banyak,” kongsinya kepada Berita Minggu (BM).
Pasangan itu merupakan antara bilangan pengembara yang meningkat yang berkunjung ke Afrika, sedang benua itu menerima lebih banyak perhatian dari segi pengalaman pelancongan unik yang ia mampu tawarkan.
Ustaz Nafis Rahman, Pengarah Travelconnect.sg, berkata jika dibandingkan dengan tahun lalu, permintaan bagi pakej mereka ke Afrika Selatan tahun ini melonjak hampir 30 peratus.
Ini sejajar dengan pengetahuan meningkat bahawa Afrika juga menawarkan destinasi menarik yang memenuhi keperluan pelancong Muslim.
“Industri pelancongan halal global sedang berkembang pesat dan Afrika mula jadi destinasi pilihan baru, terutama dengan pengalaman unik seperti safari, lawatan warisan Islam, dan penginapan mesra Muslim.
“Negara seperti Afrika Selatan sudah pun mengambil langkah proaktif memperkenalkan pakej mesra halal,” katanya.
Beliau menambah, agensi mereka membawa pelancong ke destinasi utama seperti Johannesburg, Kruger Safari serta Cape Town di Afrika Selatan yang turut didiami masyarakat Islam.
Menjawab pertanyaan BM, pengurus serantau Singapura, Australia dan New Zealand di Ethiopian Airlines, Encik Telila Deressa Gutema, berkata Afrika selalunya dilabel sebagai destinasi premium, namun warga Singapura dilihat sanggup mengeluarkan perbelanjaan buat detik-detik sekali dalam seumur hidup itu.
Bagaimanapun, pengunjung sebenarnya mempunyai pelbagai pilihan dan ia bergantung pada keperluan pengunjung masing-masing.
Contohnya, mereka boleh menempah penginapan safari yang premium untuk menikmati pengalaman mewah sekali dalam seumur hidup, ataupun memilih tempat bermutu tinggi pada harga pertengahan yang setanding Eropah.
Berkongsi pendapat serupa, pemimpin pasukan dan pakar Afrika di Scott Dunn, Cik Gwen Ho, menjelaskan mengapa Afrika mungkin memerlukan lebih perbelanjaan berbanding rantau lain.
“Sebagai contoh, safari agak intensif dari segi sumber untuk dikendalikan: Anda memerlukan jurupandu yang sangat terlatih, dan penginapan yang baik selalunya ditempatkan dalam kawasan terpencil, justeru lebih banyak sumber diperlukan untuk menghantar barang seperti bahan makanan masuk.
“Selain itu, banyak penginapan juga menyokong pemuliharaan dan projek masyarakat, jadi sebahagian daripada bayaran yang mungkin dikeluarkan tetamu disalurkan terhadap usaha memelihara hidupan liar dan menyokong masyarakat setempat,” katanya.
Bagi mereka yang prihatin tentang isu keselamatan, mereka disyorkan mengikuti pengendali kunjungan yang boleh dipercayai, tambahnya.
Encik Telila turut berkongsi pemerhatian bahawa terdapat rasa ingin tahu yang semakin meningkat untuk merantau lebih jauh dan meneroka “lapisan seterusnya” Afrika, selain destinasi yang sering ditonjolkan.
Contohnya, lebih banyak pengembara dari Asia berminat mengetahui lebih tentang khazanah Unesco atau landskap dramatik pergunungan Simien, antara lain, di Ethiopia yang terletak di Afrika Timur.
Ethiopia juga menempatkan salah satu daripada tapak warisan Islam yang paling penting di Afrika iaitu bandar berdinding Harar.
Malah, terdapat minat meningkat dalam kalangan pengembara Muslim Singapura yang sering menggabungkan perjalanan mereka ke Timur Tengah untuk lakukan umrah dengan lawatan ke tapak Islam Ethiopia, tambahnya.
“Salah satu perubahan terbesar yang kami saksikan adalah bagaimana jadual perjalanan ke Afrika kini semakin bijak dan lancar buat pelancong dari Asia, termasuk Singapura.
“Dahulu, perjalanan ke Afrika boleh diibaratkan seperti maraton 20 hingga 30 jam dengan beberapa persinggahan. Kini, pelancong boleh turun dari pesawat dan memulakan pengembaraan safari atau meneroka alam semula jadi dalam masa beberapa jam sahaja melalui penerbangan langsung yang lebih mudah diakses,” kata Encik Telila.
Cik Gwen berkata destinasi ‘klasik’ ialah Afrika Selatan yang kaya dengan kedua-dua budaya serta hidupan liar, selain destinasi seperti Kenya dan Tanzania yang dikenali untuk safari dan fenomena alam terutama Penghijran Besar-Besaran atau ‘Great Migration’.
Namun beliau berkata negara seperti Zimbabwe merupakan permata tersembunyi yang menyajikan pengalaman kebudayaan yang kaya selain keajaiban alam seperti Victoria Falls, air terjun di Sungai Zambezi.
“Ramai beranggapan bahawa perjalanan ke Afrika tertumpu pada hidupan liar, tetapi ia lebih daripada itu. Bukan hanya kerana terdapat pelbagai dimensi di Afrika melebihi hidupan liarnya – daripada makanan hingga seni dan budaya – tetapi kerana perjalanan ke Afrika benar-benar mengubah cara anda melihat dunia.
“Ia memberi anda perspektif tentang betapa besarnya dunia, dan perasaan bahawa anda adalah sebahagian daripada sesuatu yang lebih luas,” tambahnya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg